Monday, November 28, 2011

RM100: Jangan Jadi Manusia Kufur Nikmat-Nya

SAYA merasa amat terpanggil untuk meluahkan rasa terkilan hati saya terhadap tulisan saudara Subky Latif dalam protal The Malaysian Insider bertarikh 22 November 2011 bertajuk RM100 hanya terselit di celah gigi dan bersetuju pendapat dengan Esa Adam berhubung pemberian kerajaan tersebut kepada setiap murid sekolah.

Saya adalah pengundi tegar Barisan Nasional, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari tahun 1985-1989 (tidak perlu bayar semula kerana keputusan cemerlang) dan adalah selamanya penyokong kerajaan sekarang.

RM100 itu sangat besar ertinya pada individu yang serba kekurangan. Jangan lupa pula RM100 untuk setiap murid membawa perbelanjaan jutaan ringgit dikeluarkan oleh kerajaan semata-mata kerana prihatin dan ingin meringankan beban yang mesti ditanggung oleh setiap keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah pada tahun depan.

Saya adalah salah seorang ibu yang menerima pemberian kerajaan tersebut dan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup membantu kami.

Namun pada saat wang tersebut saya terima daripada guru sekolah, terbit rasa bersalah dan malu yang teramat kerana mengambil wang kerajaan tersebut, sedangkan pada masa sama saya juga mampu seperti Subky Latif.

Saya mengambil keputusan menyerahkan wang tersebut kepada bahagian hal ehwal murid sekolah itu untuk dijadikan wang tabung agar dapat membantu murid lain yang tidak mampu dan tidak bernasib baik menggunakannya di saat-saat mereka memerlukan.

Bukankah wang itu menjadi lebih bermakna daripada kita menjadi manusia tidak tahu berterima kasih.

Ingatlah kepada Allah SWT dan janganlah kita menjadi manusia kufur kepada nikmat.

Ingatlah walau sebesar zarah sekalipun kebaikan yang kita lakukan Allah SWT akan tetap menilainya begitu juga sebaliknya.

Oleh : Dinas Harlina
          Klang, Selangor.

No comments:

Post a Comment