Thursday, June 2, 2011

Perkahwinan Jangan Berlandaskan Seks

Mengikut statistik, perceraian terkini yang dilaporkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sememangnya diakui kes perceraian semakin menjadi-jadi. Lebih tragis statistik juga membuktikan banyak kegagalan perkahwinan berlaku di bawah tempoh usia lima tahun. Malah, banyak lagi kes yang masih dalam usaha untuk diselamatkan daripada menempuh alam perceraian.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:

1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat.
Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama.

Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin, kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumah tangga berantakan. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta, apabila harta tiada atau rupa tidak seperti ketika mula hati jatuh cinta, perkahwinan akan goyah dan goncang.

2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri.
Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba.
Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak, suami dan isteri. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi, bukan satu kata putus tanpa perbincangan.

Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai, bukan saja keperluan nafkah, kasih sayang dan perhatian malah, mendidik isteri dan anak-anak. Namun, itu bermakna suami berkuasa untuk mengarah itu ini agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberi pendapat dan pandangan.

Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat, kehendak suami tidak perlu ditaati.

3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan.
Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami.

Apabila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya yang memungkinkan cinta yang ada pudar dan hilang lantas usaha untuk keluar daripada perkahwinan dilakukan.

4. Kurang ilmu rumah tangga dan perkahwinan.
Hampir 75 peratus pasangan yang bercerai dikenal pasti sebagai individu yang kurang ilmu berkaitan perkahwinan dan rumah tangga. Hampir 20 peratus lagi adalah individu yang tahu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diketahui, sementara bakinya adalah individu yang hanya memikirkan perkahwinan adalah layanan seks semata-mata.

5. Kurang atau hampir tiada iman.
Rata-rata kes yang dikendalikan, punca utama runtuhnya sesebuah perkahwinan adalah kerana kurang atau hampir tiada langsung ilmu dan iman.

Tidak kiralah kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri atau sebelah pihak sahaja sama ada suami atau isteri. Namun, 90 peratus perkahwinan hancur apabila sebelah pihak tidak beriman kepada Allah.

Iman kepada Allah merupakan asas kebahagiaan dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkahwinan. Individu yang mantap iman dan taqwanya kepada Allah akan berusaha sedaya-upaya melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya termasuk berusaha yang terbaik untuk perkahwinan dan rumah tangganya agar sentiasa diredai Allah.

Kurang atau tiada iman menyebabkan individu tidak kisah dan bebas melakukan perkara yang melanggar syarak dan menyakitkan hati pasangan.

Menjaga solat adalah antara usaha penting dalam mengekalkan keharmonian perkahwinan mengikut jalan-Nya. Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan tawaduk akan menghalang individu daripada terlibat dengan perkara keji yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan.
 
MalaysiaRia

No comments:

Post a Comment