Sunday, December 4, 2016

Selamatkan Rohingya

Masyarakat antarabangsa tidak harus menutup mata atas kekejaman yang berterusan terhadap etnik Rohingya di Myanmar yang semakin menjadi-jadi sejak ke­belakangan ini. Melihat kepada krisis kemanusiaan di sana yang kian buruk, semua masyarakat global perlu mengambil pendirian bersama untuk menghentikan kekejaman pasukan tentera negara berkenaan di Rakhine, yang menempatkan kira-kira sejuta orang Rohingya.

Laporan media menunjukkan bahawa sejak bulan lalu, ramai yang telah dibunuh, menjadi pelarian manakala imej satelit yang disiarkan oleh Human Rights Watch mendedahkan beratus-ratus rumah di perkampungan mereka telah dibakar.

Pelarian Rohingya yang berjaya sampai di sempadan Bangladesh mendakwa bahawa tentera Myanmar telah membunuh orang lelaki Rohingya, menembak mereka, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita, dan membakar rumah mereka serta memaksa mereka melarikan diri dengan menyeberangi sungai ke Bangladesh. Lebih buruk lagi, bantuan kemanusiaan telah terputus kerana pekerja bantuan tidak dibenarkan masuk ke kawasan yang terjejas.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), lebih daripada 120,000 Rohingya telah melarikan diri dari Rakhine sejak rusuhan berdarah yang berlaku pada 2012, yang mana ramai di antara mereka menempuh laut bergelora untuk ke Malaysia.

Kekejaman itu kini bertukar menjadi tindakan pembersihan etnik minoriti Rohingya oleh tentera Myanmar, setelah beberapa dekad masyarakat itu mengalami pengasingan, penghinaan, gangguan kekerasan, ketakutan dan keganasan.

Menurut Amnesty International, masyarakat Islam Rohingya mengalami pencabulan hak asasi manusia sejak pemerintahan kerajaan junta Burma bermula tahun 1978. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan kaum Rohingya yang tinggal di Myanmar sejak beberapa ge­nerasi lalu, telah mengalami diskriminasi dan gangguan kekerasan jauh lebih awal disebabkan oleh ketegangan dengan warga majoriti Buddha di negara berkenaan.

Adalah amat menyedihkan apabila warga Rohingya yang tinggal di Myanmar selama banyak dekad, masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin dan ke­rakyatan mereka dinafikan, terdapat undang-undang yang menyekat perkahwinan dan sijil kelahiran tidak dikeluarkan untuk anak-anak mereka. Tidak dapat dibayangkan bagaimana daifnya keadaan hidup mereka di sana dengan kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada pendidikan yang sempurna.

Ramai yang bingung dengan sikap Aung San Suu Kyi, pemimpin de facto kerajaan awam baharu Myanmar yang membisu mengenai krisis kemanusiaan di negara itu.

Kegagalan Suu Kyi, yang juga ialah ikon hak asasi manusia dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, untuk melindungi masyarakat Rohingya daripada keganasan tentera, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai menghalalkan pembunuhan beramai-ramai. Ini juga mungkin kerana beliau tidak bersedia atau tidak dapat mengawal tentera Myanmar.

Jumaat lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan berdemonstrasi di jalan raya di Jakarta, Kuala Lumpur, Bangkok hingga ke Dhaka untuk mengutuk kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya di Rakhine.

Walaupun kerajaan kita memutuskan untuk tidak menarik keluar pasukan bola sepak negara daripada AFF Suzuki Cup yang dianjurkan bersama oleh Myanmar, kerajaan sedang menggunakan cara lain untuk memberi tekanan kepada negara itu supaya menghentikan keganasan terhadap Rohingya. Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan mengecam kekejaman di Myanmar dan akan memanggil Duta Myanmar untuk menyatakan pendirian Malaysia. Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman juga akan bertemu dengan Aung San Suu Kyi dan pegawai tinggi Myanmar tidak lama lagi.

Sementara kerajaan mengambil inisiatif melalui saluran diplomatik, saya meminta semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan belia, badan-badan politik dan bukan politik untuk bersuara menentang kekejaman ini. Jika perlu, demonstrasi aman diadakan setiap minggu sebagai bantahan.

Masyarakat antarabangsa, terutamanya negara yang banyak bercakap mengenai hak asasi manusia, perlu ke hadapan untuk menghentikan kekejaman di Myanmar dan meringankan penderitaan masyarakat Rohingya. Keganasan ini perlu ditangani dengan kerjasama masyarakat antarabangsa.

Tidak seperti kerajaan mereka, media tempatan dan antarabangsa dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara lain mengutuk keras pembunuhan beramai-ramai di Myanmar dan mendesak Suu Kyi supaya melakukan sesuatu mengenainya. Sudah tiba masanya kerajaan masing-masing mendengar suara rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Jika perlu, sekatan ekonomi harus dikenakan semula ke atas Myanmar. Walaupun keganasan terhadap masyarakat Rohingya sudah berlarutan selama bertahun-tahun, ba­nyak negara dan pelabur asing terus melabur dan berdagang dengan negara itu. Beberapa tahun kebelakangan ini, institusi seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Kesatuan Eropah telah meningkatkan bantuan sokongan pembangunan kepada Myanmar.

Malaysia, sebagai anggota Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, boleh memainkan peranan dengan mendesak PBB supaya bertindak tegas dengan me­ngenakan sekatan ke atas Myanmar.

Dalam pada itu, tekanan antarabangsa juga diperlukan untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada masyarakat Rohingya. Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa membantu mengurangkan penderitaan pelarian Rohingya dan juga mereka yang masih berada di Rakhine.

2 comments:

  1. ดูหนังออนไลน์ กับหนังออนไลน์ที่คมชัดเต็มระบบงทั้ง 4K HD สนุกง่ายๆ กับ Troop Zero (2019) [ บรรยายไทย ]

    ReplyDelete
  2. ดูหนังออนไลน์ live22
    ที่เว็บเกมสล็อตที่ดีที่สุดที่นี่
    https://www.slot4u.com/live22

    ReplyDelete