Tuesday, December 4, 2012

Sasterawan Negara Bukan Melayu?

SASTERA Melayu bukan sahaja ditulis dan dibaca oleh orang Melayu tetapi turut ditulis dan dibaca oleh kaum lain di negara ini. Penglibatan penulis bukan Melayu dapat dikesan seawal tahun 1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel, Goh Thean Chye dalam bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Ini diikuti tahun 70-an dan 80-an muncul nama-nama penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya-karya mereka diakui bermutu dan menerima pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, sastera Melayu merupakan wadah warganegara Malaysia menjayakan gagasan 1Malaysia iaitu menuntut bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Justeru, jika dilihat pencapaian penulis bukan Melayu dalam bidang kesusasteraan, apakah tidak wajar Sasterawan Negara dikurniakan kepada mereka?

Jika dilihat senarai penerima Anugerah SEA Write Award sejak 1979-2012 (34 orang), ada dua nama penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) yang turut diperakui dalam bidang sastera Melayu. Malah, jika dilihat senarai penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan di peringkat antarabangsa, penerima adalah mewakili dari pelbagai negara termasuk seorang penerima tanpa kewarganegaraan.

Justeru, tanpa wujud prasangka, sebagai rakyat Malaysia, pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera tidak perlu dipertikaikan lagi. Tokoh penulis bukan Melayu yang dimaksudkan ialah Lim Swee Tin. Ketika artikel ini ditulis, saya mendapat tahu bahawa Lim Swee Tin baru sahaja meraikan usianya yang ke-60 tahun, dan 40 puluh tahun menceburi bidang penulisan kreatif. Kedua-duanya sangat menarik kerana ia dikaitkan dengan kematangan; kematangan usia dan kematangan dalam berkarya.

Lim Swee Tin mula menceburi bidang penulisan kreatif seawal tahun 1971 secara rasminya apabila sebuah cerpen beliau termuat dalam majalah hiburan yang popular ketika itu, Mesra. Tetapi disebabkan tarikan minat yang besar, beliau cenderung kepada puisi, dan pada tahun 1973, 14 Oktober puisi pertamanya terbit dalam Mingguan Malaysia. Dengan mengambil tarikh itu, Lim merayakan tahun ke-40-nya cergas dalam lapangan ini.

Bertolak dari situlah, Lim Swee Tin mengembang di dunia puisi Melayu. Kerap menyatakan, "Sastera Melayu sastera saya," Lim tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina. Mempelajari bahasa itu pun terasa pelik kerana dia bermula dengan 'learn a word a day', malahan banyak mengambil tahu tentang kesusasteraan klasik China hatta perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Cina moden pun melalui medium bahasa Inggeris atau Indonesia, hal yang sama dilakukannya tatkala mendalami kesusasteraan asing yang lain, terutama prosa Jepun moden yang sangat diminatinya.

Mempunyai kekuatan bahasa dan kreativiti seawal menyertai pelbagai aktiviti semasa di Pulau Pinang dan kemudian di Kelantan, Lim merupakan antara pengikut Sasterawan Negara Usman Awang, A. Samad Said dan beberapa yang lain yang tekun dan tekal. Maka, dengan hal yang demikian karyanya berkembang pantas. Lim memenangi Anugerah Puisiputra II pada tahun 1983 melalui kumpulan puisi Akrab yang kemudian meletakkan dirinya antara pengarang generasi baharu yang perlu diberikan perhatian.

Dengan memenangi sejumlah besar hadiah kesusasteraan, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia melalui kategori puisi eceran dan hadiah utama kumpulan puisi remaja, selain Hadiah Sastera Utusan Public Bank (kemudiannya ExxonMobil), Lim memperkukuhkan dirinya melalui sejumlah puisi terjemahan. Pengalaman pentingnya diundang ke South Bank, United Kingdom, ke Amerika Syarikat, Indonesia, Brunei Darussalam, Taiwan, Singapura dan Thailand banyak memberinya pendedahan ke pentas antarabangsa.

Penobatan Lim Swee Tin sebagai penerima S. E. A. Write Award pada tahun 2000 membuktikan hasil usaha, penat lelah dan kegigihan beliau berkreatif mendapat perhatian. Sekretariat anugerah di peringkat Malaysia yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ragu-ragu menamakan beliau sebagai calon kategori puisi tahun tersebut kepada sekretariat S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand membuktikan kesusasteraan Melayu di Malaysia adalah milik semua. Dan, Lim Swee Tin merupakan penerima pertama anugerah ini dari kalangan pengarang yang bukan Melayu.

Karya Lim Swee Tin mendapat sorotan banyak pembicara terkemuka. Antaranya, Budi Dharma di Indonesia, Naowarat Pongpaiboon di Thailand, Ulrich Kratz di United Kingdom, dan banyak lagi. Ia tidak terkecuali dijadikan teks rujukan di Rusia bahkan di Australia juga. Ketika di Taiwan pada Taipei International Poetry Reading tahun 2001, puisi-puisi Lim berkumandang melalui medium bahasa Melayu (dengan terjemahan bahasa Cina), demikian di South Bank dalam acara Four Leading Poets from the South East Asia (dengan terjemahan bahasa Inggeris), dan Bangkok, pada acara World Peace Poetry Festival from Bangkok, Thailand (dengan terjemahan bahasa Thai). Kecenderungan beliau menyampaikan deklamasi dalam bahasa asal merupakan kesungguhannya memperkenalkan bahasa Melayu kepada khalayak dunia.

Ketika menyambut 40 tahun berkarya, Lim Swee Tin sudah mengumpulkan sejumlah 62 buah buku yang dihasilkan secara persendirian, manakala lebih 120 lagi adalah dalam bentuk antologi. Sebahagian puisi Lim turut dimuatkan dalam buku terpenting di tanah air seumpama Puisi Melayu Baharu, Malaysia dalam Puisi, The Puppeteer Wayang, Emas Tempawan/Burnished Gold, dalam untuk teks kegunaan pelajar Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Terkini, dua kumpulan puisi beliau (dwi-bahasa) Bond atau Akrab, (2009) dan The Moon amidst the Cogongrass / Bulan antara Lalang (2011) diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kumpulan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan, dan Bahasa di jajaran Masa: Isu dan Tanggapan (2011) diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Karya-karya Lim untuk tatapan segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan, keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan 50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007) barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita, Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.

Kesimpulannya, tidaklah keterlaluan bahawa idealisme sebagaimana didendangkannya melalui sajak Seorang Anak Kecil lebih 40 tahun yang lalu masih digenggamnya sehingga kini, meletakkan Lim sebaris dan setaraf dengan penulis Melayu yang membolehkan dan mewajarkan Lim dipertimbangkan dan dianugerahkan sesuatu yang paling bermakna dalam jagat kesusasteraan Melayu.  Juga disini...

Sumber : Sastera@utusan

No comments:

Post a Comment