Friday, December 24, 2010

Umat Islam Diizin Berperang

EKORAN umat Islam di Madinah tidak putus-putus diancam pihak Musyrik Mekah, ini membuatkan mereka tidak lagi boleh berdiam diri. Jauh sekali menyerah diri untuk mengalah.
Namun melawan pihak Quraisy secara besar-besaran menggunakan segala kekuatan tidak dibolehkan kerana belum ada dalam ajaran Islam sebelum ini yang membenarkan mereka berperang secara rasmi.

Sehinggalah Allah menurunkan keizinan berperang kepada umat Islam. Ia tidak sekadar menguji kekuatan mereka yang mempunyai kehidupan baru yang lebih baik di Madinah tetapi pihak Quraisy tidak pernah ada istilah 'berdamai' terhadap musuh terutama umat Islam.

Kebenaran berperang itu sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (al-Hajj: 39)

Namun ayat yang diturunkan di Madinah itu atau disebut juga sebagai ayat Madani bukanlah satu perintah 'wajib' berperang kecuali umat Islam benar-benar dicerobohi atau diperangi oleh pihak musuh.

Ini kerana di peringkat awal, Nabi SAW mempunyai perancangan yang lebih berhemah dan bijak berbanding untuk terus menjerumuskan diri dalam kancah peperangan.

Bagi baginda, jika pengikutnya dapat menguasai jalan perdagangan Quraisy terutamanya antara Mekah ke Syam dan sebaliknya, maka itu adalah lebih baik.

Selain berperang senjata, penguasaan terhadap jalan perdagangan itu merupakan satu usaha besar baginda untuk memulakan jihad ekonomi terhadap kafir Quraisy. Kekuatan ekonomi mereka perlu disekat sebagai satu cara melemahkan kedudukan mereka.

Baginda juga ingin menyampaikan mesej kepada Quraisy bahawa mereka mesti bersikap lembut bagi memberi peluang menyebar dakwah Islam dan orang ramai bebas memilih dan memeluk Islam.

Jihad ekonomi itu juga bermaksud kafir Quraisy mesti membenarkan umat Islam masuk semula ke Mekah untuk beribadat terutamanya di Kaabah.

Jika kebenaran itu disekat maka padah akan menimpa mereka apabila tidak lagi bebas untuk berdagang.

Maka untuk tujuan jihad ekonomi, baginda mengatur dua rancangan iaitu

mengadakan perjanjian kerjasama atau tidak menceroboh dengan kabilah-kabilah yang berdekatan dengan Madinah. Terutama kabilah-kabilah yang mendiami sepanjang perjalanan antara Mekah-Madinah-Syam.

Menghantar utusan atau pasukan-pasukan perisik untuk mendapatkan maklumat mengenai pergerakan perdagangan dari pihak Quraisy yang ingin berdagang ke Syam dan lain-lain destinasi perniagaan.

Apa yang kadang-kala bertukar kepada bentuk atau operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Sariyyah atau Ghazwah (pasukan tentera yang bukan dipimpin oleh Nabi Muhammad walaupun baginda adalah Ketua Perang selain sebagai Ketua Negara Islam Madinah).

Sebelum berlaku Peperangan Badar, sebenarnya berlaku banyak siri Operasi Sariyyah ini yang melibatkan juga siri peperangan kecil. Sehingga membolehkan umat Islam akhirnya berjaya menguasai jalan-jalan perdagangan.

Antaranya termasuklah Operasi Sayf al Bahri pada bulan Ramadan 1 Hijrah apabila Rasulullah melantik bapa saudara baginda, si 'Singa Allah', Hamzah Abdul Mutalib mengetuai misi bersama 30 lelaki Muhajirin untuk menyekat rombongan atau kafilah perdagangan Quraisy yang datang dari Syam, Syria.

Turut bersama dalam rombongan yang seramai 300 lelaki ini, termasuklah Abu Jahal bin Hisham.

Kedua-dua pihak telah bertembung di Sayf al Bahri dan masing-masing bersedia untuk berperang. Tetapi sekutu bagi kedua-dua belah pihak iaitu Majdi Amru Al Juhaniy telah memainkan peranannya bertemu dengan kedua-dua belah pihak sehingga berjaya menghalang mereka berperang.

Bendera yang dibawa oleh bapa saudara Nabi SAW dalam misi itu dikatakan bendera pertama yang diperkenalkan oleh baginda. Ia berwarna putih keseluruhannya sebagai tanda kesucian dan perjuangan yang suci bersih.

Sahabat yang bertanggungjawab untuk memegang bendera itu ialah Abu Marthad Kannaz bin Husayn al Ghanawiy.

Operasi Rabigh pada bulan Syawal berikutnya, Rasulullah menghantar sahabat Ubaydah bin Al Harith bin Al Mutallib bersama 60 Muhajirin yang menaiki kuda dan unta.

Mereka terserempak dengan Abu Suffian, yang juga musuh ketat umat Islam yang bersamanya rombongan seramai 200 orang di Batni Rabigh.

Kedua-dua pihak kemudiannya berbalas-balas serangan menggunakan panah tanpa berlaku sebarang pertembungan sesama mereka.

Namun dalam operasi itu, dua anggota rombongan pihak Quraisy itu berpaling tadah dan menyertai umat Islam.

Mereka ialah Al Miqdad bin Amru al Bahraniy dan Utbah bin Ghazwan al Mazini yang dikatakan memeluk Islam tetapi keluar bersama rombongan kafir Quraisy bagi mendapatkan peluang berhubung dan bertemu dengan umat Islam di Madinah.

Operasi al Abwa atau Waddan yang berlaku pada bulan Safar tahun kedua Hijrah yang diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW setelah melantik Saad bin Ubadah untuk memangku tugas baginda di Madinah.

Baginda keluar bersama 70 lelaki Muhajirin dengan tujuan yang sama, iaitu untuk menyekat rombongan dagang dari pihak Quraisy. Namun apabila sampai di Abwa itu mereka gagal menemui apa-apa.

Namun baginda memeterai satu perjanjian perdamaian dengan Bani Dhamrah yang diketuai oleh Amru Mukhashasha al Damriy. Puak ini menetap berhampiran dengan Al Abwa yang dikatakan datang berjumpa dengan baginda meminta supaya jangan berlaku sebarang peperangan di kawasan mereka ini.

Sebagai jaminan, mereka meminta dibuatkan satu perjanjian dan dikatakan perjanjian keamanan yang seperti ini adalah pertama dalam sejarah Islam.

Susunan : Siti Ainiza Kamsari

No comments:

Post a Comment