Sunday, July 2, 2017

Berdoalah Jangan Sombong

DALAM sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Doa adalah senjata orang mukmin, tiang bagi agama dan cahaya dari langit.” (hadis Riwayat Hakim). Sesungguhnya hamba yang merendahkan dirinya dan bersikap tawaduk akan sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Begitulah juga apabila kita mahu melakukan apa juga pekerjaaan atau berada dalam apa juga situasi waima mahu masuk tandas pun ada doa khusus. Oleh itu apabila seseorang mahu kita berdoa, sepatutnya tindakan itu harus dipuji dan bukannya dilemparkan dengan kata-kata tidak sewajarnya.
Dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Sesungguhnya dengan berdoa jiwa kita akan berasa tenteram, menjadi penawar dan penenang hati apatah lagi ketika kita berada dalam situasi mencemaskan. Ketika itu pergantungan kita hanya kepada Allah SWT kerana kita tahu pada waktu-waktu tertentu manusia hanya sekadar mampu berusaha.

Dengan berdoa dan berusaha, setiap manusia akan dapat melepasi cabaran dan rintangan. Allah menegaskan dalam surah Al Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya ke­padamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memper­kenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Sukar untuk difahami kenapakah apabila ada orang meminta kita berdoa ia dianggap tidak perlu dilakukan. Berdoa termasuklah ketika detik-detik cemas bukanlah bermaksud kita menjemput malapetaka atau akan ditimpa sesuatu yang buruk. Sebaliknya doa itu dilafazkan agar Allah SWT menyelamatkan kita daripada segala bahaya dan mempermudahkan segala urusan.

Sepatutnya kita bersyukur kerana ada insan yang mahu mengingatkan kita untuk berdoa. Ini sekali gus boleh mewujudkan keinsafan bahawa dalam apa juga situasi, hanya Allah tempat kita bergantung dan me­minta pertolongan.

Sesungguhnya apa yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah. Orang yang tidak mahu berdoa atau melihat doa dari sudut yang tidak sewajarnya, boleh dikategorikan sebagai manusia yang sombong.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah dibandingkan doa.” (Riwayat At.Tirmidzi).

Para ulama menegaskan, kenapa doa sesuatu yang paling mulia di sisi Allah SWT dibandingkan yang lainnya kerana di dalam doa terdapat bentuk sikap rendah diri seorang hamba kepada Allah dan menunjukkan kuasa-Nya.

Oleh itu tidak perlu terganggu jika ada orang melihat dari sudut negatif soal doa. Biarlah apapun tafsiran yang hendak dibuat tetapi sebagai hamba Allah, dalam kehidupan seharian kita, doa harus menjadi peneman kita.

Sememangnya benar tidak semua doa dimakbulkan tetapi itu tidak bermakna kita harus berputus asa dalam berdoa kerana Rasulullah SAW pernah menegaskan, pada hari kiamat Allah SWT akan memperlihatkan setiap doa yang dipanjatkan oleh setiap orang sewaktu di dunia yang tidak Allah kabulkan.

Allah berfirman: “Hamba-Ku, pada suatu hari kamu memanjatkan doa kepada-Ku, namun Aku tahan doamu itu, maka inilah pahala sebagai pengganti doamu itu”. Orang yang berdoa itu terus menerus diberi pahala sehingga dia berharap kiranya semua doa itu hanya dibalas di akhirat sahaja dan tidak diberikan di dunia.

Kita perlu memahami tidak semua apa-apa yang kita doa kepada Allah dikabulkan di dunia, tetapi mungkin diterima di akhirat kelak. Dan pada saat kita berdoa memohon kepada Allah, pada hakikatnya kita berada dekat dengan Allah, sehingga walaupun tidak dikabulkan di dunia, malah menjadi pahala penghapus dosa-dosa lalu.

Berdoa adalah ibadah, bahkan dikatakan sebagai roh ibadah. Seperti mana ditegaskan, orang yang hidupnya tidak dipenuhi dengan berdoa maka dia adalah manusia yang sombong.

Berdasarkan hujah itu, janganlah kita berputus asa atau tidak mahu berdoa kerana akan menghumban kita dalam kalangan orang yang sombong. Sombong adalah perbuatan dibenci oleh Allah SWT.

Atas sebab itulah dalam surah Al-Isra’ ayat 37 Allah SWT mengingatkan kita supaya jangan berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kita tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan menyamai setinggi gunung-ganang.

Terdapat seribu satu doa yang diajar dalam Islam untuk kita amalkan. Kalau ada hamba Allah tidak mahu berdoa atau mengaitkan doa dengan mengundang malapetaka, biarkan sahaja. Ini memandangkan semua orang tahu, doa itu adalah perbuatan yang baik dan disukai oleh Allah SWT.

Kesimpulannya, marilah kita berdoa dengan apa yang kita inginkan, apa yang kita mahukan,
berdoalah kerana kita memerlukan pertolongan Allah dan mohon ampunlah pada Allah seolah-olah esok kita akan mati.

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment