Saturday, May 28, 2011

Wajib Kawal Peniaga Tipu

MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap sikit pasal keputusan Kabinet Rabu lalu tak naikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat sementara waktu ini.

Kunta Kinte tak mahu kata keputusan itu baik atau tidak baik pasal isu subsidi petroleum ni bukan hal mudah atau murah. Dalam keadaan di mana kehidupan rakyat miskin dan pendapatan rendah lebih senang, Kunta Kinte boleh terima kalau subsidi dikurangkan.

Tapi kita kena faham dan akui, sekarang banyak rakyat jelata dalam keadaan sesak pasal harga barang dan perkhidmatan naik lebih cepat dan lebih besar daripada kenaikan pendapatan mereka. Yang makan gaji dan ada kerja tetap boleh tahanlah. Yang susah ni yang kerja sendiri atau tak ada kerja tetap.

Jadi Kunta Kinte yakin dengan keputusan tak naikkan sementara harga bahan-bahan petroleum itu bolehlah pengguna bernyawa sikit, lebih-lebih lagilah bila bulan puasa dan musim perayaan dah nak dekat.

Tapi tangguh atau kurangkan kenaikan harga bahan-bahan petroleum saja tak akan bagi kesan kalau kita serah hanya kepada pasaran. Kita kena sama-sama kawal. Kita yang Kunta Kinte maksudkan adalah kerajaan dan pengguna.

Kita pun tahu, peniaga kita bukanlah semua ada disiplin, patuh undang-undang dan ikhlas. Banyak juga yang tak ada disiplin, langgar undang-undang dan kuat tipu-tipu harga, tipu timbang, tipu kira dan macam-macam tipu lagi.

Bagi negara yang mengaku Islam, Kunta Kinte rasa kita adalah antara negara di mana peniaga paling kuat tipu. Maaf cakaplah, kalau menteri tidak tegas dan pegawai penguat kuasa malas ronda atau makan rasuah, sampai bila-bila pun peniaga akan terus cincai, tipu sana, tipu sini. Pengguna kita pula Kunta Kinte tengok sangat tak teliti dan percaya sangat kepada peniaga.

Di negara-negara yang lebih maju, peniaga mereka bertanggungjawab dan pengguna pula teliti. Gabungan peniaga yang ikhlas dengan pengguna yang teliti ini wujudkan pasaran yang telus dan berdisiplin.

Yang Kunta Kinte cakap ni negara bukan Islam. Malah kita tengok di sana kedai judi tak banyak macam di negara kita dan kalau ada pun taklah terdedah dan merata-rata macam di Malaysia.

Di negara kita yang kita kata Islam ni kedai judi, kedai arak dan tempat maksiat boleh kata ada di setiap batang jalan dan lorong. Dulu taklah teruk sangat. Masa Kunta Kinte kanak-kanak, ‘judi halal’ tak banyak. Orang curi-curi main ‘judi haram’ dengan tikam ekor atau main pakau di belakang kedai kopi Cina. Sekarang kedai judi diiklankan dengan besar dan ada di mana-mana.

Tapi apa nak kata, bila ada orang Islam sendiri yang pandang remeh hal macam ini. Mereka kata hak orang bukan Islam main judi. Mereka tak tahu, agama-agama lain pun ada yang cegah atau suruh pengikutnya jauhkan perkara yang rosakkan moral macam judi dan arak.

Katakanlah main judi dan minum arak hak orang bukan Islam, tapi takkanlah kita nak bagi lesen kedai judi dan kedai arak di mana-mana saja. Yang bagi lesen tu, ramai pegawai Muslim. Menteri yang jaga lesen judi dan premis judi pun Muslim juga. Jadi fikir-fikir-fikirlah.

Ada peniaga yang dalam kod moral mereka tak ada haram dan halal. Semua halal asal dapat untung. Judi boleh, arak pun boleh. Lambang halal pun mereka tipu.

Pelacuran yang haram di segi undang-undang pun boleh. Malah khabarnya ada tauke pelacuran yang jadi jutawan kerana pakat dengan pegawai Muslim yang jahat dan korup.

Jadi Kunta Kinte kata, tak naikkan harga bahan-bahan petroleum atau apa juga barang kawalan belum jamin harga tak naik selagi peniaga tipu dan hisap darah tak dikawal atau selagi menteri tidak tegas dan asyik bagi amaran dalam media saja.

Pada 23 Mei, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kata bank pusat mungkin naikkan unjuran inflasi dan semak semula ramalan pertumbuhan ekonomi negara. Beberapa hari sebelum tu, dia kata Bank Negara tetap pertahan ramalan inflasi antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus tahun ini.

Jabatan Perangkaan pula kata indeks harga pengguna (CPI) yang diguna untuk ukur inflasi naik 3.2 peratus bulan lepas berbanding setahun lalu kerana kenaikan harga barang makanan dan tambang.

Lebih kurang pada masa yang sama, jurucakap Persekutuan Penternak Malaysia yang jaga hal-ehwal ayam daging, Kwei Yew Tong, kata peruncit ayam sengaja naikkan harga.

Surat khabar Nanyang Siang Pau lapor dia sebagai berkata, peruncit jual ayam yang penternak bekalkan dengan harga sampai RM12 sekilogram di sesetengah tempat, jauh lebih mahal daripada ayam untuk eksport yang berharga RM9.65 sekilo. Ertinya kita beli ayam kita dengar harga lebih tinggi daripada yang kita eksport.

Inilah kerja tipu yang kerajaan kena kawal. Jangan tolak ansur dengan peniaga tipu ini. Jangan bagi amaran saja. Serbu, rampas barang mereka dan heret mereka ke mahkamah. Kalau tidak, buatlah apa pun pengguna tetap kena tindas dan subsidi yang kerajaan bagi masuk poket peniaga tipu dan peniaga cekik darah.

Kunta Kinte

No comments:

Post a Comment