Sunday, April 7, 2013

Malaysia Pengeluar Filem Porno

Pengarah, pelakon dan adegan ranjang
SITI melihat negara kita berpotensi untuk menjadi hab atau pusat pengeluaran filem porno, setidak-tidaknya bagi Asia Tenggara. Ini berpandukan daripada kecenderungan beberapa pengarah dan “kejayaan" mereka menghasilkan adegan ranjang dalam filem yang berlatarkan masyarakat Melayu beragama Islam.

Antara filem kita yang “terpaksa" menyelitkan adegan ranjang kerana “tuntutan" cerita adalah, Anak Halal pengarahnya Osman Ali, Ombak Rindu (Osman Ali), Jiwa Taiko (Osman Ali), Klip 3gp (Aidil Fitri Mohamed Yunos), Mantra (Azahari Mohd Zain), Mencari Cinta (Shirin Haji Khuzaimi), Amukan Azazil (Kabir Bhatia) dan beberapa lagi.

Siti percaya mereka boleh dijadikan sandaran untuk menzahirkan Malaysia sebagai pusat penerbitan filem porno suatu hari nanti. Agensi yang mengawal selia bidang perfileman negara ini seperti Finas yang selalu bercakap mengenai jumlah filem dan kutipan tiket perlulah melambakkan duit untuk membantu menggilap bakat-bakat ini.

Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) pula tak ada sepatah haram pun kenyataan mengenai fenomena baharu ini. Tapi tak mengapa, sebab sudah lama Siti anggap LPF tidak lebih kepada pengeluar “sijil halal" supaya filem yang beracun boleh ditonton. Tanggungjawab sosial tak nampak pun.

Siti tertarik dengan kenyataan Osman Ali dalam akhbar Kosmo Khamis lalu. Katanya, “Secara amnya ada sebab kenapa sesebuah adegan itu diadakan atas dasar mengikut perjalanan cerita."

Kata Osman lagi, “Melihat senario negara kita dengan masyarakat Melayu dan beragama Islam, saya rasa adegan panas yang keterlaluan tidak perlu diadakan." Maknanya adegan dalam filem Anak Halal, Ombak Rindu dan Jiwa Taiko yang dikatakan tahap porno itu sebenarnya “tidak keterlaluan". Siti tak dapat nak bayangkan kalau Osman Ali membuat secara keterlaluan ikut kehendak hati dia.

Pelakon Nadiya Nissa yang berlakon adegan ranjang dengan Bront Palarie dalam filem Jiwa Taiko pula berkata, “Adegan panas itu perlu untuk menggambarkan betapa liarnya watak yang saya lakonkan." Siti tak terkejut kenyataan ini kerana bagi pelakon dan pengarah kita, skrip itu macam batu bersurat, ayatnya tidak boleh diubah. Perlembagaan negara pun tak sehebat skrip. Pengarah sanggup londeh pelakon daripada ubah skrip.

Pelakon Rusdi Ramli yang berlakon adegan ranjang dengan Nora Danish dalam filem Mencari Cinta berkata, “Sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memenuhi kehendak pengarah." Tambah Rusdi, “Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan adegan panas yang dimaksudkan kerana Nora seorang pelakon yang bagus." Siti tak tahu pula apa hubungannya pelakon yang bagus dengan adegan ranjang. Mungkin ini boleh dimasukkan dalam syarat-syarat LPF supaya adegan ranjang pelakon yang tidak bagus dipotong, pelakon yang bagus saja dilepaskan.

Ada yang bertanya apakah yang membuatkan Siti yakin negara kita berjaya menjadi pusat filem porno? Siti ada banyak sebab. Antaranya kita mempunyai segelintir pengarah yang berfikiran terbuka dan bersedia melakukan apa saja. Buktinya mereka telah menunjukkan kemampuan membuat adegan porno dan kita boleh menontonnya di panggung. Lepas itu ditayangkan di televisyen.

Siti juga yakin kerana mereka ini kuat berpegang kepada tuntutan artistik dan cerita berbanding norma sosial dan agama. Kalau mereka memikirkan tentang norma sosial dan agamanya, Siti percaya harapan untuk melihat Malaysia sebagai pusat filem porno tidak akan tercapai.

Kita juga mempunyai segelintir pelakon wanita yang sanggup melakonkan adegan itu. Mereka ini mempunyai pemikiran yang maju dan terbuka. Pelakon-pelakon ini mempunyai laluan cerah untuk berlakon di Hollywood kerana tidak ada beza antara mereka dengan pelakon Hollywood. Tidakkah ini jadi satu kebanggaan kita?

Maka yang menjadi penghalang adalah masyarakat kita yang berfikiran tertutup dan tidak semoden Barat. Golongan ini tak anggap melakonkan adegan itu sebagai kemodenan. Mereka yang “kolot" inilah yang menjadi benteng sebelum gagasan itu berjaya dilaksanakan.

Tapi dengan hebatnya kempen mengajak masyarakat supaya mengikut acuan pemikiran Barat, banyak rancangan televisyen yang menyuburkan hedonisme, bertambah berlipat ganda jumlah rancangan yang mempromosi gaya hidup Barat, Siti yakin bahawa orang “kolot" akhirnya menjadi moden dan mengizinkan adegan ranjang dan porno.

Sebenarnya sudah tidak ada siapa yang bercakap mengenai soal ini. LPF diam. Finas diam. Jakim diam. Rakan-rakan dalam media pun diam. Kalau ada yang tak diam pula mengiktirafkan kesanggupan pelakon wanita dalam adegan porno sebagai “keberanian". Ini satu kata-kata perangsang yang sangat mujarab. Sebenarnya mereka pun tak mahu dikatakan “kolot" sebab mempersoalkan adegan porno itu. Bagi Siti, mereka ini golongan pemikiran “tinggi" dan menjadi salah satu pemangkin kejayaan Malaysia sebagai pusat filem porno. Siti tak sampai ke tahap mereka. Dan tak akan membiarkan diri sampai ke tahap itu.

Siti Jarum : Jakim masih wujud lagikah?

No comments:

Post a Comment