Saturday, April 13, 2013

Dahulu Peti Undi Guna Tin Biskut

"SEBELUM Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditubuhkan pada 4 September 1957, jangan terkejut kalau orang-orang dahulu hanya menggunakan tin biskut yang ditebuk di tengah-tengahnya sebagai peti undi. Walaupun begitu, tiada seorang pun penduduk Tanah Melayu yang mempertikaikan tentang sistem pilihan raya yang digunakan pada waktu tersebut.

"Bagaimanapun, setelah bertahun-tahun menggunakan peti undi besi berwarna hitam yang mana diguna pakai semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama yang diadakan pada 1959, wujud pula dakwaan kertas-kertas undi itu telah disabotaj.

"Bagi mengatasi perkara tersebut, pada PRU 2004, SPR memperkenalkan peti undi lutsinar bertujuan menunjukkan ketelusan badan bebas itu mengendalikan pilihan raya tanpa tekanan daripada mana-mana pihak."

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, 63, itu antara perubahan-perubahan yang dilakukan SPR bagi menambah baik sistem pilihan raya sedia ada, sekali gus menepis dakwaan-dakwaan 'nakal' mengenai ketelusan suruhanjaya tersebut menganjurkan PRU di Malaysia.

Pasti ramai dalam kalangan generasi muda hari ini tidak mengetahui sistem pengiraan undi yang diguna pakai SPR pada PRU pertama dahulu, sebelum kaedah baharu diperkenalkan pada 1990.

Sebelum perubahan yang dilakukan kira-kira 13 tahun lalu, kata Abdul Aziz, peti-peti undi daripada setiap saluran mengundi akan dipindahkan ke pusat pengundian untuk dikira.

"Peti-peti undi tersebut dipindahkan dengan menggunakan pelbagai jenis kaedah pengangkutan termasuk sampan dan helikopter.

"Apabila semua peti undi tiba di pusat pengundian, kertas undi tersebut akan diletakkan ke dalam bakul menggaul kertas undi, digaulkan dan kemudian dikira oleh petugas SPR.

"Sebab itu, proses pengiraan undi dahulu mengambil masa panjang dan jika terdapat bantahan daripada calon bertanding, petugas akan mengira semula. Ada ketikanya sehingga sampai waktu pagi terutama di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi yang banyak," katanya sambil tersenyum.

Untuk penambahbaikan pada PRU-13, Abdul Aziz berkata, dakwat kekal yang dicalitkan pada jari pengundi akan diperkenalkan.

Katanya, dua jenis dakwat berbeza yang akan digunakan hanya didedahkan kepada umum pada 5 Mei nanti.

"Dengan menggunakan kaedah baharu itu nanti, mustahil untuk wujudnya masalah mengundi lebih daripada sekali seperti yang dipolitikkan oleh parti-parti pembangkang selama ini.

"Selepas semakan dilakukan, jari telunjuk kiri pengundi akan dicalitkan dakwat kekal sebelum proses membuang undi dilakukan.

"Dakwat tersebut mampu bertahan antara enam hingga tiga hari. Sukar untuk menghilangkan dakwat tersebut secara menyeluruh dan kerana itulah, kita memilih untuk menggunakan kaedah tersebut bagi memastikan SPR tidak menjadi mangsa politik pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz turut mengingatkan penyokong parti politik supaya tidak meraikan kemenangan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara dalam negara.

Sumber : utusan@Rencana

No comments:

Post a Comment