Tuesday, October 9, 2012

Filipina, MILF Berdamai

Perjanjian damai Filipina-MILF dimeterai 15 Okt

MANILA - Perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan ditandatangi secara formal 15 Oktober ini susulan persetujuan yang dicapai lewat malam tadi.

Malaysia memainkan peranan signifikan dalam perundingan antara kedua-dua pihak itu.

Rangka kerja itu menyediakan wilayah autonomi yang baru lagi meluas di Mindanao, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bercakap di sini hari ini, Presiden Filipina Benigno Aquino berkata, satu rangka kerja telah dicapai hasil perbincangan dengan MILF.

Perkembangan itu dijangka akan menamatkan konflik 40 tahun yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Antara perkara utama rangka kerja dipersetujui ialah:

- Mewujudkan wilayah autonomi baru, lebih luas
- Pengunduran tentera Filipina secara berperingkat
- Menjamin hak asasi manusia dan demokrasi
- Menjanjikan pembangunan dan pengagihan kekayaan semula jadi secara adil
- Mengembangkan mahkamah syariah bagi penduduk beragama Islam

Perundingan antara MILF dan Kerjaaan Filipina berlarutan lebih 15 tahun, yang turut tergendala disebabkan keganasan di wilayah selatan itu.

"MILF sangat gembira dengan perjanjian ini," kata Naib Pengerusi (Hal Ehwal Politik) MILF, Ghazali Jaafar.

MILF berharap kandungan perjanjian dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum tempoh khidmat Aquino sebagai Presiden Filipina berakhir pada 2016.

Laporan media asing menyebut bahawa rangka kerja itu akan membolehkan 'perjanjian komprehensif' dicapai menjelang akhir tahun ini.

"Perjanjian rangka kerja ini akan menyediakan ruang bagi keamanan yang muktamad dan berkekalan di Mindanao," kata Aquino ketika mengumumkan kandungan rangka kerja di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, "kerja-kerja ke arah itu tidak selesai di sini (hari ini)."

"Masih ada butiran yang perlu diperincikan oleh kedua-dua pihak," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment