Wednesday, April 24, 2013

Jangan Sering Menuding Jari

MENUJU hari pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang semakin tiba, pelbagai isu kedengaran di sana sini. Tak kira isu besar mahupun kecil, semuanya rancak bermain dalam meraih undi untuk parti yang diwakili.

Ada sesetengah pihak terlampau taksub dengan seseorang calon sehinggakan sanggup menyalahkan orang lain, walhal kesalahan itu datang dari dalam parti itu sendiri.

Seperti dalam kehidupan manusia, perkara sebegini sering berkait rapat dengan fitrah yang mahu diri itu lebih baik daripada orang lain dalam segala segi dan aspek.

Penggunaan anggota badan seperti tangan sering dikaitkan dengan peribahasa yang membawa maksud baik mahupun sebaliknya, bergantung kepada sesuatu situasi itu.

Sebagai contoh dalam erti menderma, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Ia membawa makna yang baik kepada seseorang itu dan kemungkinan balasan baik juga akan diterima olehnya.

Murah hati dengan memberi satu kebaikan membuatkan diri menerima balasan yang berlipat kali ganda sama ada dua atau empat kebaikan yang akan diterimanya.

Begitu juga dengan sikap buruk, menuding satu jari ke arah orang lain dengan menyalahkan mereka. Tanpa tidak kita sedari, ada empat jari lagi yang menuding kembali ke arah diri sendiri.

Seperti menyalahkan orang lain lebih jahat, bahkan kita sendiri lebih jahat membuatkan diri kita seperti seorang yang tidak punyai hati dan perasaan.

Semuanya bergantung kepada diri sendiri untuk mengawalnya. Jika tahu diri itu tidak sempurna maka lebih baik berdiam diri dan lakukan yang terbaik buat diri sendiri sebelum bertindak menyalahkan orang lain.

Jika tidak, kesalahan yang ditunjukkan itu akan kembali kepada diri sendiri apabila keburukan kita akan terserlah dengan sendirinya tanpa kita sedari.

Jadilah insan yang pandai menghormati orang lain, mungkin lama kelamaan orang yang membenci juga akan pandai menghormati diri kita suatu hari nanti.

Kita boleh membuat pilihan sama ada mahukan orang membenci atau menyukai kita, namun kita tidak mampu membuatkan semua orang menyukai diri kita.

Oleh : Faidzul Firdaus

No comments:

Post a Comment