Friday, December 18, 2015

Pakatan Tentera Negara Islam

DUBAI - Arab Saudi, hari ini mengumumkan pembentukan pa­sukan tentera perikatan terdiri daripada 34 buah negara Islam, termasuk Malaysia bagi me­me­rangi keganasan.

Menurut satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA, antara negara yang membentuk tentera perikatan itu ialah Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turki, Malaysia, Pakistan dan negara-negara Teluk dan Afrika.

“Negara-negara tersebut bersetuju membentuk satu perikatan ketenteraan diketuai Arab Saudi bagi memerangi keganasan dengan membuka sebuah pusat operasi bersama beribu pejabat di Riyadh bagi menyelaras dan menyokong operasi ketenteraan,’’ kata kenyataan itu.

Pengumuman itu menyebut, pasukan berkenaan ditugaskan untuk melindungi negara-negara Islam daripada kejahatan yang dirancang kumpulan dan pertubuhan pengganas tanpa mengira fahaman dan nama mereka yang boleh mengakibatkan kematian dan kerosakan di muka bumi dan bertujuan untuk mencetuskan ketakutan kepada penduduk yang tidak bersalah.

Bagaimanapun, Iran yang me­rupakan seteru utama Arab Saudi tidak menyertai pakatan itu, ketika konflik proksi antara dua kuasa serantau itu merebak dari Syria ke Yemen.

Amerika Syarikat (AS) ketika ini lantang memberi pandangan bahawa negara-negara Teluk perlu berusaha lebih untuk membantu kempen ketenteraan ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) yang berpusat di Iraq dan Syria.

Dalam satu sidang media yang jarang-jarang berlaku, Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Menteri Pertahanan, Mohammed bin Salman berkata, kempen itu akan ‘menyelaras’ usaha meme­rangi keganasan di Iraq, Syria, Libya, Mesir dan Afghanistan.

“Akan terdapat penyelarasan antarabangsa dengan kuasa-kuasa besar dan pertubuhan antarabangsa daripada segi operasi di Syria dan Iraq (bagi memerangi keganasan).

“Kita tidak boleh menjalankan operasi ini tanpa penyelarasan yang sah pada peringkat ini dan masyarakat antarabangsa,’’ kata Mohammed.

Ketika ditanya apakah perikatan baharu itu akan memberi tumpuan hanya kepada kumpulan militan IS, Mohammed berkata, pasukan berkenaan akan berdepan bukan sahaja dengan kumpulan militan itu, namun mana-mana pertubuhan pengganas ‘yang muncul di depan mereka’. – Utusan

No comments:

Post a Comment