Thursday, August 18, 2016

Pertahankan Budaya Dan Warisan Bangsa

HASRAT untuk menjadi sebuah negara maju bukanlah bermaksud kita hanya perlu memandang ke hadapan, sebaliknya melihat kekuatan sejarah yang dimiliki. Dalam usaha kita mengisi nikmat kemerdekaan dengan pembangunan dan kemajuan, budaya dan warisan bangsa adalah sesuatu yang signifikan. Ini adalah amalan, tradisi dan peninggalan zaman berzaman. Ia bukan sahaja mempunyai nilai estetik sosial yang besar dan amat bermakna.

Malah lebih penting, segala warisan dan khazanah budaya ini berupaya menjadi petunjuk dan rujukan kepada salasilah kita. ­Justeru, sekalipun kita asyik dengan segala pemodenan dan kemajuan infrastruktur serta pertumbuhan ekonomi yang lebih berkesejah­teraan, kita tidak seharusnya melupakan aspek nilai budaya dan khazanah warisan bangsa.

Budaya dan warisan bangsa tidak seharusnya dilihat sebagai satu perkara remeh, kecil dan boleh dikesampingkan. Sebalik­nya, ia adalah perkara yang mengisi jiwa anak bangsa. Ini mewujudkan satu ikatan yang merapatkan rasa kebersamaan dan menjadi citra yang menimbulkan rasa cinta dan setia kepada bangsa dan negara.

Melihat kepentingan ini, kerajaan negeri Johor memutuskan perlu ada sistem dan tempat khusus yang dapat merekodkan segala kekayaan budaya bangsa ini. Tempat khusus untuk segala dokumen dan peninggalan bertulis tentang budaya dan khazanah warisan kita dapat disimpan dan dipelihara dengan cara yang terbaik.

Baru-baru ini, saya melancarkan Pusat Dokumentasi Johor. Ini adalah satu usaha dan inisiatif yang bertujuan memastikan budaya dan warisan bangsa Johor kekal, seiring dan terus berkembang. Malahan, berupaya menjadi sebuah identiti bangsa yang terus dibanggakan. Sewaktu menyampaikan ucapan, saya menjelaskan bahawa hasil peninggalan budaya dan warisan bangsa adalah sesuatu yang amat berharga.

Berharga kerana, melalui pe­ninggalan ini, ia bukanlah sesuatu yang tercipta sehari dua. Ia bukanlah yang boleh diubah dan ditukar sesuatu hati. Dan yang lebih ­penting, ia berharga kerana sarat dengan makna dan mewakili banyak perkara besar dalam masyarakat kita. Misalnya, warisan tarian, bentuk persalinan, lenggok dan langgam bahasa. Kesemua ini adalah sesuatu yang menggambarkan kekayaan epistemologi sosial dan sejarahnya yang panjang dan unik. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita selaku generasi hari ini untuk memeliharanya.
 Kedua, merealisasikan konsep Johor Berkemajuan secara komited, menyeluruh dan serius. Perkara ini kita zahirkan selari dengan usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bukan sahaja berjaya dan maju dalam aspek pembangunan dan pemikiran, namun masih berpegang kuat pada akar budaya bangsanya. Kita tidak mahu bangsa kita membesar dan berkembang sekadar menjadi bangsa yang berjaya secara fizikal dan pencapaiannya. Akan tetapi, jauh dan hilang keintiman dengan identiti bangsanya. Lupa pada perkara yang mendefinisikan keturunannya.

Maka, sebagai sebuah bangsa yang berkemajuan, kita harus mencari ikhtiar untuk mewujudkan keseimbangan ini. Keseimbangan dalam mengejar pencapaian pada masa sekarang dan masa hadapan tanpa membiarkan kekayaan khazanah masa lalu terkubur dan dilupakan kerana kita percaya bahawa kedua-dua elemen ini saling melengkapi dan berupaya mendukung antara satu sama lain.

Ketiga, mewariskan kelangsungan identiti pada generasi masa hadapan. Sebagai generasi hari ini yang bertanggungjawab, kita bukan sahaja mesti mewariskan kepada anak-anak kita dan semua generasi akan datang segala kecanggihan infrastruktur yang lengkap dan bertaraf dunia, alam sekitar yang sihat, pendidikan yang berkesan dan sistem sosial yang baik.

Malah, lebih jauh dari itu, kita harus memastikan yang kita turut menyediakan ruang dan peluang kepada mereka untuk kembali menyelidik, mengkaji, dan me­nyusur asal usul mereka.

Ruang dan peluang untuk mereka kembali mengetahui tentang kekayaan budaya bangsanya dan untuk memahami mengapa sesuatu amalan dan tradisi itu muncul dalam masyarakat dan mesti dipertahankan. Dengan melakukan perkara ini, kita harap akan wujudlah satu bentuk kesinambungan terhadap identiti dan budaya bangsa. Dan kita tidak akan ‘berhutang’ dengan generasi masa hadapan.

Selain itu, bagi memper­kukuhkan lagi usaha memartabatkan budaya dan warisan bangsa Johor, pejabat pentadbiran Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah dipindahkan dari Jalan Mariamah ke kompleks di Jalan Sungai Chat. Secara khusus, langkah ini bertujuan agar YWJ mempunyai kedudukan yang lebih terlihat dan strategik. Lebih-lebih lagi kita merancang agar pusat ini menjadi salah satu daripada destinasi ‘wajib pergi’ kepada pengunjung ke Johor. Malah, kita mahu ia menjadi pusat yang menawarkan segala maklumat dan simpanan rekod yang mampu menarik kedatangan pengkaji dan ahli akademik serta pencinta budaya dari rantau ini dan seluruh dunia.

Di sinilah nanti pelancong, pengkaji dan pencinta budaya serta ahli akademik dari dalam negara dan serata dunia akan dihidangkan dengan pelbagai persembahan budaya negeri Johor. Di sinilah akan dipamerkan segala hasil budaya bangsa kita yang rencam dan unik. Malah di sinilah kita akan menonjol dan mempromosikan pelbagai aneka pilihan makanan Johor.

Kita mahu kompleks ini muncul sebagai satu lagi mercu tanda baharu kepada bandar raya Johor Bahru dan Johor. Sempena kedatangan bulan kemerdekaan pada tahun ini, marilah kita menghayati semangat dan roh kemerdekaan dengan mempertahankan budaya dan warisan bangsa kita. Pastinya kemajuan yang kita hasratkan akan lebih sempurna jika disepadukan dengan jati diri dan identiti bangsa yang terus dipertahankan sekali gus menjadi negara yang bermaruah.

Oleh : DATUK SERI Mohamed Khaled Nordin ialah Menteri Besar Johor

No comments:

Post a Comment