Thursday, December 16, 2010

.Perlukah Perigi Mencari Timba ?

Simpulan bahasa 'perigi cari timba' sangat tidak digemari oleh wanita. Ini kerana ia menggambarkan wanita itu terhegeh-hegeh mengejar cinta lelaki. Sedangkan lelaki itu belum pasti menyukainya.

Namun, keadaan zaman kini telah banyak berubah. Tidak kiralah lelaki atau wanita, masing-masing perlu berusaha untuk mencari cinta sejati.

 Di sini, saya nak berkongsi beberapa langkah mudah supaya anda dapat mendekati lelaki pujaan dan dalam masa yang sama, menjauhkan diri daripada label 'perigi cari timba'.

i. SMS (Sistem Pesanan Ringkas)
Anda boleh memulakannya dengan mengirimkan SMS. Apa yang penting, kenalkan diri anda sejujur jujurnya.

Mulakan dengan bertanya khabar dan bertanya sama ada si dia masih mengingati anda atau sebaliknya. Seterusnya bertanyakan tentang perkara-perkara yang disukainya.

Tidak semua lelaki gemar berterus-terang di awal perkenalan. Apa salahnya anda bersahabat dahulu dengannya dan anggap itu semua adalah proses normal sebuah perhubungan.

ii. Telefon
Buat permulaan, jangan berbual terlalu lama kerana tidak ramai lelaki yang suka 'bergayut' terlalu lama dengan orang yang baru dikenali.

Berterus-terang sebab anda menghubunginya dan berharap panggilan anda itu tidak menganggunya. Sikap anda yang berterus-terang selalunya lebih dihargai oleh golongan lelaki.

iii. Bertemu
Jika anda anggap dating adalah tugas seorang lelaki, anda silap sebenarnya. Wanita juga boleh mengajak lelaki yang disukainya keluar makan atau bersiar-siar.

Yang penting, jangan menganggap pertemuan pertama sebagai 'dating'. Anggap sahaja ianya sebagai usaha untuk berkenalan tetapi dalam suasana yang lebih mesra.

Namun jika si dia menolak pelawaan anda kerana beberapa alasan yang munasabah, cuba berfikiran positif dan jangan sekali-kali kecewa.

iv. Pilih waktu dan tempat yang sesuai
Sebagai permulaan pilihlah hari minggu atau cuti semester untuk temu janji anda yang pertama. Ini adalah untuk menunjukkan anda tidak terlalu terdesak untuk bertemu dengannya.

Dia akan menganggap pertemuan tersebut sebagai mengisi masa lapang yang terluang serta berkenalan dengan lebih lanjut dengan teman barunya.   

Jika anda tergerak hati untuk mengajaknya menonton wayang, pastikan filem pilihan anda itu menepati citarasanya. Jika anda belum pasti, filem animasi selalunya pilihan terbaik yang boleh anda pilih.
v. Luahkan perasaan
Apabila anda melihat si dia memberikan respon yang cukup baik salam perkenalan yang anda hulurkan, apa kata anda luahkan perasaan sebenar anda terhadap si dia.

Ini kerana terdapat segelintir lelaki yang sukar menyatakan perasaannya sendiri walaupun dia cukup menyukai seseorang wanita tersebut.

Namun jika jawapannya agak mengecewakan, jangan sekali-kali menyimpan rasa kecewa. Sebaliknya berikan si dia masa untuk berfikir tentang perhubungan tersebut. Dengan keikhlasan serta kesungguhan yang anda tunjukkan, pasti si dia akan tertarik dengan anda.

Dalam hal ini wanita juga perlu jadi 'pemburu'. Bayangkanlah lelaki berkualiti sekarang kian susut selepas tolak lelaki sotong, mat rempit, mat ganda dan kutu rayau. Untuk mendapatkan lelaki berkualiti ini anda perlu menepis stigma 'perigi mencari timba'. Tak gitu ?

...malaysiaria

1 comment:

  1. perempuan ni mcm plastik.sejuk,dingin,beku,perlahan..ramai jgk yg pasrah..mana yg dtg itulah pilihannya..kemudian air mata...mana usaha anda wahai wanita?
    maaf..kebanyakan begitulah..

    ReplyDelete