Wednesday, December 21, 2011

Malbatt 4 Urus Kem Itali

BATALION Malaysia (Malbatt 4) di Lubnan bakal mengambilalih kawasan di bawah tanggungjawab Itali apabila pasukan negara itu menamatkan khidmat dengan UNIFIL.

Lebih membanggakan, kerajaan Itali secara khusus menamakan Malbatt 4 sebagai pasukan yang layak diberi tanggungjawab mengambilalih operasi di sektor tanggungjawab mereka iaitu Marakah seluas 64 kilometer persegi.

Selain itu Malbatt 4 juga telah diberikan kepercayaan oleh kerajaan Itali untuk menduduki Kem Marakah (UMP 2-1) yang telah dibina dengan kos empat juta euro.

Kepercayaan kerajaan Itali itu merupakan antara beberapa siri pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa ke atas kontinjen Malaysia yang berkhidmat di bumi Lubnan itu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Misi dan Komander Medan UNIFIL, Mej. Jen. Alberto Asarta Cuevas dalam lawatannya ke markas Malbatt 4 di Tibnin baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kontinjen Malbatt 4 telah dipilih oleh kerajaan Itali sebagai pasukan pengaman yang akan mengambilalih kawasan sektor tanggungjawab negara itu.

"Ini merupakan pasukan pengaman negara asing pertama yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan Itali untuk menjaga kepentingan kem mereka dan juga mengambilalih sektor tanggungjawab yang pernah dikuasai oleh mereka," kata Cuevas.

Beliau yakin kepercayaan diberikan kepada Malbatt 4 berbanding pasukan disebabkan keupayaan dan prestasi tugas yang telah dilaksanakan Malbatt 4 yang sering dipandang tinggi oleh pasukan pengaman Itali.

Lawatan Cuevas ke markas Malbatt 4 itu adalah yang pertama sejak pasukan itu mengambilalih tugas daripada Malbatt 3, Oktober lalu.

Pada lawatan itu, beliau jelas amat tertarik dan berpuas hati dengan semua perlaksanaan tugas operasi UNIFIL yang telah dilaksanakan oleh Malbatt 4 di kawasan sektor tanggungjawab mereka.

Pada lawatan itu Cuevas telah diberikan taklimat, melawat kawasan kem dan juga penerangan mengenai kenderaan dan peralatan yang dimiliki Malbatt 4 pada misi kali ini.

Di sepanjang tempoh lawatan, beliau telah menyatakan rasa bangga dan berpuas hati dengan setiap aktiviti dan perancangan operasi yang telah dilaksanakan serta pencapaian yang dicapai oleh Malbatt 4 dalam tempoh yang singkat iaitu sejak 20 Oktober lalu.

Sebaik selesai lawatan yang dilaksanakan, beliau turut mengakui Malbatt 4 adalah sebuah kontinjen yang cukup hebat dan patut diakui kehebatannya oleh negara lain.

Beliau secara jujur mengakui, keupayaan pasukan MALBATT4 melaksanakan tugas dengan cemerlang disebabkan oleh mutu kepimpinan, latihan yang jitu dan komitmen yang tinggi oleh semua anggota kontinjen.

Mengulas tentang kepercayaan dan pemilihan menduduki Kem Marakah, Komander MALBATT 4, Kol Badrul Hisham Mohamed berkata, semua itu hasil daripada persembahan dan komitmen pasukan MALBATT 4 dalam perlaksanaan tugas di dalam sektor tanggungjawab di mana ia sering mendapat perhatian oleh pihak atasan UNIFIL.

Sementara itu, Timbalan Komander MALBATT 4 iaitu Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar pula menjelaskan semua kepercayaan dan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Itali itu merupakan pengiktirafan yang besar kepada pasukan MALBATT 4 khasnya dan Angkatan Tentera amnya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment