Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru - Jangan Lupa Sejarah Bangsa

ISYARAT untuk orang Melayu sedar kepada pentingnya perpaduan adalah kesimpulan sebenar dari rentetan tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu apabila kerajaan yang diterajui oleh UMNO-BN gagal menguasai majoriti dua pertiga di dalam Parlimen. Dan akar sebenar kepada krisis perpaduan Melayu secara secara politiknya terpisah kepada tiga kelompok utama yang menyokong UMNO, Pas dan PKR.

Apabila orang Melayu sudah lupa tentang sejarah bangsanya sendiri maka pihak lain senang mengganggu-gugat perpaduan bangsa Melayu. Justeru, selepas PRU lalu, banyak pihak telah berani menyentuh hal-hal yang berkaitan ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedaulatan bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang bersangkutan dengan Melayu, meskipun telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengatakan orang Melayu akan hilang kuasa politiknya jika masih tidak bersatu dan bercakaran sesama sendiri.

Orang Melayu harus kembali merenung kepada sejarah bangsa. Para pemimipin-pemimpin Melayu jangan mudah lupa pada hakikat, pada ketikanya ada pemimpin yang datang dan ada pula pemimpin yang pergi. Namun begitu, yang paling penting kepada orang-orang Melayu adalah perjuangan untuk terus membangunkan anak bangsa, tidak berpecah-belah, berpuak-puak, bersengketa sesama sendiri tetapi hendaklah sentiasa bertimbang tara dan berbincang demi memartabatkan bangsa Melayu.

Pemimpin yang berpengalaman akan memberi nasihat dan tunjuk ajar manakala pemimpin yang baru menimbangkannya, maka dengan cara itu orang Melayu akan terus maju dan menjadi tuan di tanah air sendiri.

Orang Melayu seharusnya menjadikan tragedi kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka kepada Portugis suatu ketika dahulu sebagai ikhtibar dan pengajaran yang berguna. Punca kejatuhan itu antaranya angkara perbuatan khianat pembesar Melayu sendiri pada ketika itu yang mementingkan kepentingan dan laba peribadi daripada maruah bangsa sendiri.

Orang Melayu juga tidak harus lupa kepada Perjanjian Pangkor yang mana kealpaan kepimpinan Melayu pada ketika itu telah membuatkan seluruh negeri tergadai kepada penjajah barat. Jangan kita juga lupa bagaimana sukarnya orang orang Melayu dahulu yang menentang gagasan Malayan Union semata-mata mencari kemerdekaan.

Pemimpin-pemimpin Melayu perlu mencontohi pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman dan Dol Said yang sanggup berkorban nyawa semata mata untuk bangsanya. Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu-padu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan. Memartabatkan orang Melayu juga bermakna memartabatkan Islam kerana orang Melayu majoriti beragama Islam.

Melayu dan bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding bangsa lain. Dalam bidang ekonomi, orang Melayu pada dasarnya hanya menguasai 18 peratus agihan kekayaan negara manakala selebihnya dimonopoli oleh orang bukan Melayu serta syarikat konglomerat antarabangsa.

Di sektor pekerjaan pula, mengikut statistik pada tahun 2000, hanya 27.3 peratus terdiri daripada profesional Melayu dan Bumiputera manakala di sektor sosial pula menunjukkan peningkatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kalangan orang Melayu.

Di sudut politik pula, walaupun orang Melayu menguasai tampuk pemerintahan negara tetapi bukanlah sesuatu yang mutlak tetapi atas dasar perkongsian kuasa dengan kaum lain.

Realitinya orang Melayu masih lagi ketinggalan di dalam bidang ekonomi dan pendidikan walaupun orang Melayu merupakan majoriti di Malaysia. Persengketaan sesama pemimpin Melayu dilihat bukan sahaja melambatkan proses memajukan orang Melayu tetapi ianya akan menolak orang Melayu menjadi bangsa yang lebih jauh ke belakang. Orang Melayu perlu menginsafi perkara ini.

Oleh : Nadzir Ahmad Awang

No comments:

Post a Comment