Wednesday, July 24, 2013

Tuntutan Utama Asyik Minta Bonus Je!

CUEPACS asyik minta bonus
SAYA tertarik dengan kenyataan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berhubung tuntutan supaya kerajaan memberi pertimbangan bonus dua setengah bulan termasuk pendahuluan sebanyak setengah bulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam.

Saya yakin jika kerajaan meluluskannya, tentunya penjawat awam yang telah bersara juga akan menerima limpahannya.

Saya terpanggil untuk memberi komen berhubung tuntutan pemberian bonus tersebut. Semasa saya berada dalam kerajaan dahulu, saya memang melihat diri saya sahaja yang perlu diberi bantuan kerana saya anggap gaji saya kecil.

Semasa berada dalam kerajaan juga, kebanyakan yang rapat, saya kenal dan temui adalah sesama kakitangan kerajaan. Oleh itu saya tidak berapa faham masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh orang lain. Setelah bersara kira-kira 14 tahun lalu baru saya berkesempatan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Saya sempat berkenalan dan mendalami kehidupan rakyat biasa seperti nelayan, petani, penoreh getah, pemandu teksi, peniaga warung dan sebagainya.

Kalau sebelum ini sebagai penjawat awam saya merasa pendapatan sentiasa tidak mencukupi, rupa-rupanya para nelayan, petani, penoreh getah bahkan peniaga kecil pun begitu juga.

Bahkan mereka lebih teruk lagi. Saya insaf dan merasakan kehidupan sebagai penjawat awam sebenarnya adalah jauh baik dan lebih terjamin.

Sumber pendapatan dan kehidupan mereka yang saya sebutkan tadi banyak bergantung kepada cuaca. Kalau hujan dan ombak besar nelayan tidak turun ke laut. Petani dan penoreh getah juga sukar untuk ke ladang atau menoreh getah.

Kalau hujan orang lebih selesa duduk di rumah. Oleh itu, pemandu teksi sukar untuk mendapat ramai pelanggan. Tambahan pula bilangan teksi di seluruh negara terlalu banyak, terutama di Kuala Lumpur.

Peniaga warung juga tidak dikunjungi ramai pelanggan. Ini bermakna sumber pendapatan mereka turut terjejas.

Keadaan ini berbeza dengan penjawat awam. Tidak kira hujan lebat atau ribut apabila cukup bulan dapat gaji. Gaji tidak pernah berkurangan. Bahkan setiap tahun akan bertambah kerana kenaikan gaji. Ini tidak termasuk kemudahan pinjaman perumahan dan kereta yang disediakan oleh kerajaan dengan kadar bayaran bunga yang kurang. Potongan bulanan dari gaji sangat kecil. Rakyat biasa, termasuk kakitangan swasta terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi kepada bank.

Jika hendak dikira, walau banyak mana sekalipun pendapatan, masih tidak mencukupi. Ini kerana nafsu manusia tidak terhad. Semua kita hendak beli. Kadang-kadang kita berlumba dengan orang lain. Apa jiran beli kita pun hendak beli. Kita sanggup bergolok bergadai kerana hendak membeli sesuatu tanpa mengira kemampuan kewangan walaupun barang itu kadang-kala kurang diperlukan.

Yang ada kredit kad akan menggunakan semaksimum yang boleh. Tidak hairan puluhan ribu rakyat negara ini yang diisytihar muflis sebab gagal membayar hutang. Ini semua gara-gara berbelanja mengikut nafsu dan tidak mengukur kemampuan kewangan sendiri, pada hal peribahasa Melayu ada mengingatkan kita, ukur baju di badan sendiri. Bermakna, kita hendaklah berbelanja mengikut jumlah pendapatan kita.

Apa yang saya sebutkan di atas ada kaitannya dengan tindakan CUEPACS yang saban tahun meminta bonus daripada kerajaan. Setiap kali menjelang pembentangan bajet negara, CUEPACS akan membuat tuntutan yang sama iaitu pemberian bonus tahunan dan elaun hari raya. Pemimpin-pemimpin CUEPACS kena belajar bertanya rakyat biasa di tepi jalan, apa komen mereka terhadap tuntutan yang dibuat setiap tahun?

Kalau hendak tahu biarlah saya beritahu, mereka sebenarnya sangat tidak suka. Sebagai contoh, saya turunkan apa yang seorang sahabat saya kata melalui SMS tentang tuntutan CUEPACS: "Masalahnya ketua CUEPACS tu asyik dok lobi. Kadang-kadang rasanya kerja dia tak ada lain, cuma minta bonus, naik gaji, imbuhan dan lain-lain pembayaran. Dari segi idea tak ada dan produktiviti tak nampak meningkat."

