Friday, March 25, 2011

Saham Bumiputera Tinggal RM2 Bilion

KUALA LUMPUR 24 Mac – Saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion iaitu penyusutan sebanyak RM52 bilion berbanding jumlah asal bernilai RM54 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyusutan ketara itu disebabkan sikap negatif masyarakat bumiputera sendiri yang tidak menghargai dan mengoptimum peluang diberi, sebaliknya lebih gemar terperangkap dalam soal hak.

Katanya, kerajaan sedar banyak pihak akan marah apabila mereka dihadapkan dengan fakta tersebut sedangkan untuk menyelesaikan isu itu, masalah sebenar perlu dikenal pasti sebelum menyelesaikannya.

“Inilah kerugian dan pembaziran bukan sahaja kepada individu tetapi masyarakat bumiputera secara keseluruhan jika kita hanya memberi tumpuan terhadap hak tanpa mengoptimumkan peluang yang terbit daripada hak tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Anugerah ICT Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Utusan Malaysia merupakan rakan media bagi anugerah berkenaan.

Mengambil iktibar daripada kesilapan tersebut, Najib tidak mahu masyarakat bumiputera abad ke-21 berterusan terperangkap dengan polemik hak yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, beliau mahu golongan tersebut bangkit menjadi sebuah masyarakat yang berdaya tahan serta mampu mencipta kejayaan dengan menerokai pelbagai peluang dalam bidang yang masih belum diterokai.

Menurutnya, masyarakat bumiputera perlu berubah jika tidak mahu dilihat sebagai kaum yang gemar meminta-minta, cepat berpuas hati serta suka berada dalam zon selesa agar tidak berterusan ditinggalkan kaum lain.

“Pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu dan menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, jangan kita bersikap dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isi,” katanya

Menyentuh mengenai perkembangan ICT di Malaysia, Perdana Menteri bangga kerana negara kini mempunyai asas yang kukuh dalam bidang tersebut terutama dalam aspek pembangunan perisian, aplikasi serta sebagai pembekal.

Tambahnya, industri ICT memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE) dengan berpaksikan pengetahuan serta inovasi.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment