Sunday, June 19, 2016

Jadi Hamba Allah, Bukan Hamba Ramadan!

SEKEJAP sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik kita sudah melangkah masuk ke bulan Ramadan. Terasa masih baru berpisah dengan Ramadan tahun lalu. Mengapakah masa dirasakan semakin laju bergerak? Adakah putaran bumi semakin laju? Tidak sama sekali! Rasa deras masa berlalu termasuk dalam rangkuman “tanda akhir zaman” yang disebut oleh Rasulullah SAW:
“Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah masa menjadi singkat, setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan satu Jumaat, Jumaat bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma,” - Sunan Tirmizi.

Oleh itu, segeralah panjatkan syukur kepada Allah apabila sekali lagi berjaya melangkah kepada bulan ini. Perhatikan kisah mimpi yang sungguh ajaib ini. Jadikan ia motivasi untuk melajukan pacuan ibadah pada Ramadan ini kerana belum tentu pada tahun depan ia menjadi milik kita.
“Talhah bin Ubaydillah menceritakan, pada suatu hari dua orang lelaki dari suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Kedua-duanya memeluk Islam secara serentak. Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun sebelum meninggal dunia.

“Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki syurga, kemudian dia datang semula kepadaku dan berkata: “Engkau pulanglah, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.

“Menjelang pagi Talhah menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi kepada orang ramai, maka mereka semua hairan dengan mimpinya. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: Apa yang menghairankan kamu semua? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah SAW lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.

“Jawab Nabi: Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun? Jawab mereka: Benar. Sambung baginda lagi: Bukankah dia telah mendapat bulan Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu? Jawab mereka: Benar. Sabda Nabi SAW: Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi,” - Sunan Ibn Majah.


NILAI RAMADAN
Bagi memudahkan kefahaman berkaitan hamba Allah dan hamba Ramadan, izinkan saya beranalogi. Apa ada dengan tarikh “31 Ogos” setiap tahun bagi Malaysia tanpa adanya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu? Begitulah juga dengan Ramadan, apa ada dengan Ramadan tanpa penurunan al-Quran? Bukan setakat al-Quran, Ramadan turut dimasyhurkan Allah dengan penurunan banyak wahyu langit. Sabda Rasulullah SAW:
“Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pada 6 Ramadan, Injil pada 13 Ramadan, Zabur pada 18 Ramadan dan al-Quran pada 24 Ramadan,” - Musnad Ahmad.

Walaupun Ramadan begitu istimewa berbanding bulan lain, jangan pula kita menjadi hamba Ramadan tetapi jadilah hamba Allah yang melimpahkan siraman rahmat-Nya dalam bulan ini. Petanda mudah mengenal hamba Ramadan adalah orang yang hanya mengenal Allah pada bulan ini sahaja. Setelah berlalunya Ramadan, rasa gerun, takut dan cinta kepada Allah menyusut lantas hilang ditelan masa. - utusan malaysia

No comments:

Post a Comment