Thursday, November 29, 2012

Betulkan Persepsi Bukan Melayu

ADA satu yang ingin sangat dipesan oleh sejarahwan Cina dan tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar) kepada pembahas usul pada Perhimpunan Agung UMNO selama tiga hari ini.

"Sudah sampai masanya untuk pembahas tidak lagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu yang orang Melayu dalam kedudukan bahaya.

"Keadaan orang Melayu sekarang bukan bahaya seperti 1930-an, mereka dah begitu kuat dan kawal segalanya. Kalau UMNO takutkan mereka (orang Melayu) bererti kita (Malaysia) tidak boleh jadi negara yang bersatu padu," kata beliau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Kay Kim memberitahu, beliau membangkitkan mesej itu kerana bimbang dengan persepsi dan pandangan bukan Melayu terutama masyarakat Cina terhadap negara ini.

"Orang bukan Melayu pada pengamatan saya masih tidak dapat membezakan antara soal kewarganegaraan dan keturunan. Mereka sudah jadi warganegara Malaysia tetapi masih mempercayai diri adalah warga negara lain. Bagi mereka, warganegara tidak penting, (sebaliknya) keturunan lebih penting dan keadaan ini sangat sukar untuk sesiapa yang ingin rapatkan perpaduan rakyat negara ini," katanya.

Bagi Kay Kim, orang Cina masih perlu dididik. Hal ini berlaku kerana sistem pendidikan masih belum dapat memberi penjelasan tentang geopolitik di negara ini.

"Guru sendiri tidak faham apatah lagi murid. Di kawasan penempatan yang majoriti didiami orang Cina, 'kelibat' sekolah jenis kebangsaan Cina lebih dituntut," katanya.

Menurut Kay Kim, sistem pendidikan tidak banyak memberi tumpuan dalam usaha merapatkan hubungan kaum sehinggalah 'orang muda itu akhirnya menjadi orang tua'.

Kerana itu, orang politik diingatkan tidak memainkan isu perkauman.

"Masyarakat kita memang kompleks, lama juga British nak perbetulkan keadaan ini tetapi mereka tetap gagal.

"Maka sebab itu, saya berharap perwakilan dan pembahas UMNO dapat sedaya upaya yang mungkin untuk tidak membangkitkan 'ketakutan' dalam kalangan orang Melayu," ujarnya.

Kata Kay Kim: "Pihak tentera dan polis 90 peratus terdiri daripada orang Melayu...mana ada kemungkinan berlaku 'kebangkitan'... tidak ada salah sesiapa."

No comments:

Post a Comment