Wednesday, April 13, 2011

KDN Perlu Berani Bertegas

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tentulah mempunyai simpanan keratan sebuah akhbar Inggeris dengan berita utama muka satu ‘Beng Hock Mati Dibunuh’ tanpa tanda soalan atau pun quote yang menunjukkan bahawa berita itu belum sah.

Berita ini berasaskan semata-mata kepada kenyataan seorang ahli patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand, yang berambut warna- warni ketika siasatan kes itu di mahkamah tidak lama dahulu.

Tajuk berita seumpama itu daripada segi profesionalisme kewartawanan memberikan implikasi bahawa Teoh Beng Hock sah dibunuh, menyebabkan orang ramai segera membuat kesimpulan negatif terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam masa yang sama media berbahasa Cina menyiarkan berbagai-bagai reaksi berupa berita dan rencana daripada masyarakat Cina yang bersifat sentimen melulu, tuduhan dan tindakan yang dijuarai oleh DAP.

Keluarga Teoh Beng Hock pula membawa gambar mendiang ke mahkamah dan ke tempat-tempat awam untuk mendapatkan sokongan dan simpati.

Gambaran yang diberikan daripada semua tindakan ini ialah Beng Hock dibunuh dan bukannya membunuh diri, dan SPRM sebagai pembunuhnya.

Apabila kerajaan bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja, maka desakan yang timbul adalah untuk menampakkan seolah-olah mahukan siasatan menjurus ke arah hanya untuk menyalahkan SPRM semata-mata.

Bagaimanapun dalam siasatan suruhanjaya diraja itu, terdedah bahawa Dr. Pornthip yang membuat kenyataan bahawa Beng Hock dibunuh mempunyai rekod siasatan jenayah di Thailand dan merupakan seorang yang kredibilitinya dipertikai.

Beliau pandai mencari publisiti dengan meminta jaminan keselamatan bagi dirinya bila datang ke Malaysia, seolah-olah kawalan keselamatan di negara ini begitu longgar.

Apabila berlaku satu lagi kejadian seorang pegawai kastam terbunuh kerana jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM yang menyamai cara kematian Beng Hock, ini telah memberi peluang kepada pihak media berbahasa Cina dan Inggeris untuk memantapkan lagi anggapan negatif masyarakat Cina terhadap SPRM atas kematian Beng Hock.

Untuk memperkuatkan persepsi negatif itu, sebuah portal berbahasa Cina telah membuat laporan bahawa terdapat 1,839 individu mati sewaktu dalam siasatan atau tahanan SPRM dengan berasaskan kepada kenyataan anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Ini menunjukkan betapa media Cina berasa bahawa mereka cukup bebas sekarang untuk menimbulkan isu-isu yang mencabar kewibawaan pihak berkuasa kerana kerajaan selepas 2008 adalah kerajaan yang lemah.

Masyarakat sukar untuk mengenal permainan isu perkauman media Cina yang menimbulkan perasaan buruk sangka, benci dan marah terhadap agensi-agensi kerajaan kerana pemahaman bahasa Cina di negara ini terbatas. Sebaliknya mudah untuk membaca sikap yang kononnya menggambarkan rasis orang Melayu kerana akhbar bahasa Melayu boleh dibaca dan difahami semua kaum. Justeru permainan ini perlu untuk didedahkan dari semasa ke semasa.

Pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar daripada parti itu telah mendedahkan bahawa strategi yang diatur oleh pembangkang untuk melemahkan jentera kerajaan ialah dengan menghilangkan keyakinan ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Kehakiman. Inilah kerja yang sedang dijalankan oleh beberapa media berbahasa Cina dengan gigihnya.

Media bahasa Cina tahu sebuah kerajaan yang lemah tidak akan berani mengambil tindakan tegas untuk menyekat sokongan mereka kepada parti-parti politik yang sesuai dengan cita rasa mereka, dan untuk mencapai matlamat politik yang terpendam selama ini.

Jika kerajaan khususnya KDN tidak berani untuk menunjukkan ketegasan demi kerana matlamat politik untuk mengembalikan sokongan yang hilang, maka ia adalah ibarat mengharapkan hujan di langit, air di tempayan dicurahkan. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tan Malaka - Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment