Sunday, June 5, 2011

Tinggalkan Retorik Penubuhan Negara Islam

Keputusan Pemilihan Kejutan Besar

KUALA LUMPUR 4 Jun - Muktamar Tahunan Pas Ke-57 disifatkan sebagai satu anjakan besar apabila ia secara rasmi memperlihatkan retorik negara Islam yang diperjuangkan parti itu selama 30 tahun lalu ditinggalkan begitu sahaja.

Malah, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya (gambar) berkata, ia merupakan satu kejutan kerana isu negara Islam jugalah menyebabkan Pas sanggup berseteru dengan UMNO sehingga ke tahap mengkafirkan saudara Islam sendiri.

"Harapan saya supaya Pas semakin matang berpolitik dan memberi tumpuan untuk memimpin masyarakat, bukannya dipimpin oleh pihak lain sehingga menggadai prinsip perjuangan.

"Pas juga jangan sesekali melupakan agenda Islam kerana itu adalah asas sokongan umat Islam kepada parti itu selama ini," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penguasaan kumpulan profesional pada pemilihan Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-57 yang menewaskan kumpulan ulama.

Juanda menambah, UMNO sebaliknya perlu melihat perkembangan terbaru dalam Pas itu dari sudut positif dan terus bersaing untuk menjuarai hati umat Islam.

Mengenai amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengecam kumpulan ulama yang menyokong UMNO, beliau berkata, Pas sepatutnya berjiwa besar dalam amalan politik dan demokrasi.

Jelasnya, jika Pas bebas bersekongkol dengan DAP, maka parti itu tidak sepatutnya mengutuk UMNO atau orang Islam lain yang tidak sealiran dengan mereka.

"Di mana suara ulama Pas dalam menangani isu sosial? Mereka lebih senyap daripada orang lain. Islam mengakui kekhilafan tetapi jangan sampai mengutuk," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Juanda turut mencabar Pas membentangkan segera konsep negara kebajikan yang menjadi matlamat baru perjuangan parti itu.

Kata beliau, Pas tidak wajar membuat rakyat tertunggu-tunggu mengenai konsep negara kebajikan itu seperti mana mereka menunggu kerangka negara Islam yang sehingga kini masih tidak kelihatan.

"Barisan pemimpin bayangan untuk mengambil alih kerajaan juga perlu ditonjolkan segera jika benar Pas ingin mentadbir negara.

"Jika tidak, Pas hanya akan menjadi penonton," katanya.

PAS Bukan Lagi Parti Islam - Klik disini

No comments:

Post a Comment