Monday, August 25, 2014

Kenapa Agungkan Nama Asing!

Kalau kita mengembara ke negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Jerman, Perancis atau negara-negara bukan bekas jajahan Inggeris, boleh pening kepala kita untuk mencari sesuatu tempat.

Walaupun nama tempat ditulis rumi, kadangkala kita boleh sesat juga.

Sebab nama-nama tempat itu menggunakan bahasa ibunda negara berkenaan dan amat asing sebutannya kepada kita

Sekarang fenomena ini bukan luar biasa kepada kita apabila Persekutuan Tanah Melayu ini bertukar nama Malaysia sejak 57 tahun lalu.

Dahulu walaupun bangsa Inggeris yang menjajah negara ini, nama-nama Melayu terus dikekalkan. Hanya tempat tertentu sahaja yang mengguna nama Inggeris. Misalnya Kenny Hill (Bukit Tunku), Batu Road (Jalan Batu kini Jalan Tuanku Abdul Rahman) dan Federal House (Bangunan Persekutuan). Tak banyak yang mengguna nama Inggeris - yang ada pada masa itu nama Melayu dan Cina.

Nama-nama ini kekal dari sejak merdeka pada 1957 hingga melintasi tahun-tahun 1960-an, 1970-an.
Nama-nama tempat dan bangunan mula menggugurkan nama Melayu apabila masuk tahun 1980-an dan 1990-an. Ketibaan alaf baru hingga sekarang, keadaan tidak banyak berubah malah makin bertambah bagaikan tiada siapa yang peduli.

Nama-nama Melayu yang sedap didengar dan dibaca tidak lagi digunakan, sebaliknya diguna nama-nama asing
.
Bukankah janggal bila nama tempat mula mengagung-agungkan nama Inggeris seperti Amberhill. Amber dalam bahasa Melayu maknanya warna kuning jingga.

Kalau diterjemahkan nama-nama taman perumahan di Lembah Klang, ada yang nampak gah dan glamor dan ada yang boleh dianggap seperti sudah tiada nama lain. Maka nama asing digunakan.

Ada taman perumahan mengambil nama Bullion (jongkong emas), Boulevard (lebuh berhias). Untuk nampak bergaya, ada pemaju guna nama Casa yang maknanya rumah, Court - istana.

Tidak kurang yang guna nama pelik seperti Cascades, Grandville, Esplanade, dan Connaught.

Tiada atau sudah ‘habis’
Bukan nama-nama dalam bahasa Melayu tiada atau sudah ‘habis’, tapi ghairah nak guna nama asing lalu diguna nama Hill bagi mengganti nama Bukit.

Untuk menunjukkan mewah lagi digabungkannya nama Hillpark sedangkan tidak ada padanan bagi kedua-dua frasa ini. Tapi terjemahan ‘hill park’ ke dalam bahasa Melayu mengikut konsep dan konteks penggunaannya bolehlah dinamakan taman bukit.
 
Banyak lagi padanan nama taman atau kondominium yang boleh menggunakan nama Melayu tetapi diketepikan kerana nama Inggeris dianggap berprestij.

Lihatlah nama-nama Height (kemuncak); Park - taman, Avenue - lebuh; Pavilion - astaka; Garden - taman; Peak - puncak; Residence - kediaman; City - kota, bandar; Mont - gunung; Ridge - puncak, mercu; Villa - rumah; dan Valley - lembah.

Saya puji sikap sesetengah pemaju yang masih mengangkat nama-nama Melayu untuk kekal abadi pada nama projek hartanah mereka. Alangkah ‘cantik’ apabila digunakan nama-nama seperti Ara (Bangsar Ara); Alam - Cheras Alam Damai, Alam Jaya; Bukit - Bukit Segar, Bukit Anggerik; Taman - Taman Sri Aman; Perdana - Cheras Perdana; Wangsa (bangsa, keluarga (bukan keturunan raja, dinasti) - Wangsa Maju; Damai - Damansara Damai; Idaman - Damansara Idaman; Impiana (tiada makna kecuali impian) - Impiana Sentul; Jaya - Ampang Jaya; Legenda (cerita) - Damansara Legenda.

Banyak juga nama kawasan perumahan menggunakan nama Medan (kawasan atau arena) misalnya Medan Damansara; Utama (pertama, penting) - Saujana Utama; Saujana (luas sejauh mata memandang) - Saujana Putra; Mahkota - Bukit Mahkota; Puncak (tanah paling tinggi) - Puncak Alam; Putra - Bukit Putra, Putra Prima; Putri - Klang Bandar Puteri; Sri (abadi) - Sri Hartamas, Sri Petaling.

Ada juga yang ‘tamak’ nama hingga merojakkan nama Melayu dengan Inggeris. Misalnya Desa Parkcity, desa dia mahu, bandar juga dia mahu dan taman juga dibolotnya.

Tidak kurang juga yang bangga guna nama asing misalnya Tivoli, Cascades dan Hampshire.

Minggu depan, kita akan sambut Hari Kebangsaan 31 Ogos. Sudah 57 tahun negara kita merdeka, tapi minda kalangan segelintir pemimpin, ketua jabatan kerajaan yang berkaitan kelulusan projek perumahan masih ‘dijajah’. Mereka semua Melayu tapi langsung tiada semangat untuk agungkan nama-nama Melayu.

Janganlah kerana sudah tidak menggunakan nama Persekutuan Tanah Melayu maka apa sahaja nama boleh digunakan untuk sesuatu taman perumahan atau nama bangunan.

Sudah terlambatkah kalau selepas ini nama projek perumahan diwajibkan hanya guna nama Melayu.

Oleh : Azman Anuar

No comments:

Post a Comment