Tuesday, December 9, 2014

Patriotiknya Mereka, Kita Bagaimana?

Taiwan Tolak Hasrat Syarikat Malaysia
TAIPEI 8 – Hasrat syarikat Malaysia untuk memiliki kepentingan ke atas bangunan pencakar langit Taiwan, Taipei 101 dijangka tidak kesampaian apabila kerajaan negara itu menentang pemilikan asing ke atas menara tersebut.

Jumaat lalu, IOI Properties Berhad menyatakan minatnya untuk membeli kepentingan Taipei Financial Center bernilai RM2.74 bilion yang dimiliki oleh Ting Hsin International Group.

Menteri Kewangan Taiwan, Chang Sheng-ford memberitahu parlimen negara itu bahawa Taipei 101 tidak boleh dimiliki oleh pihak asing kerana bangunan itu aset negara.

“Penilaian yang dibuat IOI didapati mahu mempunyai kuasa pengurusan berbanding hanya pelaburan kewangan semata-mata,” katanya.

Pesuruhjaya Pelaburan Taiwan menjelaskan bahawa, kajian untuk transaksi tersebut akan dikaji dengan mendalam terlebih dahulu. Penjelasan itu dibuat sebaik sahaja parlimen negara itu mendesak hasrat syarikat Malaysia itu ditolak.

IOI dimiliki oleh orang kelima terkaya di Malaysia, Tan Sri Lee Shin Cheng. IOI menjelaskan, pembelian tersebut akan membolehkan Taipei 101 memperoleh pendapatan sewa yang stabil. – REUTERS

**************************************************************
Kita Tidak Kurang Bakat Hebat
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Malaysian Airlines (MAS) me­lantik rakyat asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kerana masih terdapat rakyat tempatan yang layak memimpin syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, pelantikan rakyat asing ke jawatan tertinggi itu seolah-olah memberikan pengakuan bahawa rakyat tempatan tidak berpengetahuan mengendalikan syarikat penerbangan.

Dr. Mahathir menegaskan, rakyat Malaysia tidak bodoh dan mempunyai banyak bakat untuk menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat penerbangan itu.

“Saya khuatir jika kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri satu hari nanti mungkin kita hendak Perdana Menteri pun orang putih sebab dia lebih pandai daripada kita.

“Bagi saya orang Malaysia tidak bodoh, waktu zaman British dahulu kita merupakan sebuah negara yang cukup kolot dan miskin namun, dapat membangun selepas merdeka dengan dipimpin oleh orang Malaysia, kita ada banyak bakat dalam negara tetapi hendak panggil konsultan dan pengarah pun panggil orang asing, ini kita bagi pengakuan bahawa kami bodoh, tolonglah kami pimpinlah kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengurusan kualiti Islam di Hotel Everly di sini hari ini. -utusan malaysia

No comments:

Post a Comment