Tuesday, April 22, 2014

Suara Rakyat Johor....Syor 'Jambatan Persahabatan' Di Tambak Johor

DALAM pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, PM Najib mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.

 Jambatan baharu ini diberi nama "Jambatan Persahabatan".

Pada Disember tahun lalu, Najib bersama Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei telah merasmikan pembukaan Jambatan Persahabatan sepanjang 60m merintasi Sungai Pandaruan dan Limbang Sarawak. Ini merupakan jambatan pertama antara kedua-dua buah negara.

Pada masa ini antara Malaysia dan Singapura kita telah mempunyai dua jambatan. Sebelah utara Singapura, adanya Tambak Johor dan barat Singapura, Tuas Second Link. Persoalannya apakah perlu jambatan ketiga antara negara pulau itu dengan Malaysia? Apa keperluannya?

Apa yang harus diberikan perhatian oleh kedua buah negara adalah bagaimana untuk memberikan kelesaan kepada orang ramai yang keluar masuk antara Singapura dan Johor.

Tambak Johor yang menghubungi kedua-dua buah negara itu sudah terlalu lama, malah terlalu sempit sehingga menyebabkan kesesakan teruk berlaku setiap hari. Ini masih berlaku walaupun adanya jambatan kedua, di Tuas. Second Link (Tuas) tidak mendapat sambutan kerana tempatnya yang jauh terutama sekali rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan rakyat Singapura yang tinggal di Johor.

Apakah dengan terbinanya jambatan persahabatan itu nanti dapat memberikan jaminan laluan yang selesa bagi rakyat kedua-dua buah negara? Atau hanya simbol simbolik perhubungan pemimpin kedua-dua buah negara yang dilihat tidak memberikan faedah kepada rakyat kedua-dua buah negara?

Saya merasakan Singapura juga mempunyai sedikit masalah bagi pembinaan jambatan ketiga. Ini kerana negara pulau itu masih meneliti tiga lokasi untuk pembinaan terminal Projek Landasan Berkelajuan Tinggi (HSR) serta Rapid Transit System (RTS). Dunia mengetahui ruang tanah yang sangat terhad di Singapura.

Dalam soal ini, saya ingin mencadangkan agar di hidupkan semula idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan jambatan ketiga yang dicadangkan itu. Kerajaan Malaysia harus meneruskan idea Tun Mahathir membina jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands di Singapura bagi menggantikan jambatan usang Tambak Johor.

Idea itu dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir ketika di peringkat akhir kepimpinannya tetapi dibatalkan oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jambatan bengkok ini juga dilihat akan merangsangkan ekonomi Malaysia (terutama sekali dengan adanya Iskandar Malaysia) apabila rakyat Singapura tidak perlu bersesak-sesak untuk berbelanja di Negeri Johor setiap hari. Ini akan menguntungkan ekonomi rakyat Johor sekali gus memberikan kebaikkan kepada Malaysia apabila puluhan rakyat Singapura keluar berbelanja di Malaysia setiap hari.

Perlu di ingat jambatan bengkok atau boleh diberi nama "Jambatan Persahabatan" dengan ketinggian 25 meter dari aras tanah dilihat akan menarik kapal-kapal dagang kecil untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang Johor, tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh melewati Republik Singapura.

* Mohamed Mansor Abdul Rahman

No comments:

Post a Comment