Wednesday, September 17, 2014

Menjatuhkan UMNO Tetap Keutamaan

KOTA TINGGI 16 Sept. - Walaupun menyedari Pas dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang' dalam pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini secara terbuka mempertahankan kerjasama tersebut.

Beliau menegaskan sungguhpun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan parti-parti pakatan pembangkang tetapi kerjasama tersebut akan dipertahankan kerana matlamat untuk menjatuhkan UMNO kekal sebagai keutamaan.

"Perbezaan pendapat dalam sesuatu pakatan adalah perkara biasa namun untuk menghadapi UMNO kita tidak akan sesekali merosakkan hubungan yang telah terjalin sejak beberapa tahun ini.

"Jangan cuba kenyit mata, kalau mereka (UMNO) hulurkan tangan untuk bersalam kita akan menampar tangan itu," katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat, di sini hari ini.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Pas boleh berbincang dengan UMNO berhubung isu-isu tertentu tetapi bukan untuk menjalinkan kerjasama politik kerana buat masa ini mereka kekal bersama pakatan pembangkang.

"Kita (Pas) mungkin berbeza pendapat dengan ahli keluarga dalam pakatan (PKR dan DAP) tetapi jangan sampai hilang kawan kerana perkara itu akan memberikan kekuatan kepada musuh," katanya.

Mohamad sebelum ini dilihat antara pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama yang paling lantang mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP, walaupun ada desakan oleh ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi supaya tahaluf siyasi tersebut dikaji semula kerana ia dikatakan tidak menguntungkan parti itu dari segi perjuangan Islamnya.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment