Thursday, November 24, 2016

Kemerdekaan Dan Martabat Islam

Fakta sejarah menunjukkan sejak kejatuhan Empayar Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511, orang Melayu mula menggerakkan tenaga membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Armada dari Acheh, Johor dan Riau saban tahun menyerang Melaka namun gagal. Kemudian British terpaksa berhadapan kebangkitan perjuangan anak tempatan seperti Dato Dol Said, Rentap, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Mat Salleh, Tok Janggut, Tokku Paloh dan Hj Abdul Rahman Limbong yang ­berani bangun menentang British.

Seterusnya beberapa golongan yang sering dikaitkan dengan perjuangan kemerdekaan ialah golongan nasionalis yang mana perjuangan mereka berbentuk patriotik. Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak, yang ditubuhkan pada 1922, sering disebut penjajah sebagai tapak melahirkan nasionalis Melayu kerana di sana terkumpul pensyarah yang tinggi se­mangatnya seperti Za’ba, Abdul Hadi Hassan, Ahmad Bakhtiar, Harun Aminurrashid, Buyung Adil.

Golongan penulis dan wartawan juga berjuang menentang penjajah melalui penulisan dalam akhbar, majalah dan buku. Mereka termasuklah Rahim Kajai, Samad Ismail, Said Zahari, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Kamaludin Muhammad (Keris Mas) dan Usman Awang (Tongkat Waran).

Golongan lain adalah golongan agama yang condong ke Asia Barat, mereka mendakwa perjuangan menuntut kemerdekaan dipelopori oleh pemimpin mereka ulama reformis yang berpendidikan agama dari Mekah dan Mesir. Dakwaan ini disokong dengan menonjolkan madrasah dan pondok sebagai medan me­nyemai fahaman menentang penjajah. Selepas Perang Dunia kedua golongan kanan yang mula menentang British ialah kelompok cendekiawan Melayu yang dike­tuai Za’ba yang menyeru pemimpin Melayu supaya bersatu menentang rancangan Malayan Union yang memaksa raja-raja Melayu menandatangani perjanjian menyerah kuasa kepada British. Malayan Union bertujuan menjadikan Malaya sebuah koloni Inggeris.

Orang Melayu menjadi berani setelah usai perang kerana tentera Jepun berjaya memecahkan mitos kekebalan tentera Inggeris. Orang Melayu melihat bagaimana tentera Inggeris yang sepatutnya menjamin perlindungan raja dan rakyat Melayu, gagal melaksanakan tanggungjawab itu. Orang Melayu tidak mahu lagi bertuankan orang putih.

UMNO ditubuhkan pada 1946 untuk menentang Malayan Union. Sebanyak 41 pertubuhan Melayu bersatu di bawah ke­pimpinan Dato’ Onn Jaafar untuk menubuhkan UMNO dan dengan kesatuan ini rancangan Malayan Union dapat digagalkan pada 1948. Namun Onn terpaksa meninggalkan UMN setelah cadangannya untuk menggantikan Malay kepada Malayan dalam UMNO dan menerima orang bukan Melayu menyertai UMNO ditolak oleh ahli-ahli parti itu.

Dalam pemilihan Yang Dipertua UMNO yang baru menyaksikan Tunku Abdul Rahman mendapat undi tertinggi 57 undi dan Haji Ahmad Fuad seorang tokoh ulama mendapat hanya 7 undi. Setelah kalah merebut jawatan itu, Ahmad Fuad menubuhkan Pas. Tunku pula telah menerima usul untuk mengguna slogan “Merdeka” bagi mengganti slogan “Hidup Melayu” dan bermulalah perjuangan Tunku dan UMNO bagi menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah Inggeris. Dan hasilnya pihak kolonial Inggeris menawarkan kemerdekaan secara berunding kepada rombongan kemerdekaan Malaya yang terdiri daripada wakil perikatan dan juga raja-raja Melayu pada 31 Ogos 1957.

Ketika merangka Perlembagaan negara yang bakal merdeka itu, Tunku walaupun bukanlah lulusan agama namun dalam perjuangan politiknya memberi tumpuan dalam memartabatkan agama dalam Perlembagaan Negara di mana Orang Melayu ditakrifkan menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan sebagai orang yang beragama Islam, lazim berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Malangnya sekarang orang Melayu sendiri yang menolak takrif itu kononnya Melayu perlu diberi kebebasan memilih apa jua agama. Akhir-akhir ini pula terdapat cendekiawan Melayu ­liberal muncul menolak Islam dalam Perlembagaan dan meminta kebebasan untuk kumpulan songsang. Mereka juga mendakwa Malaysia negara sekular dan Islam hanyalah agama individu. Perjuangan mereka adalah selari dengan perjuangan parti pembangkang sekular yang menolak Islam dalam dasar negara kita.

Ketuanan Melayu dan Islam ditolak oleh parti politik Melayu sendiri yang kononnya memperjuangkan keadilan yang mana semua rakyat adalah sama dan tidak wajar wujud diskriminasi. Mereka tidak faham bahawa agenda perjuangan ketuanan Melayu bukanlah berbentuk rasis atau asabiyah yang menindas bangsa lain tetapi sebenarnya selari dengan anjuran Islam yang mana terdapat hadis suruhan Nabi Muhammad SAW supaya melantik orang Quraisy sebagai pemimpin - “Para imam (mesti) dari golongan Quraisy.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al Baihaqi). Hadis yang dimaksudkan walaupun menyebut kaum Quraish secara spesifik tetapi dalam konteks dunia sekarang maksud hadis ini mengkehendaki bangsa, kaum, kumpulan yang terkuat dari sudut politik untuk mentadbir negara dengan tujuan mengelakkan negara daripada krisis politik dan kacau-bilau.

Sejak penubuhannya 70 tahun dulu, UMNO menawarkan pelbagai program sosioekonomi yang memberi manfaat kepada orang Melayu dan program berbentuk Islamik yang memartabatkan agama Islam. Namun perjalanan memartabatkan Islam penuh berliku. Sejak akhir-akhir ini agama telah dijadikan modal politik.

Agama Islam dihina di mahkamah sivil apabila peguam bukan Islam sering mengguna saluran mahkamah sivil dalam kes murtad dan menuntut hak pasangan bukan Islam walaupun cukup jelas isu agama Islam adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang mereka mahu dana zakat disalurkan kepada bukan Islam.

Orang Melayu perlu bertindak bijaksana dalam menangani isu ini. Tindakan pencegahan api perkauman perlu disulam dengan kempen-kempen penerangan bertujuan memupuk persefahaman dan muhibah antara kaum. Dakwah kepada bukan Islam amat penting jika kita impikan keharmonian antara penganut agama terus wujud di masa depan.- 
Oleh:  Mohd. Zuber Zain

No comments:

Post a Comment