Monday, December 10, 2012

Penguatkuasaan Kita Lesu !

Agensi atau kartel?
Laporan terbongkarnya kes pemerdagangan manusia melibatkan 105 wanita warga asing di Klang, baru-baru ini menarik perhatian.

Mereka yang diperdayakan oleh sebuah agensi pekerja asing telah berjaya diselamatkan oleh Jabatan Imigresen melalui Operasi Khas 6P.

Awang mengucapkan tahniah kepada jabatan tersebut dan berharap kes itu akan membuka mata semua pihak terutama yang menyentuh isu agensi pekerja asing.

Selama ini terlalu banyak rungutan daripada rakyat terhadap agensi seumpama itu. Daripada perkhidmatan yang tidak menyakinkan, banyak permasalahan terutama isu pembantu rumah sehinggalah kepada kadar bayaran yang dianggap keterlaluan.

Bukan menjadi rahsia lagi agensi pekerja mengaut keuntungan berlipat ganda sedangkan orang ramai terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah. Ada agensi yang menetapkan bayaran berbelas ribu ringgit bagi seorang amah sedangkan kos sebenar tidaklah seberapa.

Maka sudah sampai masanya sistem perkhidmatan agensi pekerja asing dikaji semula kerana ia lebih banyak mencetuskan masalah termasuk rasuah dan penyelewengan. Kerajaan tidak boleh dibenarkan terus memikul beban akibat banyak kelemahan agensi-agensi berkenaan.

Adalah lebih wajar urusan membawa masuk pekerja asing terutama pembantu rumah dilakukan antara kerajaan dan kerajaan. Kos mengambil pekerja asing akan lebih murah, banyak kekalutan boleh diatasi, imej Malaysia boleh dibaiki selain mengurangkan ruang berlakunya rasuah dan penyelewengan.

Persoalannya, apakah kerajaan berani bertindak segera untuk melakukan perubahan drastik bagi membetulkan keadaan? Awang bertanya hal ini kerana ramai menganggap sektor agensi pekerja asing ini tidak ubah seperti kartel yang tidak boleh disentuh.

Tetapi Awang percaya, walau apa cabarannya, pembetulan masih boleh dilakukan asalkan ada kemahuan yang tinggi.

Lebih baik menanganinya sekarang daripada terus membiarkan agensi pekerja asing menjadi institusi yang lebih besar pengaruhnya sehingga sukar untuk melakukan pembersihan kemudian.

Jangan tunggu lama-lama untuk bertindak. Lagi lama, lagi besar mudaratnya.


Lagi isu teksi
DAKWAAN London Cabs bahawa perkhidmatan teksi di Malaysia, adalah terburuk di dunia, mengejutkan banyak pihak.

Beberapa pihak di negara ini bertindak segera menyanggah dakwaan tersebut yang kononnya berdasarkan kajian bebas oleh sebuah syarikat teksi di London.

Awang juga tidak setuju dengan dakwaan itu. Ada banyak negara lain, yang perkhidmatan teksinya lebih buruk. Malah ada negara yang tidak selamat untuk menggunakan perkhidmatan teksi.

Bagaimanapun, kita harus berlapang dada. Sudah tentu ada perkara yang menuntut penambahbaikkan segera berkaitan perkhidmatan teksi di negara ini.

Kita tidak boleh menolak hakikat sememangnya imej sektor tersebut merudum dan banyak masalah.

Daripada isu seperti tidak menggunakan meter, penipuan harga, sikap tidak sopan pemandu teksi, budi bahasa hinggalah kepada teksi lama yang tidak lagi sesuai digunakan.

Perkara paling jelas di sebalik semua itu ialah penguatkuasaan kita begitu lemah. Apabila bercakap soal penguatkuasaan, menyebabkan ramai yang sakit hati. Adakalanya, ia menjadi bahan sinikal. Selagi penguatkuasaan kita lesu dan hanya garang bermusim, selagi itulah sukar untuk membawa perubahan.

Suatu ketika dahulu, perkhidmatan teksi di Malaysia antara yang terbaik di rantau ini selepas Singapura.

Tetapi sekarang tidak lagi. Menurut laporan tidak rasmi, perkhidmatan teksi di Thailand, Indonesia dan Vietnam sudah memintas Malaysia.

Di mana silapnya?

Oleh : Awang Selamat

No comments:

Post a Comment