Thursday, April 14, 2016

Kapal Angkasa Bersaiz Telefon Bimbit Dilancar



Yuri Milner (kiri) dan Stephen Hawking (berkerusi roda) mengumumkan pelancaran projek penjelajahan ke Sistem Bintang Alpha Centauri yang dinamakan Breakthrough Starshot di New York, kelmarin. Agensi

NEW YORK - Pengembaraan angkasa le­pas akan memasuki fasa baharu apabila satu projek me­lancarkan beribu-ribu kapal ­angkasa mini bersaiz sebesar te­lefon bimbit bakal menjadi kenya­taan.

Projek dinamakan Breakthrough Starshot itu akan menyaksikan ribuan kapal angkasa seberat hanya 28 gram melalui perjalanan selama 20 tahun ke Sistem Bintang Alpha Centauri, yang terletak sejauh 40 trilion kilometer dari Sistem Solar.

Saintis percaya, terdapat sebuah planet menyerupai Bumi di Sistem Bintang Alpha Centauri dan pelancaran kapal angkasa mini boleh membantu penyelidikan mereka.

Projek tersebut dipelopori ahli fizik terkemuka, Stephen Haw­king dan pelabur Internet, Yuri Milner yang menyumbang sebanyak AS$100 juta (RM387.4 juta).

Milner dan panel pakar ketika mengumumkan rancangan terbabit semalam berkata, kemungkinan kapal-kapal angkasa mini ber­kenaan akan menemukan planet baharu atau kehidupan di bintang tersebut atau di kawasan lain walaupun belum ada pengesahan tentang pe­nemuan seumpama itu.

Kata Hawking, mereka sanggup membuat lonjakan besar itu kerana sifat semula jadi manusia yang suka menjelajah.

Projek itu diumumkan sempena ulang tahun ke-55 penerbangan manusia pertama ke angkasa lepas, Yuri Gagarin.

Selain Milner dan Hawking, ­pe­ngasas Facebook, Mark Zuckerberg turut menyertai projek ber­kenaan termasuk sepasukan saintis.

Kapal-kapal angkasa mini itu akan dilancarkan menggunakan roket konvensional dan akan dilepas bebas secara individu de­ngan memperoleh tenaga melalui pancaran laser dari Bumi.

Milner berkata, kapal angkasa terbabit akan melalui perjalanan 2,000 kali lebih jauh daripada kawasan yang pernah dijelajah oleh kapal angkasa sebelum ini.

Tambah beliau, dana sebanyak RM387.4 juta yang diumumkan semalam hanya untuk pelaksa­naan projek, namun pelancarannya mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi. – utusan

No comments:

Post a Comment