Wednesday, March 14, 2012

Kelucahan Dalam Novel

SEKITAR 1960-an dan 1970-an, perkembangan dunia sastera di Malaysia pernah menyaksikan kelahiran novel lucah yang merakam kehidupan muda-mudi lepas laku termasuk watak perempuan yang sanggup menjual diri untuk hidup sama ada dengan rela atau paksa.

Zaman itu sudah berlalu dan ada antara karya begitu yang dilihat sesetengah pengkaji sebagai fasa peralihan seorang penulis, selain tidak kurang yang kekal diangkat sebagai antara karya terbaik.

Bagaimanapun, kebelakangan ini kemunculan novel sebegini kembali mendapat perhatian dengan sesetengahnya menduduki carta jualan laris di pasaran dengan segelintir penulis tidak segan memperincikan hubungan intim dalam naskhah hanya kerana wataknya pasangan suami isteri.

Perkembangan ini nyata tidak sihat, jika mengambil kira agama Islam dan budaya Melayu sebagai kayu ukur, malahan jika tidak dibendung, akan menjadi kebiasaan serta lebih dibimbangi jika pada suatu ketika ia diterima pula sebagai budaya masyarakat.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berpendapat, jika kemunculan novel sebegini mendapat sambutan, ia memang agak menyedihkan kerana seakan-akan ulangan perkembangan sastera tahun 60-an dan 70-an.

“Zaman itu naskhah sedemikian biasanya berlegar dalam kalangan orang muda dan bukannya pelajar, namun hari ini ia dengan mudahnya dapat digapai generasi muda. Ditambah pula berita semasa di akhbar yang banyak memaparkan berita sedemikian. Ia sepatutnya dipantau kerana keadaan ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Beliau menyarankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah sewajarnya dan tidak membiarkan ia menjadi kelaziman jika perkara berkenaan sememangnya berlaku selain mengingatkan penulis sedar akan tanggungjawab mereka kepada masyarakat dalam berkarya.

“Saya berharap penerbit tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Agenda nasional seperti pembinaan akhlak generasi muda juga perlu diambil kira,” katanya kepada Sastera.

Novelis, Fauziah Ashari pula berpendapat, romantis dalam berkarya ada tahapnya dan tidak hingga ke tahap gambaran yang terlalu terperinci, lebih-lebih lagi jika membabitkan pasangan kekasih kerana membina moral masyarakat sangat penting.

“Jika pasangan watak suami isteri ada babak romantis, perlu diketengahkan agar kita lebih mempunyai sifat kasih sayang. Dalam perkara ini, saya tidak setuju jika penulis terus dikecam kerana sebelum berada di pasaran, manuskrip akan dibaca editor untuk penilaian dan mereka berhak melakukan suntingan,” katanya.

Beliau yakin dalam sesebuah novel perlu ada pendedahan kepada pembaca mengenai ilmu kehidupan, pengajaran, kepentingan agama, ikatan kekeluargaan, ilmu kemasyarakatan dan kepekaan pada persekitaran serta menghubungkan naluri dan keadaan.

“Adegan romantis atau sesetengah orang melabelkannya soft porn akan dianggap terpencil jika sesebuah novel itu lengkap dan diimbangi nilai positif sebagai ibrah dalam kehidupan seharian. Pada saya, soal adegan sebegitu akan melariskan karya adalah perkara kedua.

“Jika nawaitu menulis adalah membawa pembaca ke arah positif, maka penulis itu perlu tahu sejauh mana membawa watak dan perwatakan yang dicipta. Larisnya sesebuah novel bukan kerana babak sebegitu, tetapi kerana jalan ceritanya.

Percayalah, jika ada babak sedemikian, tetapi jalan ceritanya hambar, larisnya hanya sementara,” katanya.

Berhubung dengan pelabelan soft porn dengan hanya berdasarkan satu bahagian tanpa melihat keseluruhan novel itu, beliau menganggap perkara terbabit sebagai tidak adil dengan memberi contoh filem Ombak Rindu yang memaparkan babak romantis atas katil antara Maya dan Aaron Aziz.

“Ramai yang mendakwa, tidak sesuai untuk remaja menonton. Saya setuju. Jika dalam novel, ada adegan sebegitu dan didakwa tidak sesuai, maka ibu perlu mengawal bahan bacaan anak mereka. Namun, perlu diingat adegan watak yang dilakonkan Aaron Aziz dan Maya Karin itu tiada dalam novel Ombak Rindu,” katanya.

Oleh : Hafizah Iszahanid

No comments:

Post a Comment