Monday, August 22, 2011

Patriotisme Melangkaui Politik

SETIAP kali menjengah bulan Ogos, paling hangat diperkatakan ialah patriotisme. Ia difahami sebagai tanda penilaian sejauh mana daya kecintaan seseorang rakyat itu terhadap negara, di samping menghargai jasa para nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara.


Pada ketika inilah, rakyat Malaysia berbilang bangsa disarankan tampil ke depan mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta mereka kepada negara.

Malah, sambutan kemerdekaan negara ke-54 kali ini juga tidak terkecuali. Biarpun ketika ini umat Islam dalam menunaikan ibadah puasa, namun kehangatannya tetap terasa. Apatah lagi, sudah kelihatan sana sini Jalur Gemilang berkibar megah sama ada ia usaha kerajaan, swasta mahupun individu itu sendiri.

Akan tetapi, sejauh manakah pemahaman rakyat akan patriotisme itu?

Ada yang mengandaikan patriotisme sekadar mengingati pengorbanan perajurit terdahulu, dan itu sudah mencukupi.

Persoalannya, cukupkah? Apatah lagi, ada suara mengaitkan terdapatnya percampuran politik dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan. Adakah ia benar?

"Apabila membicarakan mengenai patriotisme, ia berkaitan dengan ”negara”.

Tetapi, saya lihat ada masalah di sini, apabila terdapat segelintir masyarakat keliru akan patriotisme.

"Mereka tidak dapat membezakan mana bersifat ”negara” dengan bersifat ”kerajaan”,” kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun.

Senario itu akhirnya menyebabkan segelintir masyarakat mengaitkan semangat patriotik itu berkait rapat dengan memberi sokongan kepada sesebuah parti, walhal ia tidak sebenarnya, kata Abdul Ghapa.

Menegaskan patriotisme adalah ”beyond politics”, senario ini akhirnya menyebabkan sesetengah pihak mengelakkan diri daripada meraikan sambutan hari kemerdekaan kerana tidak mahu dikaitkan dengan parti tertentu.

"Apabila parti pemerintah menganjurkan sambutan hari kemerdekaan, ada pihak yang tidak menyokong pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mahu hadir kerana merasakan ia sebagai sokongan patriotik kepada BN.

"Ini silap kerana hari kemerdekaan itu hari negara, milik semua bukan milik kerajaan memerintah dan BN hanya memenuhi tanggungjawab untuk menggerakkan hari itu.

"Sambutan itu sebenarnya adalah sebagai simbol kita mempamerkan semangat patriotik kita kepada negara dan bukan parti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Atas faktor itu, adalah penting bagi parti pemerintah mahupun pembangkang ‘bercuti sebentar’ dalam memperjuangkan matlamat politik mereka daripada mencampuradukkan antara parti dengan sambutan hari kemerdekaan, sebagai kepentingan negara.

Lingkaran persepsi bahawa semangat patriotik seseorang itu sebagai sokongan kepada parti politik dan bukan hari kemerdekaan, perlu diubah. Ini kerana, percampuran dua perkara ini akan merencatkan pertumbuhan ‘patriotisme’ dalam kalangan rakyat.

Melihat fenomena yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Abdul Ghapa berkata persaingan politik kepartian tidak seharusnya menjadi halangan kepada satu jalinan kerjasama antara dua pihak (parti pemerintah dan pembangkang) dalam meningkatkan patriotisme rakyat.

Tidak menyerahkan seratus peratus tanggungjawab pemupukan semangat patriotik di bahu kerajaan, pihak lain juga seharusnya sedar akan tanggungjawab moral mereka dan bersedia memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Sambil merujuk kepada krisis politik negara ekoran peristiwa 13 Mei 1969, banyak pihak dalam kalangan rakyat di negara ini, khususnya parti politik yang berasaskan kaum sedia berkompromi dan mengetepikan kepentingan sempit masing-masing demi kestabilan politik negara.

"Walaupun, berlainan ideologi, masing-masing (parti politik) dengan cepat membina konsensus demi untuk mengembalikan keamanan dan mengukuhkan semula institusi dan infrastruktur pemerintahan negara,” kata Abdul Ghapa.

Parti-parti politik dan pihak lain juga seharusnya sentiasa peka terhadap tanggungjawab sosial masing-masing dalam menjaga kestabilan politik negara dan mempertahankan kedaulatan, autonomi dan ‘self-determination’. Ia tiga elemen penting bagi sesebuah negara dan bukannya menyerahkan kepada bahu kerajaan semata-mata.

 Bernama

No comments:

Post a Comment