Friday, July 5, 2013

Hidayah Itu Milik Allah

DALAM masyarakat kita bapa borek anak rintik, guru kencing berdiri murid kencing berlari, bagaimana acuan begitulah rupa kuihnya adalah antara rangkai kata popular bagi menunjukkan bahawa pembentukkan sikap seseorang bergantung kepada siapa ibu bapa, siapa kawan dan juga pengaruh kawasan persekitaran.

Jika berdasarkan kepada perumpamaan itu maka, kalau anak tok lebai, maka lebailah seseorang itu.

Jika anak kepada seorang samseng, maka samsenglah seseorang itu.

Tetapi kenyataannya tidak begitu. Bukan sedikit anak tok guru, anak imam, anak ustaz, anak tok lebai dan anak ahli jawatankuasa masjid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan perlakuan-perlakuan mungkar yang lain. Kenapa?

Jawapannya kerana tidak ada hidayah. Justeru, jangan merasakan apabila seseorang itu datang daripada keluarga yang baik, maka akan baiklah keturunannya. Apa bila seseorang itu datang daripada keturunan yang jahat, maka jahatlah orangnya.

Memang dalam memilih pasangan hidup umpamanya, Rasulullah saw mengesyorkan pilih agamanya, keturunannya, kecantikkannya dan harta bendanya.
Tetapi pilihan yang terbaik dan terunggul adalah agamanya. Kalau seseorang itu beriman dan bertakwa, walaupun bapanya barangkali taiko pusat perjudian, maka kahwinilah, setidak-tidaknya ia akan selamat daripada kehidupan dikelilingi dan dibeliti kemungkaran.

Sejarah mencatatkan bahawa dalam jahat dan hamlaunya Abu Lahab, yang Allah sendiri melaknatinya melalui surah Al-Lahab yang membawa maksud 'gejolak api' mengandungi lima ayat, termasuk bilangan ke 111 dalam penyusunan surah-surah al-Quran, diturunkan di Mekah dan merupakan sebahagian daripada surah-surah Makiyyah, terdapat anaknya yang memilih jalan iman dan takwa.

Durrah binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik walaupun ibu bapa sudah disenaraikan sebagai ahli neraka ketika mereka masih hidup lagi.

Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad SAW, ertinya Durrah adalah sepupu baginda.

Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad SAW. Dia adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah, Arwa binti Harb juga tidak suka kepada ajaran Islam dan bencikan baginda.

Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW.

Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan anak saudara kepada suaminya itu.

Kebencian melampau Arwa sehingga Allah memberinya nama, Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.

Berdasarkan kepada kisah Durrah ini, terbukti bahawa tidak semestinya bapa borek anak akan rintik dalam soal pembinaan iman dan takwa walaupun dalam bentuk fizikal dan rupa paras mungkin betul.

Oleh itu, anak-anak yang dilahirkan hasil perkahwinan yang tidak beriman dan bertakwa, apatah lagi bagi yang tidak tahu pun siapa ibu dan bapa masing-masing jangan berwalang hati. , Apatah lagi merasakan diri tidak layak ke syurga.

Segala-galanya bergantung kepada kemahuan. Bergantung kepada bagaimana kita membentuk diri menjadi orang beriman dan bertakwa.

Sama ada kita dilahirkan oleh hasil perkahwinan antara mursyid dengan mursiyidah, antara ustaz dengan ustazah atau antara penyangak dengan wanita jahil atau kita dilahirkan kerana perlakuan zina, kita tetap suci semasa dilahirkan.

Terpulang kepada sejauh mana kita mahu membina keimanan dan ketakwaan serta mendapatkan hidayah yang akan diperoleh jika diusahakan dengan sungguh-sungguh, ikhlas dan tawaduk.

Jangan sekali-kali merasa rendah diri untuk dekatkan diri dengan Allah kerana keturunan kita.

Percayalah penilaian Allah terhadap kita tidak sama dengan penilaian manusia yang daya nilainya sangat terbatas. Sedangkan penilaian dan pengiktirafan Allah tidak terbatas.

Sesungguhnya syurga itu hak seluruh hamba-Nya dan memang dicipta untuk hamba-Nya. Malah telah ditunjukkan dengan jelas jalan untuk ke syurga.

Untuk kita yang sudah terpisah jauh 1402 tahun daripada hayat Rasulullah SAW, kita boleh dapatkan penjelasan tentang jalan ke syurga atau neraka melalui al-Quran dan hadis yang relevan hingga kiamat.

Oleh : Ramli Abdul Halim

No comments:

Post a Comment