Tuesday, July 17, 2012

Pelbagai Masalah Melayu Kerana 'Temperamental'

Dua belas tahun sebelum saya dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu yang lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium Melayu di Universiti Malaya.

Katanya, bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi kerana budaya 'temperamental'.

sanusi junid 050608Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyebut bagaimana budaya temperamental, iaitu budaya suka kepada hal bermusim, menjadi kemungkinan alasan bangsa Melayu ini gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh.

Tetapi tidak di Pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun; gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu. 

Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang lima tahun sekali tetapi tidak di bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi antara sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan sahaja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi dari generasi ke generasi.

Berpuak-puak di luar musim

Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah tersebut, budaya temperamental ini masih saja diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan. 

Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih saja mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari tahu kebenaran. 

Kemudian mereka melupakan saja cerita tersebut kerana mula dibelengu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim-musim tertentu sahaja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi bila hak mereka tergugat semasa Malayan Union diperkenalkan, maruah mereka dihina apabila terdapat orang kencing di depan rumah menteri besar Melayu pada Mei 1969.

Juga apabila mereka berasa terancam semasa orang lain mengusik tentang keistimewaan mereka yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk duduk secara berpuak-puak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja iri hati antara satu sama lain, selalu menuduh satu orang lebih Melayu dari yang lain bahkan gamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

Sifat temperamental ini juga tidak mengenal usia. Pada anak-anak muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pembelajaran mereka tetapi memilih bersatu bila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka. 

Kunci pendidikan & kepimpinan
Sifat temperamental yang lebih umum di kalangan anak Melayu juga berkaitan cara mereka menelaah pembelajaran yang berbeza dengan anak bangsa lain. Anak Melayu gemar belajar mengikut musim, yakni belajar hanya apabila dekat dengan musim-musim peperiksaan sahaja.

Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang tokoh pendidikan Malaysia dalam tulisannya mengulas bahawa kerana terperangkap secara tidak langsung dari kesan jajahan Barat, bangsa Melayu susah bahkan tidak sanggup untuk berubah dengan sendirinya. 

Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka juga tidak suka memikirkan sesuatu secara mendalam. Bangsa Melayu hanya boleh berubah dengan kunci pendidikan dan kepimpinan yang baik.

Memilih pemimpin yang tegas dan fokus bekerja di kalangan orang Melayu adalah penting jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah-masalah yang ada. 

Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya modal pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu.

Pemimpin ini juga mesti jujur dan bebas dari sifat 'temperamental' dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik pada sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesaikan masalah peribadi atau menjelang musim pilihan raya mahu pun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka sahaja.


Oleh : Rizal Abd Rahman

No comments:

Post a Comment