Monday, November 15, 2010

Masjid Tidak Belanjakan Wang?


AKHIR-AKHIR ini kita melihat kecenderungan masyarakat menyumbang kepada masjid sebagai sedekah jariah untuk melahirkan rasa syukur mereka kapada Allah yang memberikan rezeki saban hari. Ini selain kutipan yang biasa dilakukan pada hari Jumaat sewaktu solat Jumaat.

Sebahagian mereka ini menyumbang sedekah dengan harapan pahalanya akan sampai kepada ibu bapa bapa di alam barzah.

Malangnya Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid gemar memendam wang tersebut dalam akaun masjid bagaikan satu kebanggaan untuk dipamerkan di papan kenyataan masjid untuk menunjukkan kehebatan mereka mengumpul wang yang banyak.

Sesetengah masjid mengumpul wang sehingga melebihi suku juta tanpa dibelanjakan secara bermanfaat bagi menyampaikan maksud penderma. Ini berlaku kerana semua kemudahan masjid sudah lengkap dan tidak perlu diubahsuai apa-apa lagi. Sedarkah mereka perbuatan ini umpama menyekat satu niat baik anak-anak kariah yang menderma dengan tujuan dapat meringankan azab ibu bapa di alam barzah?

Mungkin sebahagian AJK masjid sendiri tidak berilmu untuk mentadbir dan tidak tahu cara mana hendak membelanjakan wang tersebut. Salah siapakah ini? Adakah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI) negeri dan daerah yang sepatutnya memberi satu garis panduan bagaimana hendak membelanjakan wang masjid yang besar itu? Atau adakah kerana kedegilan pihak AJK sendiri enggan mematuhi arahan JHEAI?

Jika masjid benar-benar digunakan sebagai tempat beribadat dan institusi kebajikan kapada masyarakat, kita akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Banyak perkara yang boleh kita lakukan saperti menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu membiayai maahad tahfiz, atau membantu kewangan sekolah-sekolah agama rakyat.

Juga untuk membantu menaik taraf surau-surau di bawah kariah masjid tersebut seperti memasang permaidani, membaiki tempat wuduk dan membina tandas awam yang lebih sempurna. Juga membina surau-surau sementara daripada kontena di tapak-tapak pasar malam bagi kemudahan peniaga.

Mereka juga boleh membiayai pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, menyumbang kapada saudara-saudara baru yang disisihkan keluarga serta menyumbang kapada mangsa banjir yang menginap di masjid sebagai tempat perpindahan. Ini semua adalah tugas-tugas yang mesti sentiasa difikirkan oleh AJK masjid yang memegang amanah daripada anak kariah.

Sikap sesetengah AJK masjid yang mengunci surau dan masjid selepas subuh hingga maghrib amat dikesali. Sepatutnya barang-barang berharga di masjid dan surau perlu disimpan dan dikunci di dalam jerejak besi yang dipasang di dalam dan luar masjid. Masjid atau surau tidak sewajarnya dikunci di waktu siang. Adakah harga sebuah kipas angin dan pembersih hampagas lebih mahal daripada pahala dua rakaat solat sunat yang dilakukan oleh seorang musafir?

Sewajarnya surau dan masjid menjadi stesen persinggahan musafir yang memerlukan pelbagai kemudahan selesa.

Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri dan Daerah juga perlu memantau akaun-akaun besar masjid. Persepsi AJK masjid juga perlu berubah bahawa wang masjid tidak akan habis dan kering kerana ramai anak kariah akan terus menyumbang. Yang penting mereka perlu berbelanja dengan sewajarnya.

...Muhammad Abdullah-Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment