Saturday, October 4, 2014

BR1M Akan Disebut Berulang-Ulang Kali...!

Menangani Kegelisahan Rakyat
PADA Rabu lalu, sekali lagi stesen minyak diserbu. Sebaik sahaja berita rasionalisasi subsidi petrol dan diesel akan bermula pukul 12.01 tengah malam Khamis, berderet-deret kenderaan membuat barisan menunggu giliran seawal pukul 6 petang hari tersebut. Menjelang tengah malam, khabarnya barisan masih panjang.

Begitulah keadaannya setiap kali ada ‘pengumuman’ ini. Masing-masing berlumba-lumba mahu memenuhkan tangki petrol dan diesel kenderaan buat kali terakhir dengan harga lama sebelum harga baru berkuat kuasa.

Namakan apa sahaja, rasionalisasi subsidi, pengurangan subsidi, penyelarasan harga atau istilah-istilah ekonomi dan perdagangan lain, hakikatnya langkah ini bukan sesuatu yang menggembirakan. Walaupun ‘dirasional’ dan disokong dengan fakta-fakta ekonomi semasa, tidak semua terpikat. Jika dilihat dari sudut ekonomi langkah itu memberi banyak manfaat dan faedah kepada ekonomi dan pembangunan negara dalam tempoh jangka panjang, namun tidak ramai yang berminat.

Berita ‘rasionalisasi subsidi’ yang diumumkan itu disambut dengan keluhan. Reaksi tidak perlu ditulis di sini. Tengok sahaja WhatsApp, Facebook, Twitter, Telegram dan blog. Macam-macam ada. Ada gambar, ada rajah, ada infografik, ada parodi, ada pantun, seloka, gurindam dan ada skrip. Bermacam-macam nada. Marah, kecewa, geram, lucu dan sinis.
Tiada siapa yang suka dengan berita ‘kenaikan’ ini. Lainlah kalau yang naik itu gaji atau pangkat. Walaupun pengumuman itu disusuli dengan jaminan insentif-insentif lain bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berita sedemikian masih belum mampu ‘meredakan’ perasaan ramai orang.

Golongan yang bergaji kecil, sederhana dan kelas pertengahan sudah pasti menerima kesan besar. Apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tidak turun-turun ini. Harga barang keperluan dan kos perkhidmatan terus meningkat dari sehari ke sehari.

Secara mudahnya apabila berlaku rasionalisasi subsidi bahan api ini maka berlakulah juga ‘rasionalisasi’ kepada harga barang dan perkhidmatan lain. Barang basah, barang kering, barang makanan, minuman, produk-produk pengguna, kos pengangkutan seperti van dan bas sekolah dan pelbagai lagi sudah pasti akan terkena tempias rasionalisasi subsidi tersebut.

Berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas persatuan bas dan van sekolah awal-awal lagi akan menuntut mahu menaikkan tambang masing-masing. Itu belum masuk perkhidmatan lain, lori, bas, teksi, kereta sewa dan pelbagai lagi.

Sehari dua ini mungkin tidak nampak lagi. Maklumlah pasukan penguat kuasa tengah bersemangat memantau. Tengoklah sebulan dua selepas ini, akan ada restoran dan kedai makan menaikkan harga makanan dan minuman secara diam-diam. Harga produk-produk pengguna di pasar-pasar raya pun akan naik.

Kebanyakan pengguna tidak sedar atau perasan pun. Tetapi ramai juga yang prihatin dan ambil berat bab-bab membayar ini. Mereka akan minta bil setiap kali membayar di kaunter. Di situlah nanti mereka semak harga air atau roti canai yang dimakan. Naik atau tidak.

Sesetengah restoran dan kedai makan tidak tergamak menaikkan harga. Mereka menggunakan cara lain. Harga makanan dan minuman kekal macam biasa, hanya isi padu sepinggan makanan ‘dirasionalisasikan.’ Pengguna hanya menyedarinya apabila makan makanan yang sama tetapi tidak sekenyang dulu atau makanan cepat habis!

Bila timbul isu-isu kenaikan harga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta beberapa agensi yang terlibat sekali lagi berhadapan dengan satu lagi cabaran besar. Beberapa bulan lalu kementerian itu ‘berperang’ dengan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi. Itu pun selepas akhbar Utusan Malaysia membongkar sindiket berkenaan. Hampir setiap hari ada sahaja tangkapan. Ramai ahli sindiket sudah didakwa di mahkamah.

Kali ini cabarannya lagi besar. Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap harga barangan pengguna perlu dilakukan secara menyeluruh dan sepanjang tahun. Bukan secara berkala atau setelah menerima aduan atau selepas ‘dicuit’ pihak tertentu. Biarlah aktiviti ini ‘hangat’ sepanjang masa dan bukan sekadar ‘hangat-hangat najis ayam.’

Lakukanlah secara diam-diam. Bila sudah berjaya baru umumkan. Jangan sekadar mengumumkan jumlah pemantauan dan berapa banyak operasi yang sudah dijalankan. Itu tidak penting. Yang lagi mustahak harga produk pengguna tidak dinaikkan sesuka hati oleh peniaga, penjual dan pemborong menggunakan alasan ‘pengurangan subsidi petrol dan diesel.’

Oleh kerana pengurangan subsidi dua bahan api itu memberi kesan langsung kepada semua orang, kita sebagai pengguna pun perlu bertindak. Jangan lagi berdiam diri dan mengeluh sahaja. Jika merasakan harga barangan pengguna tiba-tiba naik sehingga ke tahap tidak masuk akal, jangan bertangguh lagi.

Contohnya kalau sekotak susu rendah lemak naik sampai RM2 berbanding harga pada bulan lalu, ini sudah melampau. Laporkan sahaja kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa pula kena bertindak cepat menyiasat. Pengguna mahu melihat kesungguhan penguatkuasaan. Ramai juga berharap kerajaan mengumumkan sesuatu yang menggembirakan hati kumpulan yang terkena kesan besar pengurangan subsidi ini dalam pembentangan Bajet 2015 minggu depan.

Sekurang-kurangnya rasa gelisah rakyat terhadap segala macam kenaikan ini sedikit sebanyak dapat ‘dirasionalisasikan.’

Oleh : Rozaman Ismail

No comments:

Post a Comment