Sunday, May 29, 2016

Ramadan Bukan Pesta Makanan

RAMADAN sepatutnya menjadi bulan untuk kita memperbanyakkan lagi amal ibadat apatah lagi pada bulan tersebut syaitan dirantai dan bukan menjadikannya bulan pesta makanan. Allah memberikan peluang keemasan kepada kita untuk meningkatkan pengabdian diri kepada Tuhan Yang Maha Esa pada bulan tersebut.

Oleh itu, dengan kedudukan Ramadan yang begitu tinggi, tidak sewajarnya bulan yang mulia ini dicemari dengan promosi berbuka puasa di hotel ala pesta makan. Pada pandangan saya, tindakan mengkomersialkan bulan Ramadan ini adalah satu perkara yang begitu menyinggung perasaan umat Islam.

Berpuasa bukan hanya mengelakkan daripada makan semata-mata tetapi memastikan semua deria kita di bawah kawalan supaya tidak melakukan perkara yang berdosa seperti bersikap lahap, berbohong, menikam dari belakang, membazir masa dan menindas orang lain sebaliknya umat Islam dikehendaki meluangkan masa untuk mendirikan solat, mengingati Allah serta menolong golongan miskin dan memerlukan.

Puasa kita tidak akan bermakna melainkan kita berusaha untuk menjadi insan lebih bertakwa. Jika tidak kita akan tergolong dalam sekumpulan umat Islam seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Ramai yang berpuasa malangnya mereka tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”

Islam menganjurkan setiap umatnya sentiasa menjauhkan diri daripada sikap pelahap, membazir dan boros. Justeru amat bertentangan dengan sikap sesetengah daripada kita yang menjadikan Ramadan sebagai pesta makan dan minum sehingga mengabaikan solat wajib serta Tarawih. Makan mengikut hawa nafsu juga memberikan kesan sampingan kepada kesihatan yang amat serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

Seperkara lagi disebabkan hidangan terlalu banyak secara tidak langsung berlaku pembaziran. Selain di hotel pembaziran juga berlaku di rumah disebabkan hidangan yang terlalu banyak. Akibatnya banyak makanan dibuang ke dalam tong sampah. Pada tahun lepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pernah melaporkan bahawa setiap Ramadan 200,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah.

Membuang makanan adalah satu dosa kerana menafikan makanan untuk mereka yang lebih memerlukan. Perbuatan itu juga melupuskan sumber selain menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta pengeluaran karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global.

Salah satu tujuan utama berpuasa adalah untuk sama-sama kita berkongsi erti kesengsaraan dan kelaparan yang dialami golongan miskin supaya kita akan turut bersimpati dengan nasib mereka. Berjuta-juta orang di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan berdepan dengan kebuluran tetapi malangnya kita membuang sejumlah besar makanan dalam bulan yang mulia ini.

Al-Quran mengecam mereka yang membazir dan bersikap boros malah turut disifatkan sebagai saudara syaitan. Kecaman Allah itu terkandung dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27. Allah juga ada berfirman dalam surah al-A’raf yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias setiap kali kamu ke tempat ibadat (mendirikan solat) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.”

No comments:

Post a Comment