Thursday, April 5, 2012

Drama Tanah Kubur Menghina Agama Islam?

SAYA terpanggil untuk meluahkan rasa kecewa dan sedih dengan sikap sesetengah pengarah drama dan produser filem pada hari ini yang tidak sensitif dengan isu melibatkan agama.

Filem seram serta hantu yang diterbitkan jelas mendapat teguran daripada mereka yang mahir dalam ilmu agama tetapi produser tidak pernah ambil berat isu berkenaan.

Salah satu daripadanya ialah langkah pihak Astro, melalui saluran Oasis, menyiarkan sebuah drama bersiri Tanah Kubur yang terang-terangan menghina agama Allah tanpa sedar.

Drama yang disiarkan selama 30 minit setiap Jumaat itu menceritakan bala yang diturunkan Allah kepada seseorang yang melakukan kejahatan sehingga membawa maut dan dikebumikan dalam keadaan aib.

Salah satu siri memaparkan bagaimana seorang budak lelaki yang menderhaka kepada ibu dan menyepak al-Quran tiba-tiba mengalami sakit bengkak pada kaki, badan berkudis dan akhirnya mati.

Ada juga episod seorang bapa memukul anak yatim piatu yang dipeliharanya membuatkan bapa itu meninggal dunia dalam keadaan terseksa selepas terjatuh dari pokok. Bapa berkenaan akhirnya menjelma dalam bentuk roh untuk memohon ampun dari anak yatim itu agar dia boleh hidup aman di alam kubur.

Dua contoh ini adalah bukti menunjukkan kepada masyarakat bahawa seolah-olah Allah itu zalim. Dengan hanya melakukan kesalahan seumpama itu, bala terus diturunkan. Sedangkan Allah itu bersifat maha pengasih, pengampun dan penyayang, iaitu sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat walau sejahat mana pun mereka itu.

Drama ini seharusnya memberi gambaran mereka yang melakukan kesilapan akan mendapat petunjuk serta pengampunan Allah dan bukannya hanya memaparkan bala, bencana dalam setiap episod yang ditayangkan hanya kerana kesalahan itu.

Rakan saya yang bukan Islam bertanya adakah orang yang menganut Islam itu akan menerima musibah setiap kali 'berbuat silap'? Dan adakah gambaran yang ditonjolkan dalam Tanah Kubur itu benar-benar wujud?

Saya menjelaskan agama Allah tidak seperti itu kerana apa yang dipaparkan dalam Tanah Kubur adalah hanya untuk mencari keuntungan melalui perniagaan syarikat produksi semata-mata.

Contoh-contoh itu memperlihatkan bahawa drama berkenaan secara senyap mempunyai unsur-unsur penghinaan tanpa kita sedari sehingga ia memungkinkan penganut agama lain takut untuk mendekati Islam. Ia sesuatu yang amat bahaya.

Justeru saya ingin mempersoalkan bagaimana drama itu boleh dibenarkan penayangan tanpa adanya satu bentuk kajian khusus dibuat sedangkan ia melibatkan kepercayaan terhadap agama.

Saya berharap drama ini dihentikan penyiarannya serta-merta dan pihak yang berkenaan perlu menilai kebenaran terhadap apa yang saya utarakan. Stesen televisyen haruslah sensitif terhadap sesuatu yang melibatkan hukum dan kepercayaan.

Oleh : Tanah Sekangkang Kera
          Ampang, Selangor

1 comment:

  1. One more thing, the supposedly pious Mr Penggali Kubur dalam setiap episode menceritakan keburukan si mati. Bukankah dalam Islam, kita sebagai manusia tidak ada hak untuk menilai manusia lain????

    ReplyDelete