Tuesday, August 9, 2011

Tubuh Suruhanjaya Siasat Isu Murtad

BAGAIKAN satu hentaman dan panahan petir dengan isu terbaru yang melibatkan agama Allah yang pastinya akan menjadi topik perbincangan dan perhatian yang serius di kalangan umat Islam ketika ini.

Isu berkaitan serbuan daripada pihak JAIS ke atas sebuah gereja Methodist Damansara Utama. Agak terkeliru dan mendukacitakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam keadaan yang tergesa-gesa meminta ampun dan maaf kepada pihak gereja di atas serbuan yang dilakukan oleh pihak JAIS tanpa mengetahui akan perkara sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Ia telah menyerlahkan dan mengesahkan peribadi dirinya yang sebenar, seorang 'boneka' yang sanggup melakukan apa walaupun melibatkan soal akidah dan agama Islam. Di manakah kewarasan fikirannya sehingga sanggup dirinya diperlaku sedemikian rupa.

Masih belum lagi reda isu negara Kristian yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini kini timbul pula isu terbaru yang pastinya meruntun jiwa setiap orang Islam di dalam bulan yang penuh barakah ini.

Jika benarlah ia berlaku, bagaimana dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan Perlembagaan mengenai agama Islam yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Isu ini amat sensitif bagi umat Islam kerana ia melibatkan soal akidah. Umat Melayu dan Islam di Malaysia ini memang terkenal dengan sifat pemurah dan bertolak ansur tapi bukan dalam soal agama.

Ini isu besar yang perlu ditangani oleh semua umat Islam sama ada dari pihak kerajaan juga pembangkang.

Satu Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk bagi mendapat jawapan yang sebenarnya di sebalik isu ini.

Isu ini tidak boleh ditutup begitu sahaja tanpa ada satu jawapan yang pasti seperti isu-isu sebelum ini yang akhirnya dipendam begitu sahaja. Umat Islam tidak seharusnya berada dalam sindrom bisu, buta dan pekak.

Kita tidak seharusnya membiarkan Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dan JAIS tanpa sebarang pembelaan, sokongan dan semangat kepada mereka.

Kita lupakan soal fahaman politik masing-masing kerana ini merupakan satu isu yang perlukan sokongan padu dari semua umat Islam seluruh negara.

Saya pernah terlibat dalam gerakan menangani isu gejala murtad suatu ketika dahulu. Ia kerja yang cukup halus lagi terancang yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.

Justeru saya merayu dan memohon kepada pihak kerajaan agar dapat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas iaitu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat secara terperinci tentang isu ini.

Jangan biarkan seluruh umat Islam berada dalam keadaan kebingungan tanpa sebarang jawapan. Jangan dibiarkan 'si kaduk naik junjung' dan akhirnya mengeluarkan tanduknya. Pendedahan mengenai hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.

Kepada umat Islam,saya menyeru atas nama agama dan bangsa, marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani isu ini dan mungkin akan hadirnya lagi isu lain dimasa akan datang yang melibatkan agama Islam.

Kita perkuatkan semula tali persaudaraan sesama kita yang hampir longgar angkara fahaman politik masing-masing. Sedar dan insaflah, ikatan kita adalah di atas kalimah syahadah.

Oleh : Jamal Lulkhir Jaludin

No comments:

Post a Comment