Sunday, August 3, 2014

Kosong-Kosong Yang Kosong

Adalah lebih afdal jika umat Islam bersalaman pada hari raya sambil melafazkan ucapan`memaafkan saya zahir dan batin' berbanding hanya ungkapan `kosong-kosong'.



Perangai Orang Kita Pada Ramadan Dan Syawal
PEJAM celik sudah seminggu kita meninggalkan bulan Ramadan. Ikut kiraan hari ini 8 Syawal, bermakna masuk hari kelapan umat Islam berhari raya. Lazimnya kedatangan Syawal disambut dengan gembira. Ada aktiviti kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi sanak saudara dan rakan taulan.

Pada zaman sebelum alaf baru, paling lama hari raya disambut ialah lima hari. Itu pun dah terasa lama. Tapi sekarang, habis 30 Syawal pun ada orang masih berhari raya. Semua ini kerana orang sibuk nak berkunjung ke rumah terbuka. Kalau tak ada rumah terbuka, saudara mara atau kenalan tidak mahu datang ke rumah.

Betul kata alim ulama, umat Islam sekarang tidak macam umat terdahulu yang pentingkan semangat mengerat silaturahim dan bermaaf-maafan.
Jangan terikut-ikut slogan 'kosong-kosong' yang dicanang dalam saluran tv berbayar. Mana boleh jadi kosong-kosong kalau tiada lafaz memohon maaf zahir dan batin. Setakat ucap "Selamat Hari Raya Aidilfitri" dan "kosong-kosong" tidak memberi makna apa-apa. Dosa-dosa yang lepas pun belum dimaafkan, jadi macam mana 'mereka' boleh kata kosong-kosong.

Yang kosong-kosong itu ialah pengucapnya dapat kosong - tak dapat pahala langsung. Jadi lafazkanlah ucapan selamat hari raya berserta dengan mohon kemaafan daripada ahli keluarga atau saudara mara dan kenalan. Jangan diikut cara popular dalam saluran berbayar itu.

Satu perkara lagi, sesetengah orang kita cepat lupa dan lalai bila masuk bulan Syawal. Segala amalan dan kemuliaan bulan Ramadan begitu pantas dilupakan. Saya bukan alim sangat. Tapi bila direnungkan semula, apakah amalan kita sepanjang Ramadan lalu diterima oleh Allah? Atau puasa kita sekadar ujian dan latihan semata-mata!

Anda boleh setuju atau menolak pandangan saya. Biasanya bila masuk sahaja bulan Syawal, sekelip mata ada antara kita yang sudah melupakan amalan sepanjang bulan Ramadan. Selama satu bulan kita boleh menahan lapar dan dahaga kerana bulan Ramadan, tapi tiba-tiba banyak amalan kita tinggalkan bila berada dalam bulan Syawal.

Cuba imbas sebaik-baik selepas pengumuman tarikh hari raya Ahad minggu lalu. Kita begitu cepat menukar 'baju' yang dipakai selama sebulan Ramadan. Kenapa baru beberapa jam meninggal Ramadan, kita sudah berubah.

Jarak masa tak sampai satu hari, banyak yang kembali pada 'kejadian' sebelum Ramadan. Jangan-jangan pada bulan mulia itu, banyak antara kita menjadi orang 'jadi-jadian.'

Saya bukan pandai agama, tapi setiap tahun rasa pelik melihat perangai orang Melayu kita. Jangan lupa pada bulan puasa, syaitan dipenjarakan, tiba bulan Syawal, syaitan kembali berkeliaran menggoda nafsu umat Islam. Mungkin sebab itu perangai kita semasa Ramadan dan Syawal jauh berbeza. Jadi pandai-pandailah jaga diri pada bulan Syawal.

Pada sepanjang bulan Ramadan, masjid dan surau boleh dikatakan penuh jemaah. Kebanyakan wanita berpakaian sopan mengikut tuntutan syariat Islam, bahkan anak-anak remaja sanggup pulang awal selepas sekolah atau tempat kerja semata-mata ingin bersama ahli keluarga berbuka puasa dan bersolat berjemaah. Agak-agak amalan yang baik itu diteruskan atau tidak?

Sepanjang Ramadan, banyak hartawan dan jutawan Melayu berlumba-lumba dan suka bersedekah untuk anak yatim, ibu tunggal dan golongan miskin tetapi selepas berlalunya Ramadan, apakah amalan itu diteruskan? Kalau diteruskan mungkin sehingga akhir bulan Syawal sebab banyak rumah terbuka diadakan untuk meraikan pula golongan yang tidak sempat diraikan semasa Ramadan.

Apa pun, bersyukur kita tinggal di Malaysia yang tiada pergolakan dan peperangan. Bayangkan bagaimana umat Islam Palestin di Gaza, rakyat Syria dan penduduk Rohingya di Myanmar mengharungi bulan Ramadan dan Syawal.

Biasanya mereka tidak dapat menyambut hari raya sebagaimana sepatutnya. Mereka dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, ditimpa pelbagai musibah, kemiskinan dan bermacam-macam lagi.
Sempena Hari Raya Aidilfitri 1435 H, janganlah kita kotorkan kembali diri kita dengan melakukan maksiat. Jika dilakukan, nampak sangat kita mudah kalah kepada hasutan nafsu dan syaitan.

Mudah-mudahan segala amalan yang kita kerjakan pada bulan Ramadan lalu diterima Allah dan tidak menjadi sia-sia.

 Oleh : Azman Anuar

No comments:

Post a Comment