Monday, June 10, 2013

Jangan Dibenci Walaupun Tidak Sayang


SEORANG wanita bertanya: "Bolehkah dia tidak mengizinkan anak-anaknya berjumpa dengan bapa mereka disebabkan dia rasa benci dan menyampah melihat bekas suaminya itu?"

Pasti ramai yang maklum dengan jawapan yang perlu diberikan kepada soalan tersebut. Ya! Sudah tentulah tidak boleh.

Ini kerana, perceraian hanya memutuskan hubungan antara suami dan isteri, tetapi tidak memutuskan hubungan antara anak dengan ayah atau anak dengan ibu.

Jika perasaan sayang telah hilang, kenapa perlu mewujudkan rasa benci kepada bekas pasangan?

Bekas pasangan anda pernah bersalah, gagal melaksanakan tanggungjawab atau mengkhianati cinta anda, namun cukuplah sekadar menghilangkan rasa sayang di hati, tetapi tidak perlulah dia dibenci.

Anda pernah menyayanginya, hidup bersama, berkongsi pelbagai perkara malah saya yakin, di sebalik kesilapan dan kesalahan dilakukannya, pasti ada kebaikan yang pernah ditunaikannya.

Daripada 10 perkara, paling tidak pasti ada satu kebaikan yang boleh dikenang dan anda hargai hingga hari ini. Lantas, kenapa perlu anda membencinya?

Ketentuan Allah
Memang betul dia bersalah dan melakukan kesilapan hingga menyebabkan anda memegang status ibu tunggal atau bapa tunggal tetapi ketahuilah, semua itu telah disuratkan oleh Allah.

Bukan menyalahkan takdir, tetapi setiap yang berlaku adalah dengan kehendak dan ketentuan-Nya. Kesilapan bekas pasangan anda menjadi penyebab perceraian kalian, tetapi percayalah ia mempunyai hikmah yang telah Allah janjikan.

Perceraian bukan musibah, malapetaka ataupun bencana. Sebaliknya, setiap yang ditakdirkan Allah termasuk perceraian, mempunyai rahsia dan hikmah tersendiri yang hanya diketahui-Nya.

Tidak ada faedah membencinya. Tidak percaya? Senaraikan apa yang anda dapat dengan membenci bekas pasangan. Adakah ceria, bahagia, sakit hati, derita, marah atau geram?

ELAKKAN bertengkar di depan anak-anak kerana ia memberi implikasi buruk kepada psikologi mereka.
Saya yakin, segala yang negatif akan kekal bersama anda jika emosi benci dibiarkan bermaharajalela. Jika anda membenarkan kebencian menguasai diri, natijahnya bukan sahaja anda rasai malah turut membabitkan anak-anak.

Anak-anak bukan sahaja perlu menerima hakikat ibu bapanya hidup berasingan malah keadaan pasti menjadi lebih sukar sekiranya anda terus membencinya.

Perasaan benci hanya memberikan lebih banyak masalah. Jika tiada lagi rasa sayang, janganlah benarkan perasaan benci menguasai diri anda.

Atasi kebencian
Bagi mengatasi perasaan benci. paling penting, anda kena reda dengan takdir yang berlaku dan maafkan dia dengan ikhlas. Seperti yang selalu saya tegaskan, jangan enggan memaafkan.

Jika Allah Yang Maha Besar boleh mengampunkan dosa-dosa kita, siapalah kita yang enggan memaafkan sesama hamba.

Insya-Allah, lama-kelamaan ingatan yang masih kekal bukan lagi menjadi bebanan perasaan sebaliknya hanya sebagai kenangan yang tidak lagi menyakitkan.

Jangan beratkan fikiran anda dengan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh bekas pasangan sebaliknya cuba kenangkan kebaikan yang pernah dilakukan olehnya.

Dia mungkin gagal berikan nafkah zahir yang mencukupi, tetapi jika dia seorang yang rajin membantu anda menguruskan anak-anak, itu kebaikan yang boleh dihargai.

Apa yang penting, jangan hanya memandang kesilapan nyata depan mata, malah jangan mencari kesilapan lain yang mungkin ada. Tindakan tersebut akan menambahkan bebanan fikiran anda sedangkan dia tidak terjejas apa-apa, kekal bahagia tanpa terkena sedikitpun tempias derita anda. Berbaloikah?

Hayati lirik: "Andainya ada di antara kita nanti berubah hala serta memungkiri janji, jangan ada benci...". Demikian bait lagu nyanyian Casey, Jangan Ada Benci.

Perkara sudah berlaku, biarkan ia berlalu. Dia hanya penyebab kepada takdir yang memang telah disuratkan dalam hidup anda dan dia.

Terimalah takdir-Nya dengan reda dan percayalah, pasti ada hikmah yang bakal anda terima. Janji Allah pasti. Satu diambilnya pergi untuk diganti dengan sesuatu yang lebih baik lagi, insya-Allah! - Kosmo

No comments:

Post a Comment