Monday, September 19, 2011

'Zhongguo Malaysia' Masuk Fasa Kedua

ENTAH di sekolah mana Mohamad Sabu atau Mat Sabu belajar sejarah, tiba-tiba pada 21 Ogos yang lalu beliau mengumumkan teorinya; bahawa Mohammad Indera atau Mat Indera dan gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira sebenar dalam peristiwa tersebut. Barangkali, hanya dia seorang saja yang tahu apa rasional beliau membuat kenyataan sedemikian.

Logiknya, anggota-anggota polis yang mempertahankan tanah air daripada serangan pengganas komunis itulah wira-wira tulen yang sepatutnya mendapat sanjungan dan pembelaan. Namun, pada pemikiran Mat Sabu, Mat Indera dan pengganas-pengganas komunis yang menyerang, membunuh dengan kejam 25 orang anggota polis dan keluarga mereka itu pula yang diangkat menjadi wira.

Premis Mat Sabu agak simplistik; anggota polis adalah pegawai-pegawai Inggeris, dan serangan pengganas komunis adalah simbolik revolusi menentang penjajahan.

Ada dua natijah yang terbit daripada teori sejarawan songsang, Mat Sabu.

Pertama, orang Melayu tidak pernah menjadi subjek Inggeris, walaupun Inggeris mentadbir Tanah Melayu selama 83 tahun. Tidak wujud sebarang perjanjian yang menyerahkan Tanah Melayu kepada pihak Inggeris, selain daripada Perjanjian Pangkor, yang melantik Inggeris sebagai penasihat kepada Sultan Perak.

Hasilnya Inggeris memperkenalkan sistem pentadbiran yang disebut sebagai Sistem Residen Inggeris yang akhirnya diperkenalkan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Kedua, siapa yang menjadi regu Mat Indera ketika melancarkan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong juga harus diambil kira. Ternyata beliau memimpin serangan tersebut bersama rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya. Dengan persekongkolan Mat Indera bersama pengganas komunis, gelaran wira yang dianugerahkan oleh Mat Sabu jelas tersalah tempat.

Dalam sebuah sistem yang mengamalkan demokrasi, siapa pun boleh mengeluarkan pendapat tentang apa saja. Tapi biarlah pendapat itu dihujahkan secara ilmiah, dan bukan ikut sedap mulut saja.

Atau adakah kenyataan Mat Sabu ada kaitan dengan agenda besar DAP untuk menegakkan Middle Malaysia atau Zhongguo yang diuar-uarkannya sedikit masa lalu.

Semuanya nampak semacam diatur. Mula-mula ada gerakan melenyapkan ikon-ikon yang ada hubungan dan legasi Tanah Melayu, termasuk bahasa dan budaya, sehinggakan nama-nama jalan dalam bahasa Melayu pun menyakitkan pandangan mata kerajaan DAP Pulau Pinang. Mereka juga sudah lama tidak menghormati raja-raja Melayu.

Nampaknya gerakan Zhongguo sudah memasuki fasa kedua. Kini peristiwa-peristiwa sejarah pula hendak dimanipulasi. Program-program sebegini sudah pasti dipelajari oleh DAP dari PAP, sepupu sepapatnya yang menjadi jiran terdekat kita.

Alahai, rasanya kambing di kandang pun tahu apa tujuan sebenar Mat Sabu. Beliau berbuat demikian demi mendapatkan simpati dan undi kaum Cina. Ada juga kemungkinan beliau diarahkan untuk membuat kenyataan tersebut oleh sekutu-sekutunya?

Pilihan raya umum sudah di ambang pintu. Momentum penentangan dan usaha menyemarakkan kebencian rakyat harus dikekalkan. Buat apa saja dan cakap apa saja. Yang penting Pas dan suku sakatnya harus selalu berada di media, dan terus memainkan sentimen rakyat.

Kita tidak terkejut jika satu hari nanti Mat Sabu mencadangkan agar ideologi komunisme dihalalkan di negara ini. Sampai sekarang pun negara China masih berpegang kuat kepada ideologi tersebut, walaupun sudah menerima konsep perdagangan bebas.

Atau mungkinkah dengan mengagungkan serangan bersenjata pengganas komunis, Mat Sabu sudah terpengaruh dengan falsafah Mao Zedong yang terkenal: "Kuasa datang dari muncung senapang" yang diucapkannya pada tahun 1935 dan dimuatkan dalam Buku Kecil Merahnya pada tahun 1967? Dan dengan demikian menghalalkan penggunaan senjata untuk menumbangkan sesebuah pemerintahan?

Mat Sabu terus berdegil, walaupun pelbagai pihak menyeru kepadanya untuk memohon maaf. Beliau bukan saja enggan berbuat demikian, malahan tetap berpegang pada teori songsangnya. Agaknya inilah jenis kedegilan yang disebut oleh Mao Zedong sebagai huan'gu dalam bukunya berjudul Selected Works of Mao Zedong.

Gu bererti keras dan huan bererti tiada pembaruan - tidak hari ini, tidak esok, tidak lusa. Orang jenis ini memang sukar menerima pendapat orang lain. Sayang, Mat Sabu juga enggan menyelak lembaran sejarah.

Siapa pun akan memahami siapa wira sebenar dalam peristiwa di Bukit Kepong, sekalipun tidak pernah ke sekolah tinggi. Lainlah sekiranya Mat Sabu ingin menulis semula sejarah tanah air.

Oleh : Malim Ghozali PK

No comments:

Post a Comment