Saturday, June 25, 2016

Rumah Pangsa Di Malaysia Macam Setinggan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menyuarakan kebimbangan kami berhubung keadaan kehidupan di flat kos rendah dan sederhana yang boleh dikatakan amat buruk dan daif.

Inilah hakikat yang boleh kami kemukakan selepas kami melakukan tinjauan di beberapa buah flat kos rendah dan sederhana di sekitar kawasan pulau dan Seberang Perai.

Pelbagai laporan sudah dikemukakan mengenai keadaan flat-flat berkenaan yang amat teruk. Bagaimanapun di sebalik pelbagai laporan mengenainya, penghuni flat masih menjalani kehidupan dalam keadaan yang serba daif dan buruk.

CAP memandang berat akan beberapa peristiwa yang mengejutkan di flat seumpamanya – seperti kejadian di mana kanak-kanak maut setelah terjatuh dari tingkat yang tinggi apabila besi pengadang yang sudah berkarat dan reput patah, atau kawasan pembuangan sampah yang dipenuhi tikus dengan bahan buangan yang busuk.

Sehubungan itu kami memutuskan untuk membuat tinjauan berhubung perkara ini.

Kami melakukan tinjauan di tiga buah flat kos rendah dan sederhana di Seberang Perai dan lima buah flat di sebelah pulau. Hasil pemantauan kami diperolehi melalui temu bual dengan penghuni flat serta pemerhatian yang dilakukan oleh pegawai kami.

Berdasarkan pemantauan berkenaan, kami boleh menyimpulkan keadaan flat tersebut tidak ubah seperti kawasan setinggan.

Sebahagian daripada masalah utama yang dihadapi oleh penghuni-penghuni flat kos rendah dan sederhana termasuklah:
- Keluarga dengan ahli keluarga yang ramai atau pekerja asing tinggal bersesak-sesak dalam unit-unit yang kecil dan sempit.

- Bangunan tinggi ini mempunyai rekabentuk yang buruk.

- Kurangnya pencahayaan dan peredaran udara semula jadi untuk penghuni.

- Ketiadaan sistem pembuangan sampah yang teratur atau sempurna.

- Penyelenggaraan tempat dan kemudahan awam yang buruk.

- Lif yang rosak kekal tidak dibaiki untuk jangka masa yang lama.

- Tahap kebersihan amat buruk dan tidak memuaskan.

- Penyalahgunaan ruang awam.

- Taman permainan, tempat meletak kenderaan dan halaman tidak sempurna dan tidak selamat untuk digunakan.

- CCTV tidak berfungsi dengan sempurna.

- Tikus berkeliaran.

- Bekalan elektrik sering terputus di sekitar koridor.

Sungguhpun pemerhatian dilakukan dalam jangkamasa yang singkat, namun ia sudah cukup menunjukkan keadaan flat kediaman kos rendah dan sederhana merupakan masalah yang serius dan perlu segera ditangani memandangkan semakin ramai orang tinggal di flat.

Langkah yang jelas ke arah kehidupan yang lebih baik bagi penghuni flat ialah dengan mencontohi negara-negara yang mempunyai sistem perumahan awam yang sempurna.

Negara jiran kita, Singapura, boleh menjadi contoh yang baik bagi kita. Di Singapura, flat diurus dan diselenggara oleh majlis perbandaran di kawasan masing-masing.

Ini menimbulkan persoalan mengenai langkah yang diambil Suruhanjaya Bangunan (COB) negeri-negeri di Malaysia yang tugasnya seolah-olah sama seperti majlis perbandaran Singapura – untuk mempertingkatkan taraf kehidpan penghuni flat.

Keadaan nampaknya bukan bertambah baik tetapi sebaliknya bertambah buruk; menyebabkan kita mula tertanya-tanya sama ada COB di setiap negeri menjalankan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Sehubungan dengan perkara di atas, CAP menggesa kerajaan Malaysia agar segera mengambil langkah-langkah pembaikan untuk mengubah keadaan penghuni flat kos rendah dan sederhana yang tidak ubah seperti kawasan penempatan setinggan.

Di antara saranan yang kami boleh berikan bagi meningkatkan taraf flat-flat seumpamanya termasuklah:
- Kerajaan perlu melakukan tinjauan yang menyeluruh di seluruh negara agar ia boleh mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penghuni flat kos rendah dan sederhana.

- Kerajaan perlu mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan membabitkan semua flat kos rendah dan sederhana, seperti yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Singapura.

- Peranan jabatan COB (sebahagian daripada majlis tempatan) perlu disemak semula dan dipertingkatkan demi memastikan ia masih berkaitan dan bermanfaat.

- kos rendah dan sederhana tidak sepatutnya menyamai kawasan perumahan yang sesak dan bermutu rendah. Ia sepatutnya menjadi kediaman yang selesa didiami, mampu milik dan memenuhi keperluan penghuninya; sekali lagi Singapura menjadi contoh yang terbaik untuk kita.

Oleh : S.M. Mohamed Idris

No comments:

Post a Comment