Tuesday, June 14, 2011

Rela Bermadu Kerana Kurang Lelaki Berkualiti

KUALA LUMPUR 13 Jun - Benarkah kekurangan lelaki bujang yang berkualiti menjadi antara punca golongan wanita muda kini 'merelakan' diri mereka bermadu?

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, keterbukaan golongan wanita muda itu ada kaitan dengan kekurangan lelaki bujang yang berkualiti untuk dijadikan calon suami.

Ujarnya, berbanding lelaki berstatus suami orang yang rata-ratanya mempunyai kerjaya tetap dengan kewangan kukuh, kebanyakan lelaki bujang masih 'terumbang-ambing'.

"Sejak akhir-akhir ini memang ketara kecenderungan wanita muda untuk menerima poligami.

"Trend ini barangkali wujud ekoran kestabilan ekonomi golongan lelaki berstatus suami orang berbanding lelaki bujang menyebabkan mereka merasa terjamin seandainya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat.
"Apatah lagi, melihat kebahagiaan rumah tangga si lelaki yang sudah berkahwin. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak mendorong wanita muda merasakan mereka juga berpeluang untuk hidup bahagia seperti madu-madunya yang lain," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berpendapat, pemikiran wanita muda yang semakin terbuka untuk berkongsi suami secara tidak langsung menyebabkan trend berpoligami kian meningkat.

"Trend wanita berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang bukan perkara baru. Tetapi ia semakin kerap kita dengar sekarang. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka (wanita) kini lebih mudah untuk menerima konsep 'berkongsi' suami berbanding sebelum ini.

"Hal paling ketara, mungkin disebabkan faktor gaya hidup, tahap pendidikan serta pekerjaan.

"Tak hairanlah jika golongan ini dilihat lebih 'lembut hati' untuk berkongsi suami," katanya.

Khaidzir juga tidak menolak kemungkinan seandainya suatu hari nanti isu poligami bukan lagi perkara sensitif yang perlu 'ditakuti' khususnya buat para isteri di negara ini.

"Jika rata-rata wanita mahupun isteri sudah boleh menerima hakikat ini, siapa tahu mungkin pada masa akan datang, orang sudah tidak kisah tentang isu poligami lagi," katanya.

utusan

No comments:

Post a Comment