Thursday, June 9, 2011

Dasar Baru PAS Cetus Krisis

Ahli akar umbi boleh keliru dengan konsep negara kebajikan

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS untuk mengubah dasar perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan boleh mencetuskan krisis kefahaman dikalangan ahlinya terutama yang tidak jelas dengan konsep sebenar serta hala tuju parti berkenaan.

Ahli PAS pada peringkat akar umbi bimbang perubahan hala tuju drastik itu akan membawa kepada kekeliruan terhadap konsep perjuangan PAS memandangkan parti itu selama ini sudah sinonim dengan perjuangan negara Islam.

Di ALOR SETAR: Ahli PAS Sungai Petani, Mohd Ghani Bakar, berkata isu yang wujud di kalangan ahli ketika ini bukan bersifat penentangan terhadap dasar baru parti, tetapi hanyalah krisis kefahaman yang disifatkan sebagai lumrah.

“Ini proses biasa dalam sesuatu penambahbaikan...ia bukan bersifat penentangan tetapi lebih kepada kekeliruan dan bergantung kepada tahap ilmu yang ada pada individu untuk memahaminya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-57, berkata parti itu kini mengubah haluannya daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Bendahari PAS Kawasan Pokok Sena, Yusuf Ariffin pula, mahu PAS kawasan memainkan peranan untuk memberi penerangan mengenai hala tuju dasar negara berkebajikan bagi mengelak kekeliruan di kalangan ahli akar umbi.

Di KOTA BHARU: Ketua Cawangan PAS Pauh Panji, Rosli Zahari Abdullah, berkata penerangan kepada akar umbi perlu dilakukan bagi membolehkan ahli memahami dasar parti itu untuk membentuk negara berkebajikan.

“Orang muda terutamanya perlu diberi penerangan kerana jika tidak mereka tidak akan memahami dan dibimbangi akan terpengaruh dengan hasutan luar,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata perubahan dasar PAS daripada menegakkan negara Islam kepada pelaksanaan negara berkebajikan tidak bercanggah kerana ia adalah intipati dasar negara Islam.

DI BUKIT BERUNTUNG: Kaum bukan Melayu bukannya mudah untuk menerima dan merestui PAS dalam pilihan raya akan datang walaupun mereka menukar dasar perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan'.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, berkata penerimaan kaum bukan Melayu terhadap perjuangan PAS itu adalah hanyalah daripada keluarga pakatan pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata pucuk pimpinan parti akan menjelajah ke seluruh negara bagi bertemu ahli PAS untuk memberi penerangan terhadap negara berkebajikan.

Katanya, ia sudah menjadi amalan PAS akan turun ke akar umbi bagi memberi penerangan terhadap ucapan dasar Presiden parti selepas berlangsung Muktamar Tahunan.

bharian

No comments:

Post a Comment