Monday, March 14, 2011

Fahami Akta Sebelum Bincang Isu Islam

Usah jadikan alasan Bible tulisan Melayu sebagai usaha untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan

PERKARA 11 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada setiap rakyat menganut dan mengamalkan ajaran agamanya tetapi Perkara 11 juga memberi sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam. Ini disebabkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain di Malaysia. Hal itu diakui penghakiman mahkamah seperti dalam kes Meor Atiqurrahman dan Lina Joy. Perkara 11(4) Perlembagaan menyatakan undang-undang boleh digubal badan perundangan negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan untuk mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

Setakat ini, empat negeri masih belum menggubal undang-undang mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam itu mewujudkan kesalahan yang boleh dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan menyatakan dengan terperinci kalimah serta frasa yang tidak boleh digunakan bukan Islam bagi merujuk agama mereka.

Ramai cuba berhujah berkaitan undang-undang ini walaupun mereka sendiri tidak pernah membaca undang-undang itu. Undang-undang ini bukan menghalang orang bukan Islam menyebut kalimah dan frasa mempunyai asal agama Islam tetapi menjadi kesalahan jika kalimah dan frasa itu dirujuk untuk agama bukan Islam.

Umpamanya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat jika dirujuk kepada agama Islam tidak menjadi kesalahan bagi bukan Islam mengucapkannya. Ia hanya menjadi kesalahan jika kalimah itu dirujuk kepada agama bukan Islam seperti Allah sebagai tuhan penganut Kristian, Baitullah sebagai gereja orang Kristian ataupun solat sebagai upacara sembahyang penganut Kristian.

Selain kalimah dan frasa, undang-undang itu melarang penerbitan bahan agama bukan Islam diberikan kepada orang Islam.

Timbul kembali isu mengenai Bible berbahasa Melayu yang dirampas pihak berkuasa. Bible berbahasa Melayu ini sarat dengan perkataan dan frasa yang dilarang dirujuk bagi agama bukan Islam.

Undang-undang menghalang penggunaan perkataan dan frasa itu pula masih lagi berkuat kuasa dan tidak dimansuhkan di sesetengah negeri. Oleh itu, tindakan pihak berkuasa merampas Bible mengandungi perkataan terlarang itu sejajar undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Hak mengembangkan agama bukan Islam melalui Bible berbahasa Melayu ini sebenarnya tertakluk kepada peruntukan Perkara 11(4). Ia tidak boleh diberikan, dijual atau dicetak untuk orang Islam. Sekiranya Perlembagaan ini dapat diikuti dan perkataan terlarang itu dikeluarkan mungkin ia boleh dibenarkan.

Mungkin sudah menjadi aliran sekarang ini agama lain langsung tidak boleh disentuh tetapi apabila berkaitan dengan agama Islam semua mahu menjadi mufti mengeluarkan fatwa termasuklah orang bukan Islam.

Ada kalangan bukan Islam melabelkan sesetengah orang itu lebih fakih Islamnya berbanding orang lain semata-mata kerana orang itu mengeluarkan pandangan agak liberal. Tanpa segan silu mereka mempersoalkan isu Islam tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam termasuklah mufti yang mengeluarkan fatwa.

Dalam kalangan orang Islam juga ada yang terlalu takjub dengan logika akal dalam isu Bible berbahasa Melayu ini dalam erti kata mendaulatkan bahasa kebangsaan. Persoalannya apakah dalam isu Bible ini saja kita mahu mendaulatkan bahasa kebangsaan tetapi tidak dalam aspek lain seperti pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah dan dokumentasi perundangan?

Mengapa tidak pula mereka memimpin isu ini? Kenapa hanya dalam isu Bible berbahasa Melayu saja mahu ditegakkan penggunaan bahasa Melayu?

Bagi saya, isu agama Islam hendaklah diletakkan kepada pakar agama Islam. Saya sendiri agak kekok untuk mengeluarkan hukum kerana saya bukan graduan lulusan agama. Undang-undang kawalan agama adalah hasil dari permesyuaratan ahli agama.

Ia bukanlah suatu yang dipolitikkan seperti sering ditohmah. Masyarakat kini terlalu mudah menuduh sesuatu perkara itu dipolitikkan pihak kerajaan sedangkan ia tidak benar, dalam hakikat sebenar orang yang menuduh itulah yang mempolitikkan isu agama ini.

Saya menyarankan supaya sebelum isu enakmen kawalan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam atau Bible berbahasa Melayu diperkatakan, bacalah dulu undang-undang berkenaan.

Tidak cukup dengan undang-undang itu, bacalah juga hansard (perbahasan di Parlimen/ dewan undangan negeri) ketika undang-undang itu digubal bagi mengetahui undang-undang dan falsafahnya. Membuat sanggahan atau komentar terhadap sesuatu undang-undang yang seseorang itu sendiri tidak pernah membacanya adalah amat memalukan.

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments:

Post a Comment