Saturday, August 15, 2015

Strategi DAP Dengan impian Malaysianya

DAP sejak ditubuhkan pada 1965, mempunyai impian besar untuk memerintah Malaysia. Roh PAP Singapura yang dimilikinya walaupun sudah bertukar kepada Impian Malaysia tetapi tekad Malaysian Malaysia tetap tidak berubah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) DAP telah berjaya mempengaruhi orang Cina menjadi faktor penting dalam Pakatan Rakyat (PR) dan membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memenangi banyak kerusi. DAP dan sebahagian besar orang Cina menjadi de facto atau bukti nyata menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara jangka panjang.

DAP tahu kekuatan UMNO dan BN tidak mudah digugat melainkan orang Melayu dalam PKR dan Pas bersama. DAP menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai aset utama melakukan lonjakan ke Putrajaya walaupun DAP tahu Anwar juga liabiliti atau beban bagi strategi perjuangannya dan melunakkan Pas dengan perjuangan negara Islamnya kepada negara berkebajikan.

Seperti diketahui DAP mempunyai sikap yang jauh berbeza dengan perjuangan Pas. DAP boleh bersetuju dengan Islam yang sifatnya individual bukan negara atau sistem. Ternyata apabila Pas ingin kembali kepada perjuangan Islam dan aplikasi Syariah Islamiah tembelang sebenar DAP terlihat.

Anwar dan PKR mengambil sikap yang sama dengan DAP walaupun Enakmen Syariah Kelantan itu dalam batas takzir bukan hudud yang sebenar. Anwar boleh menyokong DAP walaupun Anwar pernah memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) dan mahu menjadikan Islam sebagai suatu sistem yang diperkasakan tetapi kini berubah hala kerana muslihat politik dan ingin menguasai Putrajaya.

Kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO kini boleh memberi keuntungan kepada strategi DAP dan strategi DAP mendukung Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah usaha melemahkan Pas dan menyediakan regu dalam PR untuk menjadi ‘lembu-laga’ dan menjatuhkan UMNO, BN dan Pas.

Lim Kit Siang yang menjadi dalang utama menggerakkan GHB dalam sebuah majlis di Pontian baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh The Star Online menyatakan: “Ini nanti (pelancaran GHB) akan menjadi suatu sejarah buat politik Malaysia di mana akan lahirnya sebuah parti Islam (baharu) yang inklusif dan lebih terbuka min­danya”.

Apa maksud Kit Siang parti Islam yang inklusif dan lebih terbuka mindanya? Parti Islam yang inklusif pada hemat penulis bukan sifatnya peribadi dalam batas ritual semata tetapi harus menepati maksud Islam itu sendiri sebagai suatu sistem kepercayaan dan juga cara Hidup.

Cara hidup Islam kalau difahami oleh DAP mengutarakan asas keadilan dan kesaksamaan. Islam pernah muncul sebagai suatu tamadun lebih 700 tahun dan menyebabkan berlakunya pencerahan di Barat dengan integrasi ilmu agama, sains dan teknologi. Pendekatan DAP adalah liberal sekular dan menolak agama sebagai unsur penting dalam bernegara.

Peliknya ada kelompok-kelompok gerakan Islam bersama dalam Impian Malaysia DAP dan menentang Pas dan ingin menjatuhkan kerajaan memahami bahawa DAP memperjuangkan keadilan, kesamarataan bukan mengambil pendekatan Islam tetapi pendekatan liberal dan sekular pragmatik berorientasikan sosialis demokratik.

Pendekatan ini sangat bercanggah dengan pendekatan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan ABIM yang puluhan tahun sistem tarbiahnya memperkasa Islam dalam sistem dan menjadikan patuh syariah sebagai asas binaan sistem dan negara.

Apa muslihat politik mereka tidak mahu bersama dengan gerakan politik yang menjadikan Islam sebagai strategi pemerkasaan sistem dan negara yang sedang berlaku di Malaysia kini walaupun dengan cara gradual dan sederhana.

Melakukan analisis mengenai Impian Malaysia DAP, ia berkait rapat dengan strategi PAP di Singapura. Dr. Lily Zubaidah dalam bukunya ‘The Singapore Dilemma: The political and Educational Marginiality of the Malay Community’, Oxford University Press, 1998, menunjukkan perbezaan pekerja lelaki Melayu dan Cina selepas 23 tahun Singapura mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara republik.

Didorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepentingan politik PAP ataupun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya dan penduduk pribumi di rantau ini, Lee Kuan Yew mengaitkan orang Melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang lain (Mauzy, 1983:32).

Faktor sejarah dan budaya jelas menyatakan bahawa Malaysia, Si­ngapura dan Indonesia berada dalam lingkungan Dunia Melayu atau Alam Melayu seperti entiti Taiwan dan Hong Kong berada dalam lingkungan Dunia Cina dan Alam Cina. Kedatangan orang Melayu dari Indonesia ke Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) adalah perpindahan dalam dunia mereka dan bukannya pendatang asing.

Straits Times Singapore, 3 Februari 1988 menyatakan Banci Penduduk 1980 secara samar-samar mentakrif Melayu atau Indonesia seperti orang Jawa tanpa mengaitkannya dengan Islam. Walaupun sembilan Ahli Parlimen Melayu mengusulkan kepada Jawatankuasa Pilihan untuk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) supaya memasukkan kriteria Islam ke dalam takrif Melayu tetapi Jawatankuasa Pilihan tersebut mentakrif Melayu bukan dari segi Islam.

Maklumat di atas menjadi terlalu jelas mengenai peminggiran orang Melayu di Singapura se­perti yang sedang berlaku di Pulau Pinang dalam isu perumahan rak­yat mampu milik.

Impian Malaysia mengambil model Singapura yang memberi fokus kepada Malaysian Malaysia boleh terjadi kerana majoriti orang Cina yang menyokong DAP dan sekutunya menguasai sumber ekonomi dan pendidikan juga aktif dalam pembangunan bandar-bandar ba­haru dan mendalamkan lagi jurang ekuiti serta memba­ngunkan perumahan mewah sebagai tanda berlakunya pertumbuhan dan memberi fokus kepada pembangunan harta tanah yang tidak mampu dibeli oleh orang Melayu dan menyebabkan taburan penduduk menyumbang kepada politik DAP jangka panjang dan boleh meminggirkan orang Melayu akhirnya.

Senario ini sangat penting diinsafi oleh orang Melayu kerana pemerintahan yang ada memberi ruang luas untuk orang Cina penyertai pembangunan ekonomi dan juga pendidikan di samping membangun keadaan ketidakseimbangan yang dialami oleh orang Me­layu.

Oleh : Ibn Hikam

No comments:

Post a Comment