Thursday, March 2, 2017

Malu Berbahasa Melayu?

BEBERAPA minggu lalu, nombor telefon saya dima­sukkan dalam satu lagi grup WhatsApp. Tidak perlulah saya sebut grup apa pula kali ini, tetapi yang pasti kesemua yang ada dalam kumpulan itu ialah orang Melayu. Pun begitu, dalam pengenalannya saja pengendali kumpulan itu (group admin) memberikan kata-kata aluan dan penerangan mengenai tujuan kumpulan itu diadakan dalam bahasa Inggeris. Perbualan seterusnya dalam bahasa Inggeris. Tidak seorang pun menggunakan bahasa Melayu.

Mula-mula saya tidak ambil kisah. Saya ada banyak grup WhatsApp, yang saya keluar (left group) dalam ­diam-diam atau waktu tengah malam pun banyak juga. Kadang-kadang kita pun rasa rimas, ada yang dua atau tiga orang pun hendak buat grup WhatsApp. Lepas itu hantar gambar ucapan salam subuh, selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan selamat tidur. Itu saja.

Berbalik kepada grup dalam berbahasa Inggeris ini, lama-kelamaan saya tertanya-tanya, tidak bolehkah mereka ini berbahasa Melayu? Bahasa Inggeris mereka pun bukannya betul sangat kerana banyak ejaan yang lintang-pukang dan grammar yang tunggang-langgang.

Dan beberapa hari lalu, ada pergaduhan dalam grup WhatsApp itu. Pergaduhan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan saya sangat. Biasalah bila ada perbezaan pendapat keadaan menjadi tegang. Yang pandai hendak tunjuk lebih pandai dan yang tak berapa pandai tak mahu mengaku tidak pandai.

Yang mengejutkan saya, tiba-tiba yang marah itu, menulis dengan bahasa kesat dalam bahasa Melayu! Dalam hati saya, boleh pula dia ini berbahasa Melayu. Dan kemudiannya diikuti oleh yang lain-lain. Mereka marah-marah, menegur dan menasihati semuanya dengan menggunakan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, apabila suasana jernih semula, mereka kembali berbahasa Inggeris sehinggalah sekarang ini. Lucu pula rasanya. Bila marah-marah, baru keluar semua perkataan dalam bahasa Melayu dan loghat negeri masing-masing.

Apa yang ingin saya katakan, apa salahnya kita berbahasa Melayu saja jika semua orang yang berada dalam kumpul­an itu orang Melayu. Malukah kita dengan bahasa ibunda sendiri? Apakah dengan berbahasa Melayu kita akan dipandang seperti orang yang tidak cukup terpelajar atau tidak cukup hebat? Apakah bila kita cakap Melayu kita ini macam orang kampung? Dan apa salahnya jadi orang kampung?

Tetapi yang peliknya apabila orang asing atau selebriti dari luar negara datang ke negara ini, mereka cakap sepatah saja perkataan bahasa Melayu - ‘Terima kasih’ atau ‘saya sayang kamu’, bukan main seronok lagi kita. Walaupun hanya sepatah sahaja, tetapi cukup indah didengar.

Masalahnya ada segelintir kita menganggap apabila boleh berbahasa Inggeris mereka duduk dalam kelas yang tersendiri. Elit kononnya. Tidak kurang juga yang malu atau teragak-agak berbahasa Melayu apabila berada dalam kumpulan atau majlis-majlis tertentu. Yalah, kadang-kadang majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun hendak bercakap dalam bahasa Inggeris, kalau ber­ada dalam majlis bertaraf antarabangsa entah apa lagi lah.

Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang cukup bangga apabila anaknya mendapat markah tertinggi dalam subjek Bahasa Inggeris tetapi tidak sedikit pun merasa malu dan gelabah bila anaknya mendapat markah corot dalam subjek Bahasa Melayu. Anak tidak boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik, bagi mereka itu tidak apa, jangan bahasa Inggeris.

Memanglah bahasa Inggeris itu amat penting untuk dikuasai sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa tetapi dalam kita mahu mahir dalam bahasa itu janganlah mengetepikan bahasa ibunda sendiri dan menganggap penuturnya sebagai low class.

Teringat pada perjumpaan saya dengan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika kami makan te­ngah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Beliau menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika berbual. Kadang-kadang saya pula yang tersasul berbahasa Inggeris tetapi beliau membalas dengan bahasa Melayu. Sesekali perbualan kami terhenti apabila dia cuba mencari perkataan sesuai untuk diucapkannya dalam bahasa Melayu. Beliau nampak ikhlas dan bersungguh-sungguh bercakap dalam bahasa kebangsaan itu.

Kalau orang Melayu tidak merasa bangga dan mahu menggunakan bahasa kita sendiri, siapa lagi? Do­nald Trumpkah?

Oleh : Fauziah Arof

No comments:

Post a Comment