Wednesday, December 15, 2010

Kerakusan Peniaga Naikkan Harga Barang Rugikan Negara

HARGA barang terutama sekali yang ada kaitnya dengan makanan naik mendadak dan ia akan naik dan naik lagi tanpa amaran disebabkan kerakusan peniaga yang tamak cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda mengambil kesempatan dengan alasan minyak dan gula dinaikkan harganya.

Peniaga, pemborong dan peruncit termasuk mereka yang berniaga di pasar malam dan juga gerai serta restoran diharap janganlah menjerut leher pengguna dan pelanggan dengan mengeksploitasi harga barang setiap kali apabila harga minyak petrol dan gula dinaikkan.

Ini kerana kenaikan tidak beberapa sen itu sebenarnya bukanlah menjejaskan perniagaan mereka kerana selama ini keuntungan mereka berganda-ganda.

Bayangkan apabila secawan teh tarik sekarang berharga RM1.50 dan nasi lemak kosong kini berharga RM3.00 sepinggan. Ini bermakna sesiapa yang bekerja makan gaji mesti membelanjakan RM5.00 untuk sarapan dan sekurang-kurangnya RM8.00 untuk makan tengah hari.

Yang tidak sedapnya harga segelas air suam pun sudah dikenakan 50 sen satu dan kuihnya semakin mengecil dan kurang enak rasanya.

Harga barang dapur pula terus naik dan tidak logik sekali apabila ikan kembung kini berharga RM14.00 sekilo dan udang pula berharga RM20.00 sekilo, sedangkan ikan di laut dan di sungai serta tasik masih lagi tidak berubah bertimbun-timbun banyaknya.

Mengapa dan apa kaitannya harga-harga ini semua dengan kenaikan harga minyak yang hanya tidak beberapa sen seliter?

Fikirkanlah harga petrol dinaik 5 sen seliter tetapi harga teh tarik atau kopi dinaikkan 50 sen secawan dari RM1.00 kepada RM1.50 sedangkan modal secawan teh hanya 30 sen.

Peniaga kini seolah-olah tidak ambil peduli dengan masalah orang sekeliling dan apa yang mereka mahukan hanyalah mengaut untung.

Tahukah peniaga bahawa disebabkan kerakusan mereka juga mengakibatkan nilai ringgit kita merosot di dalam negara sendiri.

Bukan hanya pengguna atau pelanggan mereka yang rugi tetapi peniaga juga akan menerima bahangnya kerana perbuatan mereka itu sendiri secara keseluruhannya mengakibatkan barang-barang dan keperluan lain secara sedar atau tidak sedar akan mengikut rentak yang sama.

Dalam jangka panjang kita semua sama-sama rugi. Sepatutnya peniaga, pemborong dan peruncit serta peniaga gerai dan restoran mesti ada semangat cintakan negara.

Oleh: Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail
         Ampangan, Seremban

No comments:

Post a Comment