Thursday, May 2, 2013

'Berzina' Dengan Isteri

ANGKARA malu dengan perbuatan silam, segelintir pasangan yang terlanjur sehingga melahirkan anak sanggup menipu dan menyembunyikan hal sebenar demi menjaga maruah.

Namun malangnya, mereka lupa kesan daripada tindakan tersebut memberikan kemudaratan kepada anak yang lahir tanpa pernikahan sah itu sehingga generasi ke generasi.

Ia bukan sahaja merosakkan rantaian zuriat dan keturunan malah menimbulkan permasalahan untuk jangka masa panjang.

Isu nasab atau keturunan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Malah, ulama turut menggariskan perihal nasab merupakan salah satu yang ditetapkan dalam maqasid syariah (matlamat yang disyariatkan) selain agama, nyawa, akal, harta agar dipelihara sempurna.

Pengarah Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Abas Nordin berkata, wali yang juga tidak sah menyebabkan pernikahan berkenaan tidak sah mengikut syarak.

Beliau berkata, kesannya hubungan suami isteri hasil pernikahan yang tidak sah adalah seumpama pasangan yang melakukan zina dan zuriat daripada perzinaan dikira anak haram.

"Seorang lelaki yang melakukan hubungan dengan wanita tanpa akad nikah ditafsirkan sebagai berzina. Manakala hasil anak yang diperoleh daripada hubungan tersebut dianggap sebagai anak tidak sah taraf, dan begitulah seterusnya dari generasi ke generasi.

"Hal ini sama seperti seorang pasangan yang berkahwin tanpa dinikahkan oleh wali yang sah. Ia mengakibatkan pernikahan tersebut tidak sah kerana wali merupakan salah satu yang wajib diikuti dalam rukun nikah.

"Ia berpunca daripada sikap menyorokkan fakta dan memalsukan dokumen kelahiran yang dilakukan oleh individu terdesak. Oleh kerana malu dengan tohmahan sekeliling termasuk menjaga perasaan anak tidak sah taraf itu, mereka bertindak mengambil sesuatu keputusan tanpa merujuk berlandas syariah.

"Akhirnya segala urusan berkenaan nasab yang asalnya mudah menjadi sukar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Sah Nikah Sah Nasab di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi baru-baru ini.

Kempen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berkongsikan pengalaman sepanjang mengendalikan kes syariah, Abas berkata, kes mengenai permasalahan nasab dikategorikan dalam kes terpencil, namun kes ini tidak boleh dipandang remeh.

"Islam tidak pernah memandang mudah permasalahan ini malah memberi jalan penyelesaian. Pasangan yang berkahwin dengan dinikahkan oleh wali yang tidak sah taraf dikategorikan sebagai persetubuhan syubhah mengikut Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 113, akta 303," katanya.

Hasil persetubuhan syubhah bukan anak haram
Mengulas lanjut, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, bagaimanapun anak yang lahir hasil persetubuhan syubhah tidak dikategorikan dalam kalangan anak tidak sah taraf sebagaimana yang disepakati para fuqaha.

Beliau berkata, secara umumnya dirumuskan anak tidak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan atau persetubuhan syubhah.

"Terdapat peruntukan undang-undang kesahtarafan anak dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukan siapa yang dikaitkan sebagai bapa.

"Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki dan melahirkan seorang anak dalam tempoh lebih daripada enam bulan qamariah (bulan Hijrah) dari tarikh perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan dengan lelaki tersebut.

"Begitu juga jika penceraian berlaku dalam tempoh sebelum empat tahun qamariah bermula tarikh perkahwinan dan perempuan itu melahirkan anak tanpa berkahwin semula, hendaklah anak itu dibinkan kepada bekas suami tadi.

"Bagaimanapun, lelaki itu boleh menafikan anak tersebut dengan cara li'an (pertuduhan) di mahkamah," ujarnya.

Tambah Abdul Majid, nasab sangat dititikberatkan dalam Islam kerana ia boleh mengakibatkan kecelaruan dan permasalahan yang bakal timbul kepada individu atau keturunan individu tersebut pada masa depan.

Permasalahan tersebut ialah, penamaan, pergaulan, nasab, hak penjagaan, nafkah, pusaka wali, dan kematian.

Beliau berkata, dari sudut penamaan, anak tak sah taraf hendaklah dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah atau nama-nama lain dalam asma al-husna (99 nama Allah). Ia tidak wajar di bin atau bintikan ibu anak tersebut kerana dikhuatiri menimbulkan kesan psikologi terhadap anak.

Manakala dalam konteks pergaulan pula, perhubungan anak tidak sah taraf dengan ahli keluarga ibunya adalah mempunyai hubungan kekeluargaan yang sah (mahram), tetapi tidak kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu (bukan mahram).

"Anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan terus kepada ibunya bukan lelaki yang menyetubuhi ibu tersebut. Bagaimanapun, anak tersebut harus dibin atau bintikan dengan Abdullah atau asma al-husna.

"Manakala lelaki yang menyetubuhi ibu anak tidak sah taraf tiada hak dalam penjagaan anak dan ia dipertanggungjawab kepada ibu dan saudara sebelah ibu. Begitu juga hal sama kepada pemberian nafkah.

"Anak tidak sah taraf boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja tetapi tidak berhak kepada bapanya yang tidak sah taraf. Begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak mewarisi pusakanya.

"Hak perwalian anak tidak sah taraf adalah terletak pada ibunya dan tidak sah bagi lelaki yang menyetubuhi ibu atau bapa tiri anak tersebut jika ibunya berkahwin.

"Manakala kematian anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut ibunya walaupun bukan beragama Islam dan mayatnya diuruskan mengikut agamanya. Tidak berhak lelaki yang menyetubuhi ibu anak tersebut untuk menuntut jenazah anak walau beragama Islam," katanya.

Sumber : utusan@Bicara Agama

No comments:

Post a Comment