Monday, April 2, 2012

Remaja Lari Rumah

PELBAGAI versi cerita remaja lari dari rumah, laporan keluarga mengatakan anak mereka hilang dan bimbang diculik, penyiasatan polis pula mendapati remaja lari dan merancang penculikan mereka.

Kita sebagai ahli masyarakat pada mulanya bimbang dengan kejadian culik yang boleh mengakibatkan anak remaja kita diperdagangkan oleh sindiket pelacuran atau jadi keldai dadah dan kebimbangan tersebut bertukar pula kepada kebimbangan gejala lari dari rumah dan anak-anak gadis mahu lari dari kemelut atau krisis dalam rumah yang sama ada wujud atau tidak dalam rumah mereka.

Apa yang paling membimbangkan ialah anak-anak remaja dalam lingkungan umur 14-18 tahun yang 'hijau dan masih mentah' ini boleh bertindak di luar daripada kewarasan fikiran kita orang dewasa dengan merancang, merangka dan mencipta 'kehilangan diri sendiri' dan versi yang dicipta melalui imaginasi dan kreativiti berlandasan fikiran yang tidak ada sensitiviti langsung terhadap keselamatan dan maruah diri serta keluarga yang dinaungi.

Di manakah terletaknya aspek etika dan moral anak-anak remaja masa kini?

Tidak pernahkah mereka terfikir implikasi dari perbuatan mereka itu terhadap masa depan mereka dan juga keluarga yang bersusah payah membesar dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak.

Mengapa diturutkan gelora jiwa remaja? Dari mana mereka mendapat idea yang boleh menghancurkan diri dan masa depan mereka?

Antara laporan yang kita baca dari akhbar antara sebab-sebab lari dari rumah kebanyakannya hendak lari dari masalah dalam rumah, tidak bahagia, rimas dan rasa terkongkong duduk dalam rumah. Rasa tidak bebas dan tidak seronok menguasai fikiran negatif remaja hingga sanggup ikut anasir luar seperti kawan-kawan yang tidak dipastikan status moralnya dan lari ikut kekasih yang sanggup 'sehidup dan semati serta seiring dan sejalan' kononnya, akhirnya diri dan masa depan musnah kerana jadi mangsa dadah, mangsa rogol, mangsa sindiket dan dilahap 'pemangsa' yang tidak mengenal mangsa.

Masa itu barulah remaja-remaja ini tahu hitam putih kehidupan dan penghargaan terhadap ibu bapa yang tidak mengenal jerih payah mendidik dan membesarkan mereka.

Walau apa juga kedudukan dan masalah ibu bapa, kita sebagai anak mesti rasa bersyukur dan meletakkan penghargaan yang tinggi terhadap ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita.

Hargailah ibu bapa dengan berusaha memperbaiki kualiti hidup kita dan keluarga, bukan mencalarkan maruah diri dan maruah ibu bapa.

Ingatlah bagi anak-anak remaja perempuan khususnya di luar sana, ingatan dan panduan yang saya berikan di sini bukan saja untuk anak-anak remaja orang lain tetapi juga anak remaja perempuan saya yang berumur 14 tahun bahawa sentiasa ingat akan kata-kata IKUT ini:

"Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa" - sentiasa menjadi panduan kepada hidup kita, segala tindakan bodoh kita hari ini akan mematikan semangat dan peluang kita untuk hidup bahagia di masa depan.

"Ikut kawan tanpa pedoman, hidup tiada masa depan" - jadi pilihlah kawan yang berstatus moral yang tinggi dan bukan status material menjadi panduan memilih kawan seiring sejalan.

"Ikut hati dan fikiran negatif, hidup akan jadi pasif" - dengan tindakan-tindakan berteraskan emosional tanpa rasional yang akhirnya menjadi remaja yang pasif dan agresif tidak bertempat.

"Ikut kata dan taat ibu bapa, hidup aman dan sejahtera" - perlu menjadi pegangan remaja kerana ada keberkatan hidup bagi anak-anak yang soleh dan solehah dan bukan menjadi anak durhaka!

"Ikut kekasih, hidup tersisih" setelah "habis madu sepah dibuang" - hingga diri ternoda dan terhina sampai ke peringkat mengandung luar nikah, buang anak hingga diri terbuang dan tersisih oleh keluarga dan masyarakat dan berlindung di rumah-rumah kebajikan. Di manakah 'kekasih' anda masa itu? Fikirkanlah!

Kepada anak-anak remaja perempuan di luar sana, JAGALAH DIRI anak-anak kerana jika bukan kita yang menyayangi, menghargai dan menjaga diri kita, tidak akan ada orang lain yang mampu melakukannya untuk kita. SEMOGA ALLAH MELINDUNGI ANAK-ANAK SEMUA!

Oleh : Prof. Madya Dr. Rusinah Siron

No comments:

Post a Comment