Rakyat kurang bersuara. Tetapi hakikat sebenarnya begitulah. Mereka tidak puas hati dan tidak suka dengan tuntutan CUEPACS. Macam tiada lain yang hendak diminta. Yang anehnya tidak pula kedengaran dan kalau ada pun jarang-jarang, kakitangan syarikat swasta yang membuat tuntutan sedemikian kepada majikan mereka. Apakah mereka itu tidak merasa kesempitan kewangan? Atau mereka ada prinsip?

Sepuluh tahun lalu memang gaji kakitangan swasta lebih tinggi dibandingkan dengan penjawat awam. Sebab itu ramai penjawat awam yang berhijrah bekerja dengan pihak swasta. Keadaan sekarang adalah sebaliknya. Gaji sesetengah kakitangan kerajaan adalah jauh lebih baik dibandingkan dengan swasta sejak semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Penjawat awam harus berterima kasih kepada beliau.

Rakyat bukan marah CUEPACS membuat tuntutan tetapi biarlah berpatutan. Jangan terlalu banyak. Janganlah dibuat setiap tahun. Kalau dibuat pun jangan dihebohkan sangat. Tambahan pula, kedudukan kewangan negara harus diambil kira.

Perbelanjaan negara untuk pembangunan yang semakin meningkat juga tidak harus dilupakan. Kerajaan bukan hendak menjaga kebajikan penjawat awam sahaja. Kerajaan juga perlu menjaga kebajikan rakyat lain.

Sebab itu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat. Dalam hal ini, kakitangan kerajaan yang gajinya di bawah RM3,000 telahpun menerima nikmatnya. Kemudahan lain yang disediakan untuk rakyat termasuklah Kedai Satu Malaysia, Klinik Satu Malaysia, pemberian tayar kepada pemandu-pemandu teksi dan sebagainya.

Saya terfikir kata-kata bekas Presiden Amerika, Abraham Lincoln ada kewajarannya: "Jangan fikir apa negara boleh beri kepada kita. Fikir apa yang kita boleh beri kepada negara."

Justeru sebagai sebuah kesatuan pekerja CUAPACS perlu menggalakkan ahli-ahlinya supaya memikirkan apa sumbangan yang boleh diberi untuk meningkatkan kualiti kerja, bukan menjadi juara membuat tuntutan itu dan ini. Seolah-olah pemimpin-pemimpinya menggunakan isu tuntutan bonus kepada kerajaan untuk menjadi popular dan dilihat sebagai pejuang!

Jika kos yang semakin tinggi dijadikan alasan untuk menuntut bonus yang tinggi, CUEPACS harus ingat bahawa bukan penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta orang sahaja yang terlibat.

Kesemua 27 juta rakyat Malaysia di pelbagai lapisan hidup di seluruh negara turut terlibat. Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mungkin ramai tidak sedar, pemberian bonus kepada penjawat awam turut mendorong peniaga-peniaga menaikkan harga barangan sebab menganggap kakitangan kerajaan mendapat durian runtuh.

Sekiranya kerana jasa berkhidmat kepada kerajaan dijadikan alasan oleh CUEPACS untuk menuntut bonus yang tinggi, jangan lupa, sebenarnya semua rakyat negara ini juga berjasa kepada kerajaan dan negara, mengikut kapasiti dan kategori tugas masing-masing. Ini termasuklah kakitangan swasta, pemandu pelancong, tukang sampah di tepi jalan, tukang bersih tandas, pemandu bas, atlet negara, pendakwah dan lain-lainnya.

Atau apakah kerana penjawat awam mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini menyebabkan CUEPACS merasa berhak mendapat bonus? Jangan lupa rakyat Malaysia yang lain juga mengundi.

Mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat. Mereka bukan sahaja mengundi bahkan juga menyokong Barisan Nasional (BN). Jika tidak mana mungkin BN memenangi 133 kerusi dan terus kekal memerintah negara. Dalam konteks ini, ada yang bertanya: "Betulkah semua penjawat awam mengundi menyokong kerajaan?"

Untuk mengelak tuntutan bonus oleh penjawat awam ini dipolitikkan, ada baiknya jika kerajaan membuat ketetapan awal mengenai kadar bonus yang akan diberikan setiap tahun. Contohnya pemberian bonus satu bulan gaji. Jika kedudukan kewangan positif, kadar itu boleh ditambah. Jika tidak penjawat awam akan kekal dibayar mengikut kadar yang ditetapkan. Dengan cara ini CUEPACS tidaklah perlu merengek setiap tahun kerana mereka sudah tahu kadar bonus yang akan diterima setiap awal tahun.

Oleh : Ahmad Shukeri
          Kelana Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